Negeri ini, Anak

Negeri ini, anak,
Adalah tanah hijau penuh mahsul,
Terlalu pemurah dan saksama,
Pada tiap warga yang berjasa,
Yang rela memberikan keringat,
Serta setia untuk bumi tercintanya.

Usah kau persoalkan tentang derita milik siapa di negeri kaya,
Dan kesuraman sekejap siapa pula menjadi dalang,
Kalau tiba-tiba terdengar laungan dari bukit penuh gelap,
Itu hanyalah lolongan sang pertapa yang lemas di tikam bayang.

Negeri ini, adalah tanah luas sesayup pandangan.
Yang telah melahirkan ribuan pahlawan,
Rela memilih terbuang dari berputih terbuang.
Kerana baginya mati itu cuma sekali.
Dan tidak harus sia-sia.
Mereka tidak rela ini negara tercinta.
Jadi kuda tunggangan atau diperkosa warga tidak bernama.
Meski darah dan tulang jadi gantian.
Kerana baginya:
Negeri adalah tanah .
Adalah air.
Adalah api
Adalah angin
Adalah maruah,
Adalah permai,
Adalah berani,
Adalah susila,
Adalah segala-galanya.

Dan hari ini,
Kata keramat itu dilaungkan,
Tanpa mengira kulit atau warna.
Tampuk atau asal, percaya atau agama:
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!.

Di negeri ini,anak.
Mari kita hidup tanpa curigaatau rasa berbeza.
Siapa di sini adalah warganya.
Kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah.
Darahnya tetap merah.
Usah dilebarkan jurang atau mencipta kelam.
Mari kita dirikan harapan dan teguhkan kesetian.

Marsli N.O


Laman Puisi 1