Suami larang makan ubat perancang
05 January 2002 
 
Soalan
SUAMI saya tidak membenarkan saya menggunakan ubat perancang kehamilan, manakala saya pula bakal melahirkan anak ketiga tidak lama lagi.
Saya merasakan perlu untuk merancang kerana membantu suami berniaga bagi mencari rezeki untuk keluarga. Saya ingin nasihat ustazah mengenai cara merancang kehamilan sedangkan suami melarang saya makan ubat perancang.
Saya juga ingin tahu, apakah hukumnya di dalam Islam jika seseorang itu menggunakan ubat perancang kehamilan?

Kiriman: Suhaila,
Kuala Lumpur.

Jawapan
MERANCANG kehamilan dalam erti kata mengelakkan kehamilan untuk waktu tertentu kerana sebab diharuskan Islam seperti mencari rezeki atau kesihatan dibolehkan.
Kaedah yang harus untuk merancang pula ada pelbagai seperti pil atau memakai alat tertentu. Bagaimanapun, merancang kehamilan mestilah melalui persetujuan kedua-dua pihak, iaitu suami dan isteri. Ini bertujuan mengelakkan mana-mana pihak merasa tidak puas hati seperti isteri mengadu sakit-sakit kerana makan perancang atau suami merasa tidak puas kerana adanya alat tertentu.
Para sahabat dulu juga mengamalkannya melalui kaedah azal atau kiraan. Kaedah azal ialah mengeluarkan air mani di luar rahim isteri semasa bersama dan kiraan pula ialah dengan mengira waktu subur atau tidak, iaitu hanya bersama ketika tidak subur.
Apa kaedah sekalipun yang digunakan sekiranya masih juga hamil, redalah dengan pemberian Allah dan janganlah mengambil keputusan membuangnya.
 
 

Balik
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1