Kemalangan jalan raya: Penjara mandatori wajar
CADANGAN kabinet untuk mengkaji semula hukuman terhadap pemandu yang        cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut termasuk cadangan mengenakan        hukuman penjara mandatori sepatutnya diberi sokongan padu oleh semua        golongan masyarakat.
Ini kerana segala usaha pihak kerajaan, swasta dan Badan-badan Bukan        Kerajaan (NGO) selama ini termasuk kempen keselamatan dengan        berbagai-bagai tema dan logo tidak banyak memberikan pengajaran kepada        pengguna jalan raya. Ini terbukti apabila lebih 300 orang terkorban di        jalan raya semasa perayaan berkembar baru-baru ini.
Ini menggambarkan bahawa perkara ini adalah masalah yang amat serius        yang bukan hanya berbentuk individu tetapi adalah masalah nasional.
Kemalangan jalan raya mengikut kajian lebih banyak berpunca daripada        sikap manusia. Kebiasaannya pemandu khususnya yang memandu kenderaan berat        seperti lori, bas ekspres dan sebagainya, merasa yakin dengan keselamatan        mereka. Dengan saiz yang besar kadangkala mereka merasakan akan terselamat        jika berlaku kemalangan.
Sikap seperti ini menjadikan pemandu tersebut tidak menghiraukan        keselamatan orang lain. Selain itu jika berlakunya kemalangan mereka tidak        begitu risau kerana ganti rugi akan dibayar oleh pihak syarikat. Lantaran        itu hukuman yang lebih berat perlu dikenakan bagi mengajar pemandu agar        lebih berhati-hati semasa memandu.
Di dalam mencari penyelesaian bagi masalah keselamatan jalan raya, kita        tidak seharusnya bergantung kepada satu kaedah tertentu sahaja. Jika        kempen yang dilakukan tidak dapat memberi kesan serta kesedaran kepada        pengguna jalan raya, maka cara lain harus dilakukan dengan harapan ia akan        dapat melahirkan natijah yang diharapkan.
Ternyata undang-undang dan peraturan yang ada tidak memadai untuk        menjadikan para pemandu benar-benar menjadi seorang yang bertanggungjawab        semasa berada di jalan raya. Berdasarkan kepada Seksyen 41(1), Akta        Pengangkutan Jalan Raya 1987, mereka yang didapati bersalah kerana memandu        dengan cuai sehingga menyebabkan kematian hanya boleh dikenakan hukuman        penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua        sekali.
Persoalan pokok yang perlu diberi perhatian di sini ialah kesan        kecuaian pemandu kepada mangsa dan keluarga mereka. Apakah memadai seorang        pesalah yang memandu secara cuai dan menyebabkan kematian hanya dikenakan        hukuman penjara selama lima tahun dan didenda sebanyak RM10,000 sedangkan        si mangsa serta ahli keluarga terpaksa menanggung derita sepanjang hayat?        Di manakah keadilannya? Siapakah yang perlu diberi simpati? Pesalah atau        mangsanya?
Di dalam syariat Islam semua perbuatan yang dilakukan sekiranya boleh        menyebabkan kematian si mangsa, perbuatan ini dikira sebagai jenayah. Cuma        hukumannya berbeza mengikut qasd al-jina'e atau niatnya. Jika        seseorang itu berniat untuk membunuh maka hukumannya ada qisas        iaitu balas bunuh. Namun jika pembunuhan itu berlaku dengan tidak sengaja        atau qatl al-khata ia tetap dikira sebagai jenayah namun kesalahan        tersebut tidak akan membawa kepada hukuman qisas atau balas bunuh.
Menurut hukum Islam, mereka yang membunuh secara tidak sengaja boleh        dikenakan hukuman diyat iaitu ganti rugi yang berupa seratus ekor        unta atau lembu jika di negara kita Malaysia. Jika seekor unta atau lembu        bernilai RM3,000. Ini bererti keluarga yang menyebabkan kematian akan        terpaksa membayar kira-kira RM300,000 kepada keluarga si mangsa. Al-Syahid        Syed Quth di dalam kitab tafsirnya Fi Zilal al-Quran menyebutkan        bahawa ''di antara hikmat pembayaran diyat ialah untuk        menghilangkan perasaan dendam di dalam diri keluarga si mangsa serta        menggantikan sedikit sebanyak kehilangan serta penderitaan yang ditanggung        oleh keluarga si mangsa tersebut.''
Meskipun jumlah ini tidak dapat mengubati penderitaan ahli keluarga si        mati namun wang itu boleh digunakan menampung keperluan keluarga tersebut        termasuk makan minum, pakaian, persekolahan anak-anak dan sebagainya.
Selain daripada itu, hukuman seumpama ini juga akan memberikan suatu        pengajaran kepada mereka yang terbabit kerana jumlah wang sebegitu besar        terpaksa dikeluarkan.
Sebagai kesimpulannya bolehlah dikatakan bahawa undang-undang yang ada        sudah tidak sesuai dan perlu dikaji semula dan satu undang-undang dan        hukuman denda yang lebih berat perlu dikenakan. Ini termasuk mengenakan        hukuman rotan atau penjara mandatori dengan tempoh yang lebih lama kerana        jenis-jenis hukuman tersebut boleh dikategorikan sebagai hukuman        ta'zir menurut pandangan Islam yang mana hukuman ini boleh        dikenakan oleh pemerintah sekiranya didapati sesuai dan boleh mencapai        matlamat ke arah penyelesaian masalah yang sekian lama berlarutan.
* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Penolong Profesor, Kuliyyah        Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa.
Oleh: DR. NIK RAHIM NIK WAJIS

� UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan        Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail:
[email protected]
Hosted by www.Geocities.ws

1