Sungai
Sungai ini tak pernah menyoal
Dari mana ia bermula
Sebab arusnya terlalu membuta
Nuju deras ke kuala
Di pergunungan tika ia mengalir ganas
Melalui terjunan
Jeritan menjadi hiba sebab
Disenyapkan oleh hujan
Di lembah ngalirnya perlahan
Kerana bumi kian mendatar
Ia berbisik tentang mimpi
Yang diharumi oleh si mawar
Dan lautan ia belum pasti
Ingin bercampur
Sebab dirinya tawar
Dan badannya penuh lumpur.
Zakaria Ali