Aidilfitri: Peluang membersihkan diri
HARI ini kita merayakan Aidilfitri. Suasana ceria terserlah. Ramai dari        warga kota seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu, Ipoh telahpun berada di        kampung halaman masing-masing.
Hari raya berkembar pada tahun ini sekali lagi telah memberikan peluang        kepada warga kota untuk pulang lebih awal ke kampung bagi merayakan saat        gembira hari raya bersama keluarga tercinta.
Sememangnya hari raya adalah merupakan perayaan yang dinanti setiap        orang, tidak kira usia, pangkat dan juga status mereka.
Semua menanti-nanti kedatangan Syawal yang mulia. Saat di mana kaum        kerabat, sahabat handai, rakan taulan bersuka ria, bersalam-salaman,        bermaaf-maafan di atas segala ketelanjuran.
Segala rasa tidak senang hati, dengki mendengki dan berbagai lagi        penyakit-penyakit hati diharapkan dapat dibersihkan pada hari yang mulia        ini.
Sesungguhnya, kita banyak berdosa bukan sahaja kepada Allah, Tuhan yang        mencipta dan mengurniakan kita dengan berbagai nikmat, bahkan kita juga        banyak melakukan dosa terhadap sesama manusia. Dosa terhadap manusia tidak        sama dengan dosa terhadap Allah. Jika kita berdosa kepada Allah,        sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi maha mengasihani dan Allah berjanji        akan mengampunkan segala dosa hambanya yang bertaubat dan insaf dari        segala ketelanjurannya.
Namun dosa terhadap manusia tidak akan diampunkan oleh Allah selagi        mana ia tidak dimaafkan oleh individu itu sendiri. Lantaran itu, di hari        raya yang mulia ini, ambillah peluang untuk memohon kemaafan di atas        segala kesalahan dan kezaliman yang dilakukan ke atas sahabat serta        saudara kita sesama Islam. Ini adalah suatu amalan yang terpuji.
Di dalam saat menyambut lebaran, kita seharusnya tidak tenggelam di        dalam kegembiraan. Kita perlu juga prihatin dengan sebahagian dari mereka        yang kurang bernasib baik, mereka yang tidak mampu untuk tersenyum kerana        penderitaan yang mereka alami. Mereka ini adalah golongan fakir miskin        yang hidup melarat dan kadangkala bergantung kepada bela kasihan dari        mereka yang berada.
Hari Raya tidak memberikan banyak erti di dalam kehidupan mereka.        Mereka hanya umpama ''kais pagi makan pagi, kais petang makan petang''.        Jika begini keadaan hidup mereka sudah tentu, kedatangan Aidilfitri tidak        memberikan sebarang perbedaan.
Jika mereka kadangkala terpaksa makan ubi kayu untuk mengalas perut,        bayangkanlah apakah yang mereka mampu untuk memberikan kegembiraan kepada        anak-anak mereka seperti pakaian baru dan sebagainya sama seperti        kanak-kanak lain. Jadi, di dalam kegembiraan kita bersama keluarga        merayakan hari lebaran ini, ayuh... jangan pula golongan ini kita alpakan.        Taburilah mereka dengan sedikit cahaya harapan. Serikanlah wajah mereka        dengan secebis senyuman dan bantulah mereka agar mereka juga mampu        tersenyum gembira kerana masih ada jiwa-jiwa yang terpanggil untuk        menghulurkan sekelumit simpati. Ya, hari raya bukan sahaja hari untuk        bergembira tetapi menginsafi diri serta prihatin terhadap mereka yang        kurang bernasib baik dan berkemampuan. Membantu mereka agar mereka juga        turut merasai kegembiraan hari raya.
Sesungguhnya harta yang dikeluarkan bagi membantu mereka yang sudah dan        menderita tidak akan mengurangkan harta tersebut bahkan ianya akan        menyuburknnya.
Di saat ini, semua berpakaian baru, kasut baru dan semuanya baru.        Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa, kanak-kanaklah golongan yang        paling gembira bila hari raya menjelma. Kenapa tidak? Di hari rayalah        mereka dapat menikmati segala yang baru khususnya bagi mereka yang kurang        berkemampuan.
