|
Home
| More Links
|
||
Lagi dakwaan terserempak Bigfoot Oleh HAMZAH SARAH KEMAMAN 30 Dis. - Seorang bekas anggota perisikan mendakwa pernah terserempak dengan makhluk besar dipercayai Bigfoot ketika memancing di muara sungai Kuala Ibai, Kuala Terengganu, pada tahun 1987. Pendedahan terbaru mengenai makhluk itu dibuat oleh Presiden Persatuan Kebajikan Bekas Perisikan Malaysia, Mustapha Ab. Rahman, 50, yang berkata, kejadian itu berlaku ketika beliau bersama tiga rakannya sedang memancing di muara sungai itu. Menceritakan peristiwa itu, beliau yang pernah berkhidmat di bahagian perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, pada mulanya mereka terdengar percikan air yang kuat berhampiran tempat mereka memancing. Katanya, tidak lama selepas itu keluar satu makhluk berbulu lebat setinggi kira-kira enam meter dari air sungai berkenaan. ``Saya bagaikan tidak percaya dengan apa yang saya lihat dan haiwan tersebut ketika itu seperti menggoncangkan badan bagi mengeringkan air di bulunya. ``Ketika kejadian, jam di tangan saya menunjukkan pukul 7.25 malam tetapi keadaan di persekitaran masih jelas kelihatan dan kami masa itu semakin cemas apabila haiwan itu mula bergerak langkah demi langkah,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini. Beberapa ketika kemudian, jelasnya, haiwan yang menyerupai Bigfoot itu keluar dari sungai dan memasuki kawasan semak berhampiran. ``Selepas Bigfoot tersebut terlepas dari pandangan, saya dan rakan-rakannya terus keluar dari tempat memancing kerana bimbang makhluk itu berpatah balik. ``Dengan tubuhnya yang dianggar ketinggian 20 kaki serta saiz tapak kakinya, saya yakin makhluk aneh tersebut adalah Bigfoot walaupun ada pihak menganggapnya hantu air kerana menjelma pada waktu senja,'' katanya. Minggu lalu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Supritendan Mohd. Fakri Che Sulaiman mendakwa mengaku pernah terserempak dengan gorila besar di satu kawasan hutan di sempadan Malaysia - Thailand, kira-kira 26 tahun lalu. Mohd. Fakri mendakwa gorila besar yang ditemuinya begitu kuat jeritannya sehingga menggegarkan peralatan yang beliau bawa bersama anggota-anggota polis lain.
Orang Asli mungkin benar Oleh: ROHANI IBRAHIM JOHOR BAHRU 2 Jan. - Dakwaan dua pemuda Orang Asli yang ditemui baru-baru ini bahawa mereka pernah terserempak dengan mawas atau Bigfoot berkemungkinan benar kerana sikap menipu dan mereka-reka cerita bukanlah budaya masyarakat tersebut. Pengurus Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Hashim Yusoff berkata, walau bagaimanapun dakwaan tersebut perlu disokong dengan bukti-bukti fizikal yang nyata dan saintifik bagi memastikan haiwan gergasi itu benar-benar wujud di negeri ini. ``Dakwaan dua Orang Asli itu ada kebenarannya kerana berdasarkan pengalaman saya masyarakat tersebut berpegang kepada prinsip sentiasa bercakap benar, jujur dan berterus-terang. ``PTNJ sudah mewujudkan pangkalan data mengenai Bigfoot yang dikemas kini dari masa ke masa sebagai usaha menjejaki dan memastikan kesahihan kewujudan haiwan gergasi itu,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini. Hashim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ekspedisi pertama menjejaki Bigfoot yang diadakan di Hutan Simpan Sungai Madik, Kahang Jumaat lalu dan akan diadakan buat kali kedua pada penghujung bulan ini. Ekspedisi yang diadakan minggu lalu tidak menemui sebarang kesan haiwan tersebut tetapi dua Orang Asli yang ditemui mendakwa pernah terserempak dengan binatang itu di dua kawasan yang berlainan. Jelas beliau, semalam pihaknya turut menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung di Mawai, Kota Tinggi yang mendakwa pernah terlihat dengan binatang itu dalam masa setahun yang lalu. ``Semua maklumat yang diperoleh akan disimpan di dalam pangkalan data kami dan akan dijadikan panduan untuk mengesan serta mengenal pasti keluasan lokasi yang dipercayai habitat Bigfoot,'' tambahnya. Mengulas mengenai kenyataan Penasihat Persatuan Alam Malaysia (MNS) Johor, Vincent Chow semalam bahawa gerakan menjejaki Bigfoot tidak boleh dilakukan dalam masa sehari, Hashim menambah kenyataan itu boleh diterima. ``Ekspedisi kedua yang akan dijalankan pada penghujung bulan ini akan dijalankan selama seminggu di mana saya sendiri akan menyertai ahli ekspedisi untuk tinggal di dalam kawasan yang dikenal pasti sepanjang waktu tersebut. ``Ekspedisi kedua diharap dapat menemui bukti-bukti fizikal yang jelas seperti tapak kaki dan sebagainya bagi mengukuhkan dakwaan kewujudan Bigfoot,'' jelasnya.
