Wajarkah ujian pengklonan manusia diharam?
BARU-BARU ini dunia dikejutkan dengan hasil kajian pakar Sains dari        Scotland, iaitu Dr. Ian Wilmut apabila beliau berjaya mengklonkan seekor        biri-biri yang bergelar ''Dolly''. Ini dikira suatu penemuan baru di dalam        bidang biologi. Bertolak dari situ, ramai saintis berkeyakinan bahawa pada        tahun 2004 iaitu kira-kira enam tahun dari sekarang, seorang bayi akan        dilahirkan melalui kaedah pengklonan ini. Presiden Amerika, Bill Clinton,        awal-awal lagi dengan tegas menentang segala bentuk ujian pengklonan        manusia di jalankan di negaranya.
Begitu juga di negara kita, pengklonan manusia pada dasarnya tidak        dipersetujui kerana dikhuatiri akan membawa kepada pelbagai masalah di        dalam masyarakat. Seorang ulama Al-Azhar, iaitu Abdul Mu'ti Bayyoumi juga        berpendapat bahawa segala bentuk kajian pengklonan manusia adalah dilarang        di dalam Islam dan ianya harus dihentikan.
Jika dilihat dari sudut kemungkinan akan lahirnya manusia daripada        kaedah kloning ini, kita mungkin berpendapat, bahawa ia bukanlah suatu        yang mustahil kerana dengan kecanggihan teknologi serta peralatan sains        yang begitu hebat, suatu yang tidak pernah diduga oleh kita mungkin akan        terjadi sama seperti lahirnya ''Dolly'' dengan kaedah yang sama tanpa        melalui kaedah persenyawaan biasa. Ini adalah suatu yang luar biasa, namun        kini ia terbukti boleh dilakukan.
Sebagai Muslim, kita tentunya berkeyakinan bahawa semuanya berlaku        adalah di atas kehendak Allah semata-mata. Begitu juga dengan kaedah        kloning manusia ia mustahil berlaku kecuali Allah telah mengizinkannya        berlaku. Berdasarkan kepada kaedah kelahiran ''Dolly'', kini persetubuhan        atau pencantuman antara benih lelaki dan wanita bukan lagi merupakan        satu-satunya jalan bagi kelahiran seseorang manusia. Jika pengklonan        manusia berhasil, ia pasti akan menjadi salah satu cara bagi menghasilkan        anak bagi pasangan suami isteri gagal melahirkan anak dengan kaedah        biasa.
Persoalannya, adakah salah dari sudut hukum, jika sepasang suami isteri        yang gagal untuk mendapatkan anak kerana mandul atau kerana        penyakit-penyakit tertentu menggunakan kaedah ini bagi mendapatkan        anak?
Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu melihat kepada kaedah asal di        dalam Islam. Menurut kaedah, ''setiap perkara itu adalah harus, kecuali        ada nas yang sahih (jelas) mengharamkannya.'' Di dalam konteks pengklonan        ini, sudah tentu tidak ada nas sama ada daripada al-Quran atau hadis        kerana ia suatu yang tidak pernah wujud di zaman Rasulullah dan juga para        sahabat. Jika tiada nas, maka pada dasarnya ia harus dilakukan dengan        syarat bahawa ianya tidak membawa kemudaratan sama ada kepada manusia,        masyarakat dan juga negara.
Bayangkan jika sepuluh bayi yang dilahirkan daripada sel yang sama,        mempunyai personaliti yang sama, rupa yang sama, dan mungkin mempunyai cap        jari yang sama meskipun belum ada kepastian tentang perkara ini, ia pasti        akan membawa masalah yang besar di dalam masyarakat dan akan berlakulah        kekeliruan di dalam perkahwinan, isteri tidak kenal suaminya, suami tidak        tahu siapakah isterinya yang sebenar. Ini akan mendedahkan mereka kepada        perzinaan dan sebagainya.
Banyak lagi keburukkan yang akan timbul hasil daripada pengkolonan yang        tidak terkawal. Kaedah seperti ini sudah tentu membawa keburukan dan        kehancuran masyarakat dan negara. Namun jika kaedah ini diberi kawalan        rapi oleh pihak kerajaan dan hanya mereka berkelayakan sahaja dibenarkan        melakukannya, maka perkara-perkara negatif yang disebutkan tadi dapat        dielakkan.
Pihak kerajaan mungkin hanya boleh membenarkan kaedah ini digunakan        oleh mereka yang tidak mampu untuk melahirkan anak dan segala usaha-usaha        lain telahpun dicuba termasuk kaedah tabung uji.
Selain daripada itu, sel-sel yang digunakan di dalam kaedah ini        mestilah dari sel ibu bapa sama seperti kaedah tabung uji di mana benih        bapa dicantumkan dengan benih ibu. Sel-sel tidak boleh diambil dari mereka        yang tidak berkahwin. Ini kerana apabila anak dilahirkan ia perlu ada        nasab dan ini melibatkan kepada pembahagian harta pusaka dan sebagainya.        Contohnya, jika sel bapa dicantumkan dengan sel ibu dan seterusnya        menghasilkan embrio dan akhirnya disuntik ke dalam rahim ibu, maka anak        yang bakal dilahirkan nanti masih boleh dibinkan atau dibintikan kepada        bapanya. Ini bererti anak itu sama keadaannya dengan bayi yang dilahirkan        dengan kaedah biasa.
Persetubuhan memang merupakan kaedah biasa di dalam melahirkan bayi,        tetapi jika kaedah klon juga boleh melahirkan bayi maka kita seharusnya        menerimanya sebagai suatu cara yang baru di dalam kelahiran umat manusia.        Di dalam ilmu feqah ia disebut sebagai feqh iftiradhi atau feqh andaian        kerana perkara ini belum lagi menjadi kenyataan. Saya kira tidak ada sebab        kenapa kita harus menolak atau melarang kajian atau ekperimen pengklonan        manusia ini.
* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Penolong Profesor, Kulliyyah        Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa, Kala Lumpur.
e-mail: nira@iiu,edu,my
Oleh: DR. NIK RAHIM NIK WAJIS

� UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan        Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail:
[email protected]
Hosted by www.Geocities.ws

1