Pendatang tanpa izin: Wajarkah hukuman rotan?
CADANGAN pihak polis untuk mengenakan rotan kepada pendatang tanpa izin        baru-baru ini mendapat reaksi berbeza daripada orang ramai. Kebanjiran        pendatang sukar dikawal dan jika dibiar berterusan dan tanpa sebarang        usaha serius ke arah menyelesaikannya, akan merumitkan lagi keadaan.        Malah, akan mendatangkan implikasi buruk terhadap ekonomi, sosial serta        keselamatan negara.
Di dalam kemelut ekonomi negara yang masih belum menunjukkan tanda        pemulihan sebenar, negara dibebankan pula oleh kedatangan pendatang yang        nampaknya semakin bertambah. Negara kita memerlukan pekerja-pekerja luar        khususnya apabila rakyat kita memilih pekerjaan. Mahu tidak mahu kita        terpaksa mengimport pekerja luar untuk menangani masalah kekurangan tenaga        pekerja khususnya di dalam sektor pembinaan, perkilangan dan perladangan.
Mereka yang datang secara sah sememangnya dialu-alukan bahkan negara        melindungi hak mereka sebagai pekerja, meskipun mereka rakyat asing. Namun        masalah yang sedang dan terus kita harungi sekarang adalah mereka yang        datang tanpa dokumen sah.
Kerajaan perlu bertindak segera menyelesaikan masalah pendatang sebelum        keadaan menjadi lebih parah. Undang-undang baru perlu digubal bagi        menangani masalah ini. Meletakkan pendatang di kem-kem tahanan dan        menghantar mereka pulang, setakat ini belum jelas sebagai jalan        penyelesaian yang efektif. Mereka yang dihantar pulang mungkin akan        kembali. Namun persoalannya wajarkah mereka ini dikenakan hukuman        rotan?
Jika diteliti di dalam undang-undang negara yang ada, hukuman rotan        sebenarnya telah lama diguna pakai di negara ini. Di antara        kesalahan-kesalahan yang dikenakan hukuman rotan ialah rogol (Kanun        Kesekasaan, Seksyen 376), menculik (Kanun Keseksaan, Seksyen 364) dan        rompakan bersenjata (Kanun Kesekaan, Seksyen 392). Jika dilihat kepada        kesalahan-kesalahan di atas, tidak syak lagi bahawa mereka yang melakukan        jenayah wajar dikenakan hukuman rotan memandangkan kesan jenayah-jenayah        tersebut kepada mangsa serta masyarakat sekeliling.
Namun bagi pendatang, kesan kesalahan mereka tidak menyamai kesan        jenayah-jenayah tersebut di atas. Meskipun memasuki negara tanpa permit        sah adalah satu kesalahan, namun menjatuhkan hukuman rotan mungkin tidak        setimpal dengan kesalahan mereka. Seperti yang kita maklum, negara jiran        kita khususnya Indonesia dilanda kemelesetan ekonomi yang begitu        meruncing. Tahap pengangguran yang begitu tinggi menyukarkan mereka        mencari pekerjaan untuk menyara keluarga.
Namun ini tidak bermakna mereka akan dilepaskan tanpa hukuman. Hukuman        seperti denda dan seterusnya menghantar mereka pulang dengan belanja        mereka sendiri dikira sesuai dan ini boleh dikira sebagai satu  hukuman.
Di dalam menangani masalah ini, kita perlu memberi penumpuan kepada        faktor yang mendorong kepada kebajikan para pendatang ini. Di dalam        masalah ini, tekong darat dan para majikan bertanggungjawab membawa masuk        serta melindungi pendatang. Mereka inilah dalang yang hanya mementing        keuntungan tanpa mengira risiko yang bakal dihadapi oleh pendatang dan        juga negara keseluruhannya. Mereka inilah yang perlu dikenakan hukuman        rotan kerana di dalam banyak hal mereka ini menjadi punca.
Khalifah Umar Al-Khattab pernah menjatuhkan hukuman ke atas seorang        majikan yang membayar gaji yang sangat murah kepada pekerjanya dan ini        menyebabkan pekerja tersebut mencuri. Majikan tersebut dikenakan hukuman        kerana menjadi penyebab kepada kesalahan yang dilakukan. Berdasarkan        kepada kisah ini, wajarlah kiranya tekong darat yang membawa masuk        pendatang, serta majikan yang melindungi mereka dikenakan hukuman yang        lebih berat kerana tanpa mereka kebanjiran para pendatang tanpa izin        mungkin tidak menjadi seburuk ini. Hukuman ini dikira penghalang bagi        mereka yang terlibat agar mereka berfikir seribu kali sebelum melakukan        kesalahan yang sama.
Jika dilihat kepada undang-undang Islam pula, kita dapati bahawa Islam        meletakkan beberapa jenis hukuman bagi sesuatu kesalahan. Ada yang        dikategorikan sebagai hukuman tetap iaitu hukuman hudud dan qisas (balas        bunuh) dan ada juga hukuman yang tidak tetap dan ini dikategorikan hukuman        ta'zir. Kebanyakan hukuman adalah terdiri daripada kategori ini. Di dalam        kategori ta'zir, para hakim diberi kebebasan untuk melaksanakan hukuman        berdasarkan kepada keperluan semasa. Apa-apa sahaja bentuk hukuman yang        dikira sesuai boleh dilaksanakan bagi menghukum penjenayah. Di dalam hal        ini, tekong dan mereka yang melindungi pendatang dikira sebagai penjenayah        dan mereka harus dihukum. Jika hukuman-hukuman yang selama ini dikenakan        kepada mereka tidak membawa natijah yang diharapkan, maka hukuman rotan        seharusnya dilaksanakan ke atas mereka dengan harapan mereka tidak        mengulangi perbuatan yang sama.
* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Penolong Profesor, Kuliyyah        Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Email:        [email protected].Oleh: DR. NIK RAHIM NIK WAJIS
� UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan        Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail:
[email protected]
Hosted by www.Geocities.ws

1