Permasalahan kahwin campur -- Permasalahan kahwin campur
MUKADIMAH -- KONFLIK dalam perkahwinan campur khususnya membabitkan        lelaki Islam dengan wanita bukan Islam khususnya wanita Barat nampaknya        semakin ketara sejak akhir-akhir ini.
Antara implikasi paling menyayat hati ialah perebutan anak hasil        perkongsian hidup pasangan terbabit selepas bercerai.
Kisah bapa yang terpaksa membawa 'lari' anaknya ke Malaysia daripada        jagaan ibu mereka di negara Barat yang jauhnya beribu-ribu kilometer bukan        kisah baru dalam media massa tempatan.
Boleh dikatakan, pendapat umum di Malaysia dalam kes seumpama ini        memihak kepada si bapa yang lazimnya berkata mereka berbuat demikian untuk        menyelamatkan akidah anak-anak.
Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan dan apakah iktibar yang        boleh diambil oleh individu Muslim yang berkahwin khususnya dengan wanita        Barat dalam kes serupa ini ?
Mendasari masalah ini, wartawan Mingguan Malaysia, Ruhaidini Abd. Kadir        meninjau pandangan Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang, Universiti        Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Nik Rahim Nik Wajis mengenai konflik rumah        tangga yang mungkin boleh menular menjadi isu diplomatik antara dua        negara.
PERKAHWINAN dari berlainan bangsa atau dikenali juga dengan 'kahwin        campur' bukanlah perkara yang asing dan pelik.
Ia telah berlaku saban waktu dalam masyarakat seluruh dunia dan tidak        ketinggalan rakyat negara kita yang merantau ke luar negara dan berkahwin        dengan rakyat asing di negara mereka atau rakyat Malaysia yang berkahwin        dengan rakyat negara luar yang datang ke negara kita.
Perkara seperti ini sebenarnya diterima dan ia selari serta tidak        bercanggah dengan ajaran Islam yang tidak membezakan di antara bangsa dan        warna kulit.
Ini kerana perkahwinan ini telah memenuhi syarat utama di dalam Islam        iaitu pasangan tersebut mestilah beragama Islam.
Larangan hanya terdapat di dalam perkahwinan dengan mereka yang bukan        Islam. Di dalam al-Quran, Allah berfirman: Janganlah kamu mengahwini        wanita-wanita musyrik sehinggalah mereka beriman, sesungguhnya seorang        hamba yang mukmin itu lebih baik daripada wanita yang musyrik meskipun        kamu menyukainya.
Berdasarkan ayat itu, larangan berkahwin secara automatik terangkat        apabila wanita tersebut memeluk Islam.
Pada pandangan saya, berkahwin campur tentunya ada kebaikannya namun        tidak kurang juga ada keburukannya apalagi jika perkahwinan itu di antara        rakyat tempatan dengan rakyat dari luar negara.
Fokus perbincangan kita kali ini ialah tentang suami dari rakyat        tempatan yang mengahwini wanita dari bangsa asing. Pada dasarnya Islam        tidak melarang perkahwinan seumpama ini jika sekiranya pasangan tersebut        sudah memeluk Islam.
Di antara kebaikan perkahwinan campur pertamanya ialah pasangan itu        berpeluang untuk berkenalan di antara satu sama lain. Bukan sahaja dengan        pasangannya bahkan seluruh keluarga yang terlibat dan ini bertepatan        dengan hikmah atau tujuan Allah mencipta manusia dari berbilang bangsa,        puak dan kaum.
Namun di sini kadangkala akan timbul masalah khususnya bagi kita umat        Islam.
Jika pasangan tersebut dari negara Barat contohnya, tentulah sukar bagi        kita untuk menerima sesetengah adat serta amalan yang mereka lakukan.
Meminum arak, pergaulan bebas, berzina, berjudi adalah di antara amalan        yang sukar dihapuskan dan ini seolah-olah sudah sebati di dalam kehidupan        mereka bahkan ia boleh dikira sebagai sebahagian dari hidup mereka.
Bagaimana boleh kita pastikan bahawa isteri yang dikahwini adalah suci        kerana amalan seks bebas yang berleluasa di dalam masyarakat mereka.
Sebagai suami tentunya tidak manis jika terus membelakangkan keluarga        wanita yang dikahwini. Ini kerana, meskipun wanita itu telah dikahwini,        namun ibu bapa mereka tetap perlu dihormati walaupun mereka tidak memeluk        Islam.
Satu lagi masalah yang mungkin timbul berkaitan dengan adat istiadat        dan saya melihat ini pasangan akan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan        diri dengan adat istiadat pasangan mereka.
Jika pasangan yang dilahirkan di negara Barat dan hidup pula di dalam        kemewahan, maka mungkin mereka agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan        kehidupan rakyat tempatan dan kadangkala ini juga boleh mendorong kepada        ketidaksefahaman dan akhirnya membawa kepada perceraian.
Kedua, selain peluang untuk memahami dan mengamalkan adat resam serta        budaya berbeza, faktor bahasa juga dikira advantage kerana dengan        berkahwin seseorang itu memiliki 'kamus hidup', yang pasti akan membantu        dalam menguasai sesuatu bahasa.