Bigfoot mungkin saki- baki monyet prasejarah JOHOR BAHRU 4 Jan. - Mungkinkah Bigfoot, haiwan gergasi menyerupai monyet yang didakwa dilihat di kawasan hutan di Johor baru-baru ini, sebenarnya sejenis haiwan pra-sejarah yang telah pupus sejak ratusan ribu tahun dahulu?. Berdasarkan kepada satu teori dikenali Bigfoot-Giganto, para penyelidik berpendapat makhluk yang turut dipanggil Sasquatch, Yeti atau Orang Mawas itu berkemungkinan sejenis monyet gergasi prasejarah yang diketahui hidup ketika zaman pertengahan Pleistocene. Monyet gergasi itu dipercayai hidup di beberapa kawasan Asia termasuk China dan Asia Tenggara serta Amerika Utara ketika sejak zaman purba sebelum pupus dari muka bumi sekitar 200,000 hingga 500,000 tahun dahulu. Persoalan sama ada Bigfoot itu merupakan sejenis haiwan prasejarah sebenarnya telah lama dibincangkan oleh penyelidik di seluruh dunia, tetapi sehingga kini tidak ada sebarang keputusan muktamad dicapai mengenainya. Ini menimbulkan persoalan sama ada Bigfoot, yang didakwa dilihat oleh beberapa individu termasuk pegawai polis dan Orang Asli di Taman Negara Endau-Rompin, berkemungkinan adalah saki-baki spesies Gigantopithecus Blacki (giant ape) bermaksud monyet gergasi yang dikatakan pupus sebelum ini. Ini ditambah lagi dengan bentuk fizikal yang hampir sama antara Gigantopithecus dan Bigfoot sebagaimana yang didakwa dilihat oleh Orang Asli tersebut di beberapa hutan di Johor iaitu setinggi 10 kaki dan berbulu lebat keperang-perangan. Sebelum ini terdapat juga beberapa spesies haiwan yang didakwa telah pupus, tetapi kemudiannya didapati masih wujud seperti ikan Coelacanth, yang diketahui wujud kira-kira 360 juta tahun dahulu sebelum didakwa pupus, telah ditangkap oleh nelayan pada 1938. Menurut sebuah organisasi penyelidikan dikenali Bigfoot Field Research Organisation (BFRO) yang berpejabat di Amerika Syarikat, para penyelidik makhluk itu secara amnya menerima teori Bigfoot-Giganto itu. Menerusi laman webnya, BFRO berkata, isu tentang Gigantopithecus telah menarik minat ramai ahli-ahli antrapologi dan primatologi. Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Hashim Yusof ketika ditanya oleh �Bernama� tentang kaitan antara Bigfoot dan Gigantopithecus itu berkata, kemungkinan itu memang ada, dengan mengambil kira keluasan dan usia Taman Negara. Taman Negara Endau-Rompin itu adalah seluas 48,906 hektar atau 800 kilometer persegi dan berusia 248 juta tahun. ``Kita hanya mempunyai maklumat separuh daripada flora dan fauna yang terdapat di dalamnya,'' kata Hashim. Baru-baru ini PTNJ menganjurkan ekspedisi sehari ke Taman Negara Endau-Rompin untuk mencari Bigfoot, tetapi gagal menemui sebarang kesan makhluk itu seperti tapak kakinya. Perbadanan itu akan menganjurkan satu lagi ekspedisi mengesan Bigfoot di Taman Negara Endau Rompin akan diadakan bulan depan, dan menurut Hashim, mereka akan tinggal selama seminggu di dalam taman negara itu. Pencinta Alam Johor, Vincent Chow berkata, teori Bigfoot-Giganto yang mengatakan bahawa Bigfoot itu adalah saki baki spesies Gigantopithecus Blacki `mungkin paling tepat' untuk menjelaskan tentang kewujudan Bigfoot. Katanya, teori itu berasas kerana ia dikemukakan oleh mereka yang pakar seperti di dalam bidang-bidang antropologi dan lain-lain. Chow, penasihat sebuah persatuan alam sekitar di Johor, juga berkata usia Taman Negara Endau-Rompin iaitu 248 juta tahun adalah selari dengan zaman ketika monyet gergasi Gigantopithecus wujud di muka bumi. Ini ditambah lagi dengan keadaan persekitaran hutan di taman negara itu yang tidak pernah diusik oleh manusia, yang membolehkan haiwan gergasi itu menjadikan kawasan itu habitatnya. ``Bigfoot perlu dilindungi dan dijadikan sebagai satu khazanah fauna negeri ini,'' katanya. - Bernama
