Drama Kita Wajah Kita
Meluncuri layar tv
Lewat senja atau waktu perdana
Menonton drama
Sentuhan pengarah berpesatuan
Dibarisi pelakon yang itu-itu juga
Menonton satu seperti melihat semua
Temanya hampir sama
Pergolakan rumahtangga
Episod cinta tenggelam punca
Lagak gaya eksekutif muda
Dendam kesumat korporat miskin jiwa
Belum lagi dialog rojak
Berbual pandang dinding
Sambil berjalan keliling
Anak-anak meninggi suara
Rajuk atuk bawa ke kubur
Lantaran zuriat lupa diri
Setiap kali menonton
Anak kecil sudah boleh mengagak
Rumahtangga siapa yang retak
Cinta mana bakal bergolak
Jika benar inilah wajah kita
Nyata segalanya mencabar
Atau sekadar sang pengkarya
Tidak mahu memilih jalan sukar?
Zazmie Mohd Zain,K.Lumpur