Namun, di sini juga masalah akan timbul. Masalah ini bukan di antara        pasangan tersebut yang pastinya boleh berkomunikasi dengan sesuatu bahasa,        tetapi dengan keluarga pasangan.
Bernasib baiklah jika ibu bapa boleh memahami bahasa pasangan tersebut,        jika tidak ia boleh menimbulkan masalah dalam keluarga tersebut.
Ketiga, di samping boleh berkenalan, memahami budaya asing serta        penguasaan bahasa yang berbeza, pasangan terbabit juga jika bernasib baik        berpeluang untuk memperolehi anak-anak yang mempunyai rupa yang        berbeza.
Bagi kebanyakan orang, mempunyai anak serta cucu dari pelbagai rupa        tentunya menceriakan.
Bayangkan jika di dalam satu keluarga, ada anak yang rupanya orang        Inggeris, ada wajahnya seperti Arab dan sebagainya. Tentunya ia menjadi        kebanggaan.
Keempat, perkahwinan campur antara rakyat tempatan dengan orang luar        dikira sebagai satu perjuangan dan dakwah yang besar. Mereka boleh dikira        sebagai penyelamat khususnya jika pasangan tersebut sebelum berkahwin        bukan seorang Muslim.
Ini kerana mereka telah berjaya meyakinkan pasangannya dengan agama        yang sebenar iaitu Islam yang telah mengubah hidup mereka dari kegelapan        kepada cahaya Islam.
Namun, perkara yang perlu diberi perhatian serius di sini ialah tentang        komitmen suami terhadap isteri yang baru memeluk Islam.
Isteri seharusnya diberi kefahaman sebenar tentang Islam. Niat mereka        perlu diperbetulkan. Memeluk Islam bukan kerana ingin berkahwin tetapi        kerana keyakinan dan kebenaran Islam yang telah mula dilihat.
Keyakinan, keikhlasan di dalam memeluk Islam adalah amat penting bagi        menjamin seseorang yang memeluk Islam kekal berada di dalam agama yang        suci meskipun jodoh mereka kadangkala tidak kekal.
Ramai yang memeluk Islam hanya kerana cinta dan ingin berkahwin tetapi        apabila berpisah lantas kembali kepada agama asal.
Suami di dalam hal ini perlu memainkan peranan mereka di dalam mendidik        isteri agar benar-benar faham akan agama Islam yang suci ini.
Sememangnya di dalam perkahwinan, perceraian adalah antara perkara yang        lumrah berlaku. Namun, perkara seperti ini perlulah dijauhi. Amalan talak        atau cerai adalah satu amalan yang dibenci oleh Allah meskipun ia adalah        harus pada hukum syarak.
Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud "sebenci-benci perkara yang halal        di sisi Allah ialah talak' menggambarkan kepada kita bahawa talak meskipun        harus, ianya bukan suatu yang boleh dijadikan mainan.
Perceraian menimbulkan banyak masalah bukan sahaja kepada suami tetapi        memberi kesan yang sangat dahsyat kepada anak-anak. Keadaan akan menjadi        lebih rumit jika isteri berasal dari luar negara.
Menurut Seksyen 82, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah        Persekutuan, ibu adalah orang yang paling berhak menjaga anak kecilnya        semasa masih di dalam perkahwinan dan selepas perceraian.
Namun persoalannya, adakah si suami rela meninggalkan anaknya bersama        ibu mereka di luar negara sedangkan si suami tidak begitu yakin dengan        akidah bekas isterinya ?
Si isteri mungkin akan kembali kepada agama asal dan anak-anak juga        mungkin terikut-ikut dengan fahaman ibu mereka dan di atas kebimbangan ini        si bapa sanggup 'melarikan' atau 'menculik' anak sendiri untuk dibawa        pulang ke tanah air.
Jika si isteri telah murtad, sememangnya jelas bahawa tindakan suami        adalah tepat tetapi itu pun selepas mahkamah memastikan bahawa segala        bukti tentang dakwaan murtad adalah benar.
Ini berdasarkan kepada Seksyen 83 yang menyebut bahawa hak penjagaan        (hadanah) seorang wanita akan hilang apabila wanita itu murtad dan kembali        kepada agama asal mereka.
Berdasarkan beberapa peristiwa yang pernah menjadi berita utama di        media massa tempatan, saya melihat bahawa perkahwinan campur khususnya        antara lelaki Islam Malaysia dengan wanita Barat banyak menimbulkan        masalah apabila berlaku perceraian.
Lantaran itu, saya berpendapat bahawa perkahwinan seperti ini jika        boleh, hendaklah dielakkan demi menjaga keharmonian hidup kita, anak-anak,        keluarga, masyarakat bahkan negara.
Ini kerana masih ramai wanita tempatan yang mampu memberikan        kebahagiaan kepada kita. Kenapa harus memilih 'barangan import' sedangkan        'barangan tempatan' lebih bermutu atau setidak-tidaknya setaraf dengan        'barangan import'.
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat perkahwinan yang seumpama        itu boleh bertahan selama-lamanya tanpa sebarang masalah yang besar.
Pokok pangkal adalah terletak kepada keyakinan serta kesanggupan kita        untuk menangani masalah yang berlaku dan tidak mudah menggelabah di dalam        menghadapi situasi yang mencabar.
� UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan        Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail:
[email protected]
Hosted by www.Geocities.ws

1