Meragui mitos Bigfoot Oleh DR. MOHD TAJUDDIN ABDULLAH Saya mengenali Orang Asli bernama Kangkong bin Mintol sejak bulan Disember dalam tahun 1977. Tatkala itu saya telah dibawa oleh seorang penyelidik American Peace Corp. bernama Rodney Flynn untuk mengenali kesan kaki binatang dan menjejaki kesan tapak kaki badak hingga sampai di Sungai Selai yang terletak di tengah hutan belantara Endau Rompin. Kangkong berasal dari Kampong Juaseh yang terletak lebih kurang 20 kilometer dari pekan Labis, Johor. Berbadan kecil dan sasa, Kangkong telah hidup serasi dengan hutan Endau Rompin sejak dari dia dilahirkan. Selepas berkahwin beliau telah berpindah ke perkampungan baru yang disediakan kerajaan. Rumah kayunya mempunyai satu bilik yang dilengkapi dengan ``air dari besi dan api dari wayar''. Keadaan sekarang ternyata amat jauh berbeza dengan hidupnya yang berpindah-randah dengan mendirikan pondok kecil di hutan. Gaya hidup Kangkong yang sederhana itu serupa dahulu tanpa ada apa-apa harta dunia. Beliau pemalu pada kali pertama saya menemui tetapi amat bangga menyambut saya yang berkunjung ke rumahnya hampir tiga dekad yang lalu. Pada ketika itu saya telah ditugaskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengambil alih tugas Rodney bagi menjalankan penyelidikan mengenai taburan dan ekologi badak sumbu (Dicerorhinus sumatrensis) di Malaysia. Tanpa pegetahuan khusus mengenai spesies badak yang terancam itu, saya terhutang budi kepada Kangkong yang banyak berkongsi pengalamannya mengenai cara-cara menjejaki binatang liar serta pelbagai ilmu yang diperoleh mengenai survival di hutan. Selama lebih kurang lima tahun Kangkong juga telah membawa saya menjelajah dan merentasi hutan Endau-Rompin daripada Juaseh ke Selai dan Kemidak di Labis dan keluar di Kampung Peta di Kluang. Kadangkala kami berjalan kaki dan keluar di kawasan Felda di negeri Pahang atau Kampung Bekok. Perjalanan dengan kaki yang mengambil masa tujuh hingga 14 hari sambil menanggung beban hoversack dengan muatan makanan dan peralatan kerja seberat 30 hingga 40 kilogram. Hampir setiap tahun Kangkong dan rakan Perhilitan membantu saya menjalankan inventori hidupan liar di Endau Rompin. Lima atau enam kumpulan penyelidik akan meredah secara serentak hutan Endau Rompin sambil merekod hidupan liar yang ditemui secara langsung atau tidak langsung melalui bunyi, kesan makanan, najis, kubang atau kesan tapak kaki. Setiap pemerhatian direkodkan dalam borang inventori khas dengan maklumat nama spesies, cara cerapan, ukuran kesan dan tarikh serta masa pemerhatian. Kesahihannya Setiap data terkumpul akan dibentang dan diperbahaskan di kalangan penyelidik jabatan. Begitulah cara semak dan mengesahkan (check and balance) untuk memastikan kesahihannya maklumat sains biologi dan ekologi. Pengalaman yang saya peroleh daripada Kangkong membolehkan saya menerokai semua hutan belantara dari Mersing di Johor, Taman Negara hingga Belum di Perak dan Wang Kelian di Perlis. Pegalaman menjejaki badak ini juga telah membawa saya ke hutan Kinabatangan di Sabah dan tanah tinggi Bareo di Sarawak. Hasil kajian secara saintifik itu telah diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Biological Conservation 1984 (Flynn RW, Abdullah MT. 1984. Distribution and status of the Sumatran Rhinoceros in Peninsular Malaysia. Biological Conservation 28: 253-273) dan jurnal terbitan tempatan Malayan Nature Journal 1983 (Flynn RW, and Abdullah MT. 1983. Distribution and number of Sumatran rhinoceros in the Endau-Rompin Region of Peninsular Malaysia. Malayan Nature Journal 36: 219-247). Sebagai pegarang bersama, kami tiada catatan mengenai Bigfoot. Dalam kajian kepelbagaian hidupan