Di hari raya, kadangkala ibu bapa terpaksa berhempas pulas mencari wang        semata-mata untuk membeli pakaian baru bagi menggembirakan anak-anak        mereka menjelang hari raya bahkan ada di antara mereka yang terpaksa        berhutang malah ada juga yang terpaksa menggadai barang-barang kemas hanya        kerana ingin sama-sama bergembira sama seperti orang lain.
Dengan kemelesetan ekonomi yang melanda, harga barang-barang keperluan        melambung tinggi, pemotongan di sana ini, beban ibu bapa semakin berat di        rasa, namun ibu bapa rela berkorban apa saja asalkan anak-anak mereka        bergembira di hari raya. Cuma persoalannya sekarang, apakah ini suatu        kemestian?
Perlukah ibu bapa bergolok bergadai semata-mata untuk membeli pakaian        baru untuk anak-anak sedangkan mereka pada hakikatnya tidak mampu        melakukannya? Apakah anak-anak begitu sukar untuk memahami kesusahan ibu        bapa mereka atau mereka tidak mungkin difahamkan dengan situasi keluarga        mereka? Tidakkah anak mungkin akan akur dengan apa yang diperkatakan oleh        ibu bapa mereka jika bapa mereka berkata, ''nak, tahun ini kita terpaksa        pakai baju lama, ayah tak mampu untuk beli yang baru. Insya-Allah tahun        hadapan ayah berjanji akan belikan anak-anak baju yang baru''.
Pada hemat saya, kanak-kanak tidak sekeras mana hati mereka. Mereka        boleh dipujuk dan difahamkan asalkan pendekatannya kena dengan usia        mereka.
Mereka perlu dididik agar meminta sesuatu yang mampu disediakan oleh        ibubapa mereka. Kita perlu sedar bahwa hari raya bukan hari untuk        bermegah-megah dengan pakaian--pakaian baru dan mahal. Tanpa pakaian baru        kita dan anak-anak masih lagi mampu untuk bersuka ria. Berbelanjalah        mengikut kemampuan yang ada. ''Ukurlah baju di badan sendiri''. Bagi        mereka yang berkemampuan pula, janganlah berbelanja berlebih-lebihan.        Elakkan pembaziran kerana pembaziran adalah suatu yang dilarang oleh        agama. Kesederhanaan adalah sifat yang terpuji. ''Sebaik-baik perkara        adalah pertengahan''. Demikian maksud sebuah hadis Rasulullah di dalam        menggalakkan umatnya agar berhemat di dalam setiap perkara.
Di dalam berbelanja kita bersederhana, di dalam makan minum kita        bersederhana. Jangan jadikan hari raya sebagai hari untuk 'membalas        dendam' setelah sebulan tidak boleh makan dan minum di siang hari. Kita        perlu sedar bahawa hari raya adalah hari untuk kiat ziarah menziarahi        antara satu dengan lain dan bukan hari untuk memenuhi nafsu makan minum        kita.
Ketahuilah dengan kedatangan Syawal, bererti syaitan yang menjadi musuh        utama kita dibebaskan setelah sebulan lamanya dibelenggu di bulan        Ramadhan. Kita tentunya dapat membayangkan bagaimana seseorang yang        sebulan dipenjara apabila dia dibebaskan. Tentunya dia akan menjadi begitu        aktif kerana tenaganya telah tidak digunakan sekian lama.
Justeru, berhati-hatilah kerana syaitan akan mencuba sedaya upaya untuk        menyesatkan umat Islam. Allah telah menjanjikan syaitan sebagai penghuni        neraka untuk selama-lamanya dan syaitan telah berjanji di hadapan Allah        untuk menyesatkan anak Adam agar mereka menjadi temannya di dalam        neraka.
Hanya mereka yang bertakwa dan berhati-hati di dalam setiap langkahnya        akan terselamat dari hasutan dan godaan syaitan dan Iblis.
Maka, di samping kita bergembira dan berseronok-seronok jangan pula        kita menjadi alpa dan lupa akan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim.        Jauhilah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemurkaan Allah.
Berusahalah dan berikhtiarlah didalam menjauhi sesuatu dan selepas itu        bertawakallah kepada Allah. Semoga hari raya anda diserikan dengan        senyuman dari ibu bapa, anak pinak, sanak saudara dan jiran tetangga.        Selamat hari raya Aidilfitri.
* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Penolong Profesor, Kuliyyah        Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa.
Oleh: Nik Rahim Nik Wajis

� UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan        Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail:
[email protected]
Hosted by www.Geocities.ws

1