Giliran
Sebatang paip
Adalah pusat belasan rumah
Air yang terjun darinya
Lebih megah dari tubuh sasa
Lelaki yang berdiri menunggu giliran
Tiada silu para penanti
Lelaki dengan tuala singkat
Menolak cepat baldi kosongnya
Kebawah paip
Berlumba dengan perempuan berkemban
Yang tidak menarik ingin
Kerana bosan pada penantian.
Makcik jangan meradang,
Kita harus tunggu lagi
Kerana kita datang lewat
Saya, makcik dan kakak itu
Tak siapa lebih utama
Ini tanah haram,
Terima kasih pada paip
Yang menerjunkan air halal
Biarpun kita terpaksa bermasam
Menanti giliran.
Rahman Shaari, Ogos 1976