Islam dan tanggungjawab keselamatan negara
SEMASA kecil, saya sememangnya mempunyai minat yang cukup mendalam di        dalam angkatan tentera. Mungkin kerana secara kebetulan kampung saya di        tahun 70-an dikira sebagai kawasan 'hitam' kerana terdapat pengganas        komunis bersembunyi di sana, maka pasukan beruniform sentiasa        berlegar-legar di kampung saya.
Namun oleh kerana saya mengambil bidang pengajian yang berbeza, maka        minat untuk menceburi angkatan tentera tidak kesampaian dan terkubur        begitu sahaja.
Baru-baru ini saya berpeluang untuk mendaftarkan diri di dalam askar        wataniah. Saya merasa begitu bangga dan terharu kerana cita-cita saya        sejak kecil untuk menyarung seragam tentera dimakbulkan Tuhan.
Namun bila saya memasuki askar wataniah, ia bukan lagi kerana minat,        bukan juga kerana uniformnya yang hebat, tetapi lebih daripada itu. Ia        tidak lain dan tidak bukan adalah lahir daripada kesedaran tentang peri        pentingnya kita sebagai umat Islam menyediakan diri demi menjaga        keselamatan negara daripada ancaman musuh.
Sebagai umat Islam kita seharusnya sentiasa sedar akan peringatan Allah        s.w.t. di dalam al-Quran: ''Orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian)        tidak akan reda kepada kamu selagi mana kamu tidak mengikuti agama        mereka.'' ( Al-Baqarah: 120 ).
Ayat ini dengan jelas menggambarkan bahawa orang Yahudi dan Nasrani        akan selama-lamanya memusuhi umat Islam tidak kira di mana jua mereka        berada. Lantaran itu janganlah kita terus lena dibuai mimpi indah dengan        menganggap bahawa negara kita akan terus aman dan bebas daripada ancaman        musuh.
Langit tidak selamanya cerah, hujan dan guruh serta petir, lambat laun        akan datang jua. Jadi sebelum apa yang buruk berlaku, kita seharusnya        bersedia seperti kata pepatah 'sediakan payung sebelum hujan'.
Membuat persediaan dan sentiasa di dalam keadaan berjaga-jaga adalah        suatu yang dituntut di dalam Islam. Di dalam al-Quran Allah berfirman:        ''Sediakanlah bagi mereka (musuh-musuh) mengikut        kemampuan kamu daripada kekuatan dan pasukan berkuda yang menggerunkan        musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kamu.'' ( Al-Anfal: 60 ).
Ayat ini merupakan suatu perintah daripada Allah kepada umat Islam agar        terus berusaha di dalam menyiapkan diri mereka dengan segala bentuk        kekuatan bagi menghadapi musuh-musuh Islam. Tentera berkuda sememangnya        tidak wujud lagi di zaman yang serba canggih ini.
Namun ayat ini terus boleh diamalkan dengan menggunakan kaedah        qiyas iaitu segala jenis kelengkapan perang seperti kereta kebal,        jet pejuang, peluru berpandu dan sebagainya.
Sememangnya, peperangan di zaman moden kini tidak lagi tertumpu kepada        penggunaan senjata bahkan lebih kepada peperangan di dalam bentuk        teknologi maklumat, namun tidak mustahil ia akan kembali kepada cara        peperangan konvensional menggunakan senjata seperti di Bosnia,        Afghanistan, Palestin dan negara-negara lain.
Jika ini yang berlaku, apakah kita bersedia untuk menghadapinya? Adakah        kita hanya menyerahkan tugas mempertahankan negara kepada angkatan tentera        semata-mata? Apakah kita hanya menunggu dan melihat serta menanti saat        kita diserang dan dimusnahkan musuh?
Sebenarnya kesedaran kita tentang keselamatan amat kurang. Kita sering        leka dengan kemewahan dan keselesaan sehingga lupa untuk meluangkan masa        untuk berfikir tentang nasib negara kita apabila diserang oleh musuh.
Kita perlu bertanya kepada diri kita, apakah kita kasih dan sayang        kepada negara kita? Jika jawapannya 'ya' maka apakah yang mampu kita        lakukan jika negara kita diserang oleh musuh? Sebenarnya tidak banyak yang        boleh kita lakukan kecuali mereka yang terlibat secara langsung di dalam        angkatan bersenjata seperti angkatan tentera dan polis dan mereka yang        mendapat pendedahan di dalam pasukan sukarela seperti wataniah dan        lain-lain lagi.
Pada pendapat saya, jika kita berkata bahawa kita kasihkan negara        tetapi kita tidak berusaha membuktikannya, maka kita sebenarnya bukan        kasihkan negara kita. Cara kita membuktikan kasih itu ialah dengan        menyertai pasukan sukarela agar kita mendapat pendedahan bagaimana        menggunakan senjata, taktik peperangan, hidup berdisiplin dan        lain-lain.
Ini kerana keselamatan negara tidak dapat dipisahkan daripada angkatan        bersenjata seperti tentera dan polis. Tanpa mereka, kejayaan, kemakmuran,        keamanan yang kita kecapi sekarang tidak mungkin menjadi kenyataan.
Lantaran itu, angkatan bersenjata serta mereka yang memasuki pasukan        sukarela perlu diberi layanan istimewa oleh pihak kerajaan -        setidak-tidaknya setanding dengan lain-lain jawatan di dalam kerajaan.
Tugas angkatan tentera dan polis adalah yang amat mencabar. Mereka        umpama lilin yang membakar diri demi kesejahteraan orang lain. Apa yang        mereka lakukan adalah satu jihad besar demi keharmonian negara. Namun        sebagai pasukan beruniform, mereka perlu sedar bahawa mereka adalah        golongan minoriti di dalam masyarakat.
* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Penolong Profesor Kulliyah        Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa.

� UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan        Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail:
[email protected]
Hosted by www.Geocities.ws

1