liar bersama beberapa rakan hingga kini tidak pernah kami membuat cerapan atau catatan mengenai Bigfoot. Jadi bagaimana pula cerita Bigfoot mendapat liputan meluas di Malaysia dan luar negara sejak tiga minggu yang lepas? Persoalan ini ada kaitan rapat dengan budaya serta pemikiran pelbagai masyarakat di Malaysia. Dalam masyarakat Orang Asli dan etnik tempatan memang terdapat banyak cerita-cerita penglipur lara yang berunsurkan mitos dan legenda. Semasa kami berkhemah di hutan belantara Endau Rompin, Kangkong sering bercerita kepada saya mengenai penglipur lara masyarakatnya. Saya juga pernah mendengar cerita mitos mawas yang amat besar dan berbulu dadanya. Di Bareo, seorang daripada masyarakat Kelabit menceritakan mengenai kuda belang dan singa yang terdapat di hutan yang terletak 1,000 meter dari aras laut. Di Sabah dan Sarawak ada masyarakat etnik percaya bahawa kehadiran pokok hujan panas telah meyebabkan harimau takut untuk tinggal di hutan kepulauan Borneo. Sejarah lisan kita juga menceritakan mitos Puteri Gunung Ledang di Johor dan Puteri Santubong di Sarawak. Demikianlah mitos dan legenda yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita dari zaman tanpa Internet dan sistem pesanan ringkas (SMS) yang hidup segar dalam ingatan hingga hari ini. Sangat malang pula apabila hari ini cerita-cerita sedemikian telah dicampur aduk antara mitos masyarakat kita, kewartawanan pop dan pseudosains. Jika kita lebih cermat dan peka, kita perlu memeriksa kesahihan fakta sains, yang mawas mungkin juga bermaksud orang utan atau bahasa Latin ialah Pongo pygmaeus. Apakah spesies ini telah disalah- tafsirkan sebagai Bigfoot? Spesies ini hanya terdapat di Borneo dan Sumatera sahaja. Mengenai cerita kuda belang pula, spesies ini hanya terdapat di benua Afrika dan singa pula terdapat di India dan Afrika sahaja. Apakah masyarakat di Malaysia yang berhasrat maju dalam Wawasan 2020 ini kian terhibur dengan cerita-cerita Bigfoot yang tidak pernah direkodkan oleh ahli sains di negara ini? Saya juga meragui perakuan seorang bekas zoologis WWF-Malaysia yang seolah-olah cuba megesahkan kehadiran Bigfoot Endau-Rompin. Apakah jenis pseudosains saperti perakuan zoologis tersebut merupakan hidangan minda yang terbaik untuk masyarakat kita? Kita perlu berfikir sejenak agar dapat membezakan antara mitos dan fakta yang sahih. Berhati-hati Pengalaman silam saya bersama Orang Asli atau masyarakat etnik tempatan telah banyak mengajar saya untuk berhati-hati. Orang Asli dan masyarakat etnik biasanya adalah orang yang sangat bermurah hati dan amat suka melihat tetamu terhibur, mereka akan cuba mencari impian yang diingini tetamu atau mencerita sesuatu yang mahu didengari. Kalau kita begitu mendesak untuk mendengar Bigfoot maka cerita Bigfootlah akan diperdengarkan. Dan jika memberikan pensel dan kertas, akan terlakar sesuatu yang kita desakkan. Begitulah juga apabila saya mendesak dengan impian untuk melihat badak berkubang, maka saya telah dibawa oleh seorang Asli di Rompin memanjat puncak gunung yang tidak mungkin boleh dinaiki binatang besar tersebut. Apabila sampai di puncak gunung dan ternyata gagal melihat badak berkubang, dia menunjuk ke arah puncak-puncak gunung yang lain yang kelihatan di sekeliling Endau Rompin. Maka itulah impian kami untuk melihat badak berkubang di puncak gunung yang tidak kesampaian selepas 29 tahun menerokai hutan belantara Malaysia. Berapa lamakah impian Bigfoot ini akan diteruskan lagi? Kita perlulah bijak menilai antara mitos, legenda, kesahihan fakta sains dan impian melihat Bigfoot. - Profesor Madya Dr. Mohd. Tajuddin Abdullah ialah Ketua Prgram Sains dan Pengurusan Sumber Haiwan, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).