Islam dan hak asasi manusia
ISLAM adalah agama kesejahteraan. Kesejahteraan yang ditawarkan bukan        sahaja kepada makhluk yang bernama manusia bahkan kepada seluruh makhluk        di atas permukaan bumi termasuk haiwan serta tumbuh-tumbuhan.
Perkataan Islam itu sendiri bererti kesejahteraan, maka tidak syak lagi        Islam amat mementingkan kesejahteraan khususnya kesejahteraan manusia        sejagat yang merupakan khalifah Allah di atas muka bumi ini.
Di dalam kesibukan masyarakat manusia membicarakan tentang hak-hak        asasi manusia, Islam sebenarnya telahpun menjadikannya sebagai        perkara-perkara asas yang perlu diberi perhatian yang sewajarnya.
Lima perkara asas tersebut adalah agama, nyawa, akal, maruah dan harta.        Bagi menjamin perkara-perkara asas tersebut tidak dicabuli oleh mana-mana        pihak, maka Islam telah menggariskan undang-undang yang khusus yang        dikenali sebagai undang-undang hudud dan qisas.
Perkara utama yang diberi perlindungan di dalam Islam ialah agama        kerana ia merupakan perkara paling pokok dalam kehidupan manusia.        Sememangnya manusia diberi kebebasan untuk memilih agama mengikut        kecenderungan masing-masing. Ini jelas digambarkan oleh al-Quran:
''Tidak ada paksaan di dalam agama, sesungguhnya jalan yang lurus        itu telah jelas berbanding dengan jalan yang sesat.''
Ayat ini dengan jelas menggambarkan bahawa adalah menjadi satu        kesalahan bagi umat Islam sama ada orang perseorangan atau pun pihak        atasan untuk mengenakan peraturan bagi memaksa mereka yang bukan Islam        untuk memeluk Islam. Islam dengan tegas menjelaskan bahawa umat Islam        tidak perlu memaksa orang yang bukan Islam untuk memilih Islam sebagai        agama anutan mereka. Islam adalah agama yang jelas menjanjikan        kesejahteraan kepada umatnya tanpa mengira bangsa.
Mereka yang diberi hidayah oleh Allah untuk menerima Islam adalah        mereka yang amat bertuah dan bernasib baik. Segala dosa yang mereka        lakukan semasa di luar Islam dijanjikan keampunan oleh Allah seumpama bayi        yang baru dilahirkan. Alangkah beruntungnya mereka yang sekian lama        bergelumang dengan dosa tetapi di akhir hayatnya diberi secebis cahaya        keimanan lantas mati di dalam keimanan. Mereka dijanjikan syurga yang        kekal abadi di akhirat nanti. Namun ramai juga yang kurang mengerti atau        kabur tentang konsep kebebasan beragama yang menjadi prinsip Islam.        Kebebasan beragama diberi kepada mereka yang bukan Islam untuk memilih        agama yang mereka suka. Namun apabila seseorang itu memeluk Islam,        kebebasan itu tidak lagi boleh diaplikasikan. Mereka telah menjadi        warganegara Islam yang tertakluk kepada peraturan dan undang-undang.
Islam melindungi penganutnya dengan tidak memberikan kelonggaran untuk        mereka menjadi murtad. Ini merupakan satu jalan untuk memelihara kesucian        Islam agar tidak menjadi fitnah kepada mereka yang bukan Islam. Membiarkan        mereka yang murtad bebas tanpa diberi hukuman akan menyebabkan mereka akan        cuba merosakkan serta memutarbelitkan ajaran agama bagi menarik umat Islam        keluar dari agama mereka. Lantaran itu mereka yang murtad dikira sebagai        pembelot kepada agama.
Selain agama, nyawa juga dilindungi. Nyawa adalah suatu yang amat        berharga yang tidak mungkin boleh dijual beli. Lantaran itu Islam telah        menggariskan undang-undang qisas bagi menjamin nyawa manusia        dilindungi. Membunuh adalah satu jenayah yang amat serius menurut        perundangan Islam. Dari sudut hukumnya, membunuh adalah suatu yang haram        dilakukan. Ia termasuk di dalam kategori dosa-dosa besar. Mereka yang        membunuh dengan sengaja, dosanya umpama membunuh seluruh umat manusia.        Dari segi perundangan, mereka yang didapati membunuh dengan sengaja dan        dapat dibuktikan sama ada melalui dua orang saksi atau pengakuan, maka        mereka boleh dibunuh. Antara tujuan hukuman ini dijalankan adalah untuk        memelihara umat manusia daripada diperlakukan sesuatu yang boleh mengancam        kehidupan mereka.
Islam melihat akal adalah suatu yang amat penting bagi manusia. Akallah        yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk yang lain. Kerana akal        jugalah manusia mencapai tahap ketamadunan yang unggul. Akal menjadikan        manusia tahu untuk membezakan yang mana hak dan yang mana batil, yang mana        baik dan yang mana buruk.
Dengan sebab itu Islam menyediakan hukuman yang khusus bagi melindungi        akal manusia agar mereka mampu untuk mengatur susun kehidupan mereka        dengan sebaiknya. Bila akal tidak dapat mengawal segala tindakan serta        perkataan, para intelek akan menjadi manusia yang paling jelek, yang        punyai kedudukan serta kekayaan akan menjadi umpama pengemis di        jalanan.
Maruah juga turut dibela di dalam Islam. Menuduh, membuat fitnah serta        mengadakan cerita yang tidak benar adalah juga dilarang. Harta sememangnya        sering menjadi perbualan. Kerana harta manusia sanggup bertelingkah dan        bergaduh. Harta juga menjadikan manusia menjadi angkuh dan tidak keruan.        Kehidupan manusia pastinya akan lebih harmoni dan damai jika hak asasi ini        dipelihara.
* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Penolong Profesor, Kulliyah        Undang-Undang, UIA, Gombak.
Email:[email protected]
Oleh: DR. NIK RAHIM NIK WAJIS

� UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan        Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail:
[email protected]
Hosted by www.Geocities.ws

1