Berhati-hati dalam mencari rezeki
MAKANAN suatu keperluan asas bagi setiap manusia tanpa mengira pangkat        dan darjat. Kerana makanan manusia sanggup bergaduh sesama sendiri.
Kerana makanan juga manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk        memperolehnya. Oleh kerana makanan adalah suatu yang tidak dapat        dipisahkan daripada kehidupan manusia, Islam telah menggariskan        peraturan-peraturan tertentu agar makanan serta rezeki yang diperoleh        adalah berdasarkan kepada sumber yang halal. Di dalam al-Quran Allah        berfirman bermaksud:
''Wahai manusia, makanlah apa yang ada di muka bumi ini daripada        sumber-sumber yang halal lagi baik.'' - (Al-Baqarah: 168).
Sesungguhnya perkara yang halal adalah suatu yang amat jelas, manakala        yang haram serta terlarang juga jelas lagi nyata. Ini dinyatakan dengan        tegas oleh Rasulullah di dalam sebuah hadis yang bermaksud:
''Sesungguhnya yang halal itu adalah jelas dan yang haram itu juga        jelas. Dan di antara keduanya (iaitu halal dan haram) itu adalah        perkara-perkara yang samar yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang.        Barang siapa yang menjauhi perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah        melakukan sesuatu yang boleh memelihara agamanya serta maruahnya. Dan        barang siapa yang melakukan perkara syubhat maka dia telah melakukan        perkara yang haram umpama penggembala yang menggembala binatang        ternakannya berhampiran dengan tempat larangan yang mana terlalu hampir        binatang ternakannya itu memakan dari tempat larangan tersebut.''.
Hadis ini menegaskan kepada seluruh umat Islam agar berhati-hati di        dalam mencari rezeki mereka. Mereka diperintahkan supaya menjauhi segala        rezeki yang berpunca daripada perkara-perkara yang haram. Hari ini ramai        di kalangan umat Islam yang tidak begitu peka dengan apa yang memasuki        perut mereka. Bak kata pepatah 'membujur lalu melintang patah'. Apa saja        sumber asalkan boleh membawa kemewahan dan kesenangan habis disapu. Jadi        tidak hairanlah bila anak-anak yang dilahirkan bermasalah. Akhlak dan budi        pekerti tiada di dalam kamus kehidupan mereka.
Gejala dadah dan sosial seolah-olah sebati dengan kehidupan mereka.        Anak-anak menjadi degil dan keras kepala serta tidak mendengar nasihat        daripada ibu bapa dan juga guru-guru. Semua ini sama ada disedari atau        tidak adalah hasil daripada makanan-makanan haram yang memenuhi perut        anak-anak yang tidak berdosa. Hari ini kita dapati umat Islam melakukan        rasuah, penipuan, pecah amanah dan sebagainya.
Pusat-pusat nombor ekor dipenuhi oleh muka-muka sawo matang yang        jelasnya bergelar Muslim. Namun tiada perasaan malu lagi mereka miliki.        Meskipun jelas terpapar bahawa berjudi adalah suatu yang diharamkan di        dalam Islam, dan ia salah di sisi undang-undang, namun ia terus dilakukan        secara terang-terangan. Ternyata sekali tindakan tegas perlu diambil oleh        pihak berwajib agar gejala pergantungan kepada sumber judi dan lain-lain        sumber haram tidak menjadi budaya di dalam masyarakat kita.
Jika kita berjaya menjauhi diri kita daripada mencari rezeki dengan        cara yang haram, ia masih belum mencukupi sehinggalah kita menggunakan        segala rezeki tersebut dengan cara yang berhemat dan tidak membazir atau        keterlaluan. Perbuatan membazir adalah suatu yang dilarang di dalam Islam        bahkan mereka yang melakukan pembaziran disamakan oleh al-Quran sebagai        saudara-saudara atau kaum kerabat syaitan. Firman Allah bermaksud:
''Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan''.        - Al-Quran: Al-Isra':27).
Jika tempelakan seumpama ini datangnya dari makhluk yang bergelar        manusia sekalipun, kita tentunya terasa bahawa ia suatu yang amat serius.        Apatah lagi sekira ia datang daripada Allah, Tuhan yang mencipta seluruh        makhluk. Tentulah ia lebih serius dan perlu diberikan perhatian yang        sewajarnya.
Seperkara yang kurang benar diberi perhatian oleh kita umat Islam        apabila mereka makan ialah tentang khasiat sesuatu makanan. Di dalam        al-Quran disebutkan bahawa kita disuruh supaya memakan makanan yang baik        selain daripada ia dari sumber yang halal. Namun tidak ramai yang peka        tentang khasiat serta kandungan vitamin di dalam makanan yang mereka        makan. Contohnya jika di kampung, ramai yang sanggup menjual ayam ternakan        mereka yang kaya dengan protein serta sayur-sayuran dan membeli ikan        kering dan makanan-makanan lain yang kurang berkhasiat. Natijahnya kita        dapati bahawa mereka mempunyai tahap kesihatan yang tidak begitu        memuaskan.
Lantaran itu, kesedaran tentang pengambilan makanan yang sihat serta        berkhasiat adalah perlu bagi menjamin tubuh badan serta minda yang kuat        dan cergas. Ini amat penting kerana minda yang kuat hanya datangnya dari        tubuh yang sihat dan kuat manakala tubuh yang sihat pula hanya datang dari        makanan yang sihat serta berzat.
* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Penolong Profesor Kuliyyah        Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa.
Oleh: Dr. NIK RAHIM NIK WAJIS

� UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan        Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail:
[email protected]
Hosted by www.Geocities.ws

1