Islam dan disiplin ketenteraan
DI DALAM artikel saya yang lalu telah saya nyatakan betapa perlunya        kita umat Islam menyiapkan diri di dalam menghadapi sebarang kemungkinan        yang mungkin akan melanda negara.
Mempertahankan negara adalah tanggungjawab semua bukan hanya pihak        angkatan tentera serta anggota keselamatan semata-mata. Setelah berpeluang        mengikuti kursus bakal pegawai Askar Wataniah yang berlangsung selama dua        minggu di Kem Rejimen 514 Askar Wataniah baru-baru ini, kami para peserta        yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan serta swasta banyak        belajar akan erti kehidupan sebagai seorang tentera. Perkara utama yang        begitu dititikberatkan ialah tentang disiplin serta punctuality.        Kami diajar dan dilatih selama dua minggu untuk bersedia sepuluh minit        lebih awal dari masa yang ditetapkan.
Mahu tidak mahu, tanpa banyak soal semua siap bersedia menerima arahan        tanpa mengira jawatan yang disandang di luar sana. Jika terlewat buruk        padahnya.
Pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila salah seorang peserta        terlewat di dalam satu perbarisan, seluruh peserta didenda dengan 'jalan        itik'. Perasaan marah menggelegak bila semua didenda akibat daripada        kesilapan orang lain namun ini adalah satu latihan agar semua anggota        mempunyai sikap bertanggungjawab serta ingat mengingati antara satu sama        lain. Sesungguhnya ketepatan masa serta sikap bertolong bantu adalah        merupakan sifat-sifat yang sememangnya selari dengan ajaran Islam. Di        dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda:
''Tanda-tanda munafik itu ada tiga, apabila berkata dia berdusta,        apabila berjanji dia mungkir dan bila diberi amanah dia khianat''.
Kita seringkali berjanji, tetapi ramai daripada kalangan kita yang        tidak begitu peka tentang tanggungjawab di dalam menunaikan janji        tersebut. Aspek ketepatan masa sebenarnya begitu penting di dalam        kehidupan kita khususnya di dalam tentera. Kerana sesaat terlewat kita        mungkin binasa diserang oleh musuh. Sebab itulah segala perancangan dibuat        sebegitu rupa agar segalanya berjalan mengikut masa yang ditentu dan        dirancangkan. Islam juga amat mementingkan nilai masa. Allah s.w.t di        dalam surah al-Asr bersumpah dengan masa.
Masa juga diibaratkan umpama pedang yang tajam. Jika kita tidak        memotong atau membunuh musuh kita maka nescaya musuh akan membunuh kita.        Di dalam latihan tersebut kami juga didedahkan secara tidak langsung        tentang time management. Di dalam peruntukan masa yang begitu        singkat, segalanya perlu diselesaikan. Masa untuk dibuang dengan perkara        yang sia-sia dan tidak berfaedah tidak ada sama sekali. Penat lelah        diketepikan kerana mengejar masa yang ditetapkan.
Sungguh ajaib dirasakan apabila mampu melawan segala sifat suka        bergantung kepada orang lain. Semuanya dilakukan sendiri tanpa mengira        jawatan yang disandang.
Daripada mengilat kasut sehinggalah kepada memikul beg seberat 30        kilogram ketika meredah hutan belantara di dalam salah satu latihan yang        diadakan. Begitu juga membasuh pakaian serta menulis nota dan mengisi        borang yang biasanya dilakukan oleh orang lain. Namun di sini tiada siapa        lagi yang akan melakukan perkara itu kecuali para anggota itu sendiri.        Jika di rumah kita sering kali melepaskan kerja mencuci dan membersihkan        kawasan rumah kepada isteri dengan alasan letih dan penat kerana baru        pulang dari kerja, namun di sini segalanya boleh dilakukan sendiri        meskipun baru sahaja selesai daripada perjalanan melebihi 10 kilometer        Sebagai kesimpulan 'letih' semasa di rumah lebih bersifat psikologi kerana        semasa berada di kem, perasaan letih boleh diatasi tanpa sebarang        masalah.
Espirit de Corp atau semangat setia kawan juga di antara perkara        penting yang amat dititikberatkan. Suatu yang amat menarik untuk        disebutkan di sini bahawa di antara para peserta yang turut mengikuti        latihan ini ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka,        pegawai-pegawai daerah serta penolong-penolong mereka, pengarah-pengarah        daripada jabatan kerajaan dan swasta, pensyarah dan berbagai lagi. Namun        semangat setia kawan yang ditunjukkan amat menakjubkan. Segala pangkat dan        kedudukan 'disangkut' di pintu pagar. Yang tinggal adalah jiwa seorang        tentera sukarela yang masing-masing berusaha memantapkan diri dengan        latihan fizikal serta ketahanan mental di dalam persiapan diri bagi        mempertahankan negara tercinta. ''Rela Berkorban'' adalah di antara slogan        yang sentiasa dapat dilihat di mana-mana. Sebagai kesimpulannya, latihan        seperti ini adalah latihan yang paling berharga sepanjang hidup semua        peserta. Lantaran itu, marilah kita sama-sama membuktikan kasih dan sayang        terhadap negara tercinta dengan melibatkan diri dengan angkatan sukarela        khususnya Askar Wataniah. Saya pasti latihan seperti ini akan menjadikan        diri anda sebagai insan yang lebih berdisiplin, mantap fizikal dan mental        serta rela berkorban demi agama, bangsa dan tanah air.
* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Penolong Profesor, Kuliyyah        Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa.
Hosted by www.Geocities.ws

1