Menyorokkan barang kegiatan keji
MANUSIA dijadikan oleh Allah s.w.t. tidak lain dan tidak bukan ialah        untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada-Nya. Sebagai seorang hamba,        sudah tentu banyak cubaan dan dugaan yang terpaksa kita lalui.
Cubaan-cubaan ini sengaja diadakan sebagai salah satu cara bagi melihat        sejauh mana kesetiaan seseorang hamba terhadap tuannya. Demkianlah juga        keadaannya dengan manusia yang hidup di atas muka bumi.
Mereka akan sentiasa dicuba dan diuji agar dengan proses ini dapat        dilihat siapakah di antara mereka yang benar-benar patuh dan tunduk kepada        Allah, Tuhan yang mencipta mereka. Di dalam al-Quran Allah berfirman:
Maha suci Allah yang kekuasaan terletak di dalam tangan-Nya dan Dia        berkuasa di atas setiap sesuatu. Yang mencipta kematian dan kehidupan        untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya _        Surah Al-Mulk: Ayat 1-2.
Puasa adalah salah satu cubaan dan ujian yang Allah sediakan bagi umat        Islam bagi menguji ketaatan dan kepatuhan mereka. Jika kita berpuasa pada        hari ini, yang merupakan hari yang ke lapan dari bulan Ramadan, ini adalah        merupakan suatu petanda bahawa kita telah berjaya melepasi ujian yang        disediakan.
Namun, kejayaan ini masih belum menjamin kita untuk mendapat kejayaan        yang sebenar iaitu kejayaan yang diiktiraf oleh Allah sekiranya tuntutan        serta ciri penting puasa itu tidak kita ikuti dan kita amalkan.
Di antara ciri penting yang perlu diberi perhatian semasa menunaikan        ibadat puasa di bulan Ramadan ini ialah menjauhi perkara-perkara yang        dilarang oleh Allah. Di antara perkara-perkara tersebut ialah menjauhi        daripada memakan yang haram. Hari ini ramai umat Islam yang berpuasa,        namun di dalam mereka berpuasa, mereka tidak menghiraukan tentang makanan        minuman mereka sama ada halal atau haram.
Ada yang masih meneruskan tabiat suka berjudi seperti membeli nombor        ekor, memakan riba, mencuri dan sebagainya. Dan satu lagi perkara yang        sedang hangat diperkatakan di saat ini ialah tentang ada segelintir        peniaga yang menyorok barang-barang keperluan asas seperti gula, tepung,        susu dan lain-lain lagi demi untuk mendapatkan keuntungan yang        berlebihan.
Amalan seperti ini adalah haram menurut hukum Islam dan suatu amalan        yang tidak bertepatan dengan etika serta akhlak sebagai seorang Muslim.        Seorang Muslim tentunya tidak sanggup menyusahkan saudaranya yang lain.        Mereka peka dan prihatin dengan kesusahan orang lain kerana mereka itu        adalah umpama satu tubuh. Jika sakit mana-mana anggota tubuh, maka anggota        tubuh yang lain akan turut merasa penderitaannya.
Demikianlah sifat dan sikap yang perlu dimiliki oleh setiap Muslim.        Perbuatan menyorok barang adalah suatu amalan menyusahkan orang lain dan        ini bercanggah dengan larangan Rasulullah di dalam hadis yang        bermaksud:
Seseorang mukmin itu tidak menyakiti mukmin yang lain sama ada        dengan lidah (perkataan) atau dengan tangannya (perbuatan).
Hadis ini dengan jelas menyebut ciri-ciri penting sebagai seorang        mukmin. Mereka tidak rela menyakiti saudaranya sesama Muslim serta seluruh        umat manusia hanya kerana tamakkan keuntungan yang hanya bersifat        sementara. Tidak salah berniaga dan mencari untung kerana itu adalah suatu        kerja yang mulia bahkan sembilan persepuluh dari rezeki Allah terletak di        dalam perniagaan.
Namun bukanlah perniagaan yang hanya pentingkan keuntungan walaupun di        atas kesusahan dan penderitaan orang lain. Jika kita berjaya melakukan        ibadat puasa, meskipun menahan lapar dan dahaga serta keperluan jantina        yang ternyata begitu sukar untuk dilakukan oleh sesetengah umat Islam,        namun demi mencari keredaan Allah.
Segala susah payah kita hadapi, kita tentunya juga mampu menahan diri        daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang saya sebutkan tadi kerana ia        lebih mudah jika kita benar-benar beriman kepada Allah dan yakin kepada        pembalasan Allah yang sudah pasti akan datang dan tiada siapa yang dapat        mengelaknya.
Jika di dunia kita mungkin terselamat dari dikesan oleh pihak berkuasa,        namun di akhirat, sebesar atom kecilnya kesalahan akan dapat dilihat dan        diadili.
Lantaran itu, sempena bulan Ramadan al-Mubarak ini, marilah kita        sama-sama memohon kepada Allah agar kita diberikan kekuatan untuk terus        beribadat kepada Allah dengan ibadat puasa ini dan sekali gus menjauhi        perkara-perkara yang terlarang agar puasa kita pada hari ini dan hari-hari        yang seterusnya menjadi puasa yang mempunyai nilai serta kualiti yang baik        dan diterima oleh Allah.
* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Penolong Profesor Kuliyyah        Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa.
� UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan        Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail:
[email protected]
Hosted by www.Geocities.ws

1