Pendidikan anak-anak dalam Islam
KITA seringkali mendengar berita mengenai penglibatan remaja di dalam        aktiviti yang tidak bermoral seperti pengambilan najis dadah, perhubungan        sex bebas, gejala lepak, bohsia dan bohjan dan lain-lain lagi.
Kita mungkin pernah mengeluh bersendirian atau mungkin juga pernah        membincangkan perkara ini dengan rakan sepejabat, jiran tetangga, kaum        keluarga bahkan di dalam seminar-seminar yang besar mahupun yang kecil.        Perbincangan bertujuan mencari jalan penyelesaian.
Ibu bapa merintih kesedihan apabila mendengar anak mereka ditahan polis        atau oleh badan pencegah maksiat. Hati mereka sebak menahan kesedihan        apatah lagi jika anak yang mereka didik sejak kecil, menjadi manusia yang        tidak pernah diimpikan. Pendidikan merupakan suatu yang amat penting di        dalam mencerna kehidupan seorang anak. Namun ianya tidak lebih daripada        suatu ikhtiar dari kita yang bergelar manusia untuk melihat anak-anak        menjadi anak yang soleh dan sanggup berbakti kepada orang tuanya.
Namun tidak ada suatu jaminan bahawa anak yang di didik dengan didikan        yang sempurna, diajar mengerjakan solat, berakhlak dengan akhlak yang        mulia, menghormati ibu bapa, menjauhi perkara-perkara yang diharamkan        seperti perzinaan, mengambil dadah dan sebagainya, akan mengerjakan segala        tuntutan agama yang diterima apabila mereka dewasa nanti.
Sebagai ibu bapa mungkin hanya mampu berharap agar segala ajaran yang        disampaikan ampu untuk menjadikan anak-anak sentiasa berwaspada di atas        segala tindak tanduknya. Kesan kekuatan pendidikan yang dicurahkan akan        menjadi bekal kepada anak-anak di ketika ini. Namun kesan atau hasil        pendidikan ibu bapa terhadap anak-anak mereka bergantung kepada sejauhmana        ibu bapa mampu untuk menanamkan sifat yang baik di dalam diri anak-anak        sehingga ianya mampu bertahan lebih lama.
Proses pendidikan anak-anak di dalam Islam sebenarnya bermula di dalam        proses pemilihan bakal calon isteri atau suami. Ini kerana dua komponen        inilah yang nanti akan mencorak peribadi dan tingkah laku anak-anak. Di        dalam sebuah hadith Rasulullah bersabda:
''Setiap anak itu dilahirkan di dalam keadaan yang suci (fitrah)). Ibu        bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi''.
Memilih isteri atau suami tidak beriman dan berakhlak buruk umpama        menanam benih yang busuk tetapi mengharapkan buah yang baik dan bermutu        tinggi. Ianya amat sukar untuk diperolehi. Lantaran itu Islam amat        menitikberatkan soal mencari jodoh kerana ia merupakan jalan ke arah        pembinaan masyarakat madani yang diharapkan.
Proses pendidikan anak-anak masih belum sempurna dengan pemilihan        suami/isteri yang mempunyai ciri-ciri yang telah ditetapkan oleh agama        seperti ketaqwaan dan sebagainya. Apabila si isteri hamil, proses        pendidikan terus berjalan. Ibu-ibu yang menjaga makan minumnya dari yang        haram, memperbanyakkan ibadat, menjauhi dosa dan perkara-perkara yang        tidak berfaedah secara tidak langsung telah mendidik anak yang        dikandungnya.
Apabila seseorang bayi lahir ke dunia, mereka di azan dan qamatkan.        Dari hari pertama mereka menjejakkan kaki ke dunia mereka telah pun        diperdengarkan dengan kebesaran Allah dengan harapan bahawa akan kekal di        dalam hati si anak apabila dewasa.
Anak yang lahir pastinya akan melalui proses pembesaran dan di dalam        proses ini seorang anak itu akan melihat dan belajar dari ibu bapanya.        Mereka akan meniru apa sahaja yang dilakukan serta diperkatakan oleh ibu        bapa mereka.
Jangan hairan jika kanak-kanak yang baru belajar bercakap, sudah pandai        memaki hamun. Ia sebagai 'sample' produk yang dilahirkan oleh kedua ibu        bapanya.
Jika kita melihat remaja kita terpesong dan terlibat dengan gejala        dadah, bohsia dan bohjan, ambillah cermin, lihat diri kita sebagai ibu        bapa dan tanyalah sejauh mana kita telah menjalankan amanah serta        tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan oleh Tuhan.
* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Penolong Profesor, Kulliyah        Undang-undang UIA.
Oleh: DR. NIK RAHIM NIK WAJIS

� UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan        Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail:
[email protected]
Hosted by www.Geocities.ws

1