Air dan kehidupan manusia
TIDAK dapat dinafikan bahawa air merupakan sumber yang amat penting        bagi kehidupan umat manusia. Kita dapat membayangkan bagaimana keadaan        hidup di kala dilanda krisis air ini.
Meskipun ia hanya dihadapi oleh penduduk Lembah Klang, namun perkara        yang sama tidak mustahil akan berlaku di negeri-negeri lain juga jika        keadaan kemarau terus berpanjangan. Kehidupan menjadi begitu sukar, keluh        kesah, tertekan dan sebagainya. Di kala ini segelas air terasa begitu        bernilai. Rasa tidak sanggup untuk dijual meskipun jika ditawarkan harga        yang begitu lumayan.
Di saat ini barulah kesedaran timbul dan kita mula tahu berjimat cermat        menggunakan air. Semasa 'mewah', kita tidak ada had air untuk digunakan        apabila mandi, membasuh pakaian dan kereta kesayangan, bahkan air yang        memancut keluar dari paip-paip bocor kadangkala tidak begitu diendahkan.        Berjimat cermat menggunakan air tidak ada di dalam kamus kehidupan kita.        Namun di saat genting ini, pakaian dibasuh hanya setelah ia benar-benar        kotor. Jika mandi pula, satu baldi mungkin cukup untuk dua atau tiga kali        mandi. Kereta yang dulu sering dibasuh pantang melihat kekotoran melekat,        sekarang berubah. Semuanya kerana kita tahu betapa sukar untuk mendapatkan        air.
Sememangnya begitulah tabiatnya manusia, beringat apabila sudah        terkena, sudah terantuk baru tengadah. Di dalam al-Quran, Allah s.w.t.        menceritakan perihal manusia serta tabiat mereka. Firman Allah:        ''Apabila manusia ditimpa bencana maka mulalah mereka berdoa kepada        Tuhan serta kembali (bertaubat) kemudian apabila bencana itu ditukar        menjadi nikmat, maka mereka mula lupa tentang apa yang pernah mereka        doakan dan mereka mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah bagi menyesatkan        manusia dari jalan Allah.'' (Surah al-Zumar: 8).
Sesungguhnya kemarau yang memanjang ini seharusnya mengajar kita supaya        lebih peka dan tahu untuk menilai rahmat dan nikmat dari Allah. Kita        seharusnya sedar bahawa ini semua adalah bencana yang sengaja diturunkan        oleh Allah agar kita sedar dan insaf serta kembali ke jalan-Nya yang        benar.
El Nino bukanlah penentu kepada keadaan yang berlaku, ia sekadar        pembawa 'amanat' daripada Allah. El Nino adalah makhluk yang tidak        mempunyai kuasa dan yang berkuasa hanyalah Allah. Tuhan yang mencipta        segala yang wujud di atas permukaan bumi ini.
Kita kerap kali mengkaji punca berlakunya sesuatu perkara dan        seringkali lupa untuk mengembalikan segalanya kepada Allah. Apabila jerebu        melanda negara kita tidak lama dulu, kita berputar mencari punca. Lantas        kita berkata ''Oh!! Kebakaran hutan di Indonesia menjadi punca.'' Lantas        kita menghantar anggota bomba kita untuk memadamkan kebakaran di sana.        Tapi kita lupa bahawa kebakaran cuma sekadar 'cara' bagaimana Allah        menurunkan bencana kepada kita.
Begitu juga apabila berlakunya kemarau panjang, El Nino disalahkan.        Apabila paras air di beberapa empangan mula jatuh ke bawah paras kritikal,        kita mula sibuk mencari punca. Akhirnya hujan turun dengan lebat, namun        paras air tidak juga menampakkan perubahannya. Kita terus sibuk mencari        punca kepada masalah, akhirnya punca ditemui. Tempat tadahan air diteroka        sehingga air tidak dapat ditakung dan natijahnya, empangan-empangan tidak        dapat menyimpan air seperti yang diharapkan. Akhirnya bekalan air di        beberapa tempat mula dicatu.
Demikianlah bagaimana sesuatu perkara itu berkait-kaitan antara satu        dengan lain. Namun tidak ada siapa yang sanggup untuk menerima dan mengaku        kesilapan yang dilakukan, umpama lagu Bangau oh Bangau...
Sememangnya di dalam Islam kita disuruh untuk berusaha mencari jalan        bagi menyelesaikan segala masalah dan kekusutan yang kita hadapi. Namun        usaha ini haruslah dikaitkan dengan kepercayaan serta keyakinan yang teguh        bahawa segala yang berlaku adalah dengan kehendak Allah semata-mata.        Setiap apa yang belaku ada hikmatnya yang terlindung namun ia amat sukar        di lihat kecuali mereka yang dibuka hatinya oleh Allah.
Menurut pakar kaji cuaca fenomena El Nino akan berakhir di dalam masa        beberapa bulan lagi, namun ia akan diganti pula dengan El Nina yang        membawa suhu dingin serta hujan lebat yang tentunya membawa kegembiraan        kepada kita kerana krisis air serta cuaca panas mungkin akan berakhir.        Namun dibimbangi ia akan menyebabkan banjir serta pelbagai lagi kesan yang        tentunya akan membawa keburukan kepada kita. Demikianlah keadaan silih        berganti, namun sedar atau tidak, mahu tidak mahu sebagai manusia kita        terpaksa akur dengan sunnatullah (ketetapan Allah) bahawa kita tidak        sentiasa memperoleh apa yang kita mahu kerana walau bagaimana hebat        pencapaian teknologi kita, namun ketetapan Allah tidak siapa boleh        menghalangnya.
Namun sebagai seorang mukmin kita perlu menjadikan segala apa yang        berlaku di sekeliling kita sebagai suatu pengajaran yang membawa supaya        lebih hampir kepada Allah pencipta alam semesta.
* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Penolong Profesor, Kuliyyah        Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa. - E-mel:        [email protected]
Oleh: Dr. Nik Rahim Nik Wajis

� UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan        Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail:
[email protected]
Hosted by www.Geocities.ws

1