Pentingnya sabar dalam kehidupan
KITA seringkali berhadapan dengan insiden-insiden di mana orang yang        hampir dengan kita, isteri serta anak-anak, kaum keluarga, sahabat handai,        jiran tetangga ditimpa malapetaka atau kesusahan. Di dalam keadaan yang        seperti ini, kita kerapkali terdengar ucapan seperti 'sabarlah, semua ini        cubaan Tuhan'. Sememangnya amat mudah untuk menuturkan kata-kata tersebut        kerana bukan kita yang mengalaminya. Mungkin kita bersimpati dengan        mereka, namun simpati tidak boleh meringankan derita, kesedihan atau beban        yang mereka tanggung. Bak kata pepatah 'berat mata memandang, berat lagi        bahu memikul'. Demikianlah betapa sukar untuk memiliki sifat sabar di        dalam situasi yang benar-benar mencabar. Namun di saat inilah, keimanan        kita benar-benar diuji.
Sesungguhnya kesabaran tidak dapat dipisahkan daripada keimanan. Sabda        Rasulullah s.a.w ''Sabar itu sebahagian daripada iman.'' Sabar juga        adalah satu sifat yang mesti dimiliki oleh setiap Muslim. Ini kerana        bersabar itu adalah merupakan arahan daripada Allah, firman Allah:        ''Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bersabar dan        kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia dan bertakwalah kepada        Allah, supaya kamu berjaya,'' al-Imran: 200.
Ayat ini selain daripada mengaitkan kesabaran dengan keimanan, ia juga        dikaitkan dengan kejayaan.
Jika kita lihat disekeliling kita, dan jika imbau sejarah silam, kita        dapati bahawa tiada kejayaan yang mungkin dicapai tanpa kesabaran.        Kesabaran bererti kita betah menahan penderitaan (kesakitan, kesusahan dan        lain-lain), tidak lekas marah atau putus asa, tidak terburu-buru serta        tenang. Demikian definisi sabar menurut Kamus Dewan. Kehidupan        harian kita penuh dengan pelbagai kesusahan, kesakitan serta tekanan emosi        dan mental. Sebagai bapa kita berhadapan dengan kerenah isteri dan        anak-anak. Ada isteri yang suka berleter sebaik sahaja suami menjejakkan        kaki di rumah. Leteran mungkin dikira sebagai ucapan 'selamat pulang'        kepada suami yang kepenatan. Berhadapan pula dengan anak-anak yang        mempunyai fiel yang berbagai-bagai. Ada yang suka menconteng dinding, ada        yang suka mengusik adik-adiknya, ada yang suka menangis dan tidak kurang        pula bertindak liar memusnahkan harta benda di rumah. Keadaan ini semua        memerlukan tahap kesabaran yang amat tinggi. Suami yang hilang sabar        mungkin akan memukul isteri dan isteri pula akan memukul anak-anak bagi        melepaskan dendam yang membara terhadap suami. Akhirnya yang menderita        ialah anak-anak yang tidak berdosa yang belum tahu erti kehidupan hakiki.        Isteri juga mungkin mengalami keadaan yang sama dan semua ini memerlukan        kesabaran.
Ada di antara kita yang begitu penyabar di rumah, lemah lembut dengan        anak dan isteri tetapi bertukar menjadi bengis dan tidak boleh mengawal        marah sebaik sahaja berada di jalan raya. Memandu dengan laju,        undang-undang serta pengguna jalan raya tidak diendahkan. Ada yang begitu        angkuh bila memandu, bertolak ansur jauh sama sekali. Ada juga yang bengis        di rumah dan lebih bengis apabila berada di jalan raya dan seterusnya        ketika berada ditempat kerja. Pantang tersalah sedikit, maki hamun        dihamburkan. Akibatnya berlakulah pertelingkahan di antara sesama pekerja,        bermasam muka dan tidak boleh bekerjasama di dalam menyelesaikan satu-satu        tanggungjawab yang diamanahkan. Akhirnya produktiviti sesuatu syarikat        atau badan sama ada kerajaan atau swasta akan terbantut dan kita semua        yang akan menanggung akibatnya.
Jika kita sebagai seorang anggota tentera ataupun polis, sama ada yang        berjawatan tetap ataupun sukarela, peringkat latihan merupakan saat yang        paling kritikal yang perlukan kesabaran yang amat tinggi. Latihan fizikal        serta tekanan dari sudut mental benar-benar menguji ketahanan setiap        pelatih. hanya mereka yang mempunyai daya ketahanan serta kesabaran yang        tinggi yang akan survive manakala yang lain akan 'gugur' sebelum ke        medan juang yang sebenar. Setelah tamat latihan, tiba pula saat        menjalankan tugas. Dikala ini tahaf kesabaran tinggi tetap diperlukan        kerana ketika inilah para anggota akan berhadapan dengan berbagai situasi        yang benar-benar mencabar. Daripada musuh-musuh yang sentiasa mencari        peluang untuk menyerang sehinggalah kepada musuh yang sukar dilihat oleh        mata kasar seperti rasuah dan penyelewengan. Ini semua memerlukan        kesabaran agar tidak mudah tergoda dengan kenikmatan sementara demi        menjaga keselamatan dan keharmonian negara.
Jika kita sebagai seorang pelajar, sikap guru-guru yang tidak        menyenangkan, kawan-kawan yang berbagai ragam, longgokan tugas yang        membebankan di tambah pual dengan program kokurikulum yang bermacam-macam        sememangnya menuntut kesabaran serta ketabahan. Memang jika diikutkan hati        mati, jika diikutkan rasa binasa.
Jadi di dalam segala keadaan, di mana sahaja kita berada, apa sahaja        jawatan yang kita sandang, jenis apa kerja yang kita lakukan, semuanya        memerlukan kesabaran di dalam erti kata yang sebenarnya. Jika kita dapat        teguhkan hati, kuatkan semangat, jauhi sikap mudah berputus asa,        tingkatkan tahaf kesabaran, jalan-jalan ke arah kejayaan pasti akan        menjelma insyaAllah.
* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Penolong Profesor, Kuliyyah        Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).
E-mail [email protected].
Oleh: DR. NIK RAHIM NIK WAJIS

� UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan        Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail:
[email protected]
Hosted by www.Geocities.ws

1