Bantu majikan masak daging babi
Oleh Dr Mashitah Ibrahm
10 November 2001

Soalan

SAYA pembantu rumah dari seberang yang bekerja di rumah majikan bukan Islam. Di rumah itu, saya sering berhadapan dengan daging babi malah saya juga membantu tuan rumah memasaknya.

Pinggan mangkuk yang digunakan untuk makan makanan haram itu saya yang mencucinya tetapi selepas itu, saya membersihkan tangan dengan air campuran tanah. Keadaan demikian membuatkan saya sering berada dalam dilema, apakah yang seharusnya saya lakukan?

Masalah kedua, saya bersolat di bilik saya tetapi di dalam rumah majikan saya itu ada tokong. Adakah solat saya sah? Adakah saya berdosa kerana menolong mengemas peralatan sembahyang mereka.

Kiriman: As,
Johor Bahru, Johor.


Jawapan

MEMANG benar seperti yang dilakukan iaitu saudari terpaksa bekerja memasak babi kerana tugas yang tidak dapat dielakkan. Setelah itu, dibersihkan pula dengan tanah sebagai samak untuk dicuci.

Ikhtiarkan sesuatu sekiranya saudari dapat bertukar majikan, jika tidak dapat berbuat demikian, apa yang saudari lakukan sudah betul.

Mengenai bersolat itu, carilah tempat yang tidak ada tokong iaitu saudari tidak perlu bersolat dalam bilik sembahyang mereka tetapi di mana saja di bumi Allah adalah bersih asalkan bukan di tokong.

Berkenaan masalah mengemas barang sembahyang itu, tidak timbul sebarang masalah dalam soal ini. Saudari sekadar mengemas barang sembahyang yang termasuk tugasan yang tidak dapat dielakkan, ia tidak menjadi dosa


Balik
Hosted by www.Geocities.ws

1