Lelaki Bermata Lebam

"Siapakah yang melebamkan mata lelaki
yang muncul di mahkamah pagi ini?"
tanya si pikun kecewa
yang kebetulan minum sewarung denganku
si pikun itu jelas keliru
dengan kucar-kacir politik tanahair
dan segelintir pemimpin hipokrit.

Bagai kerikil dilepaskan ke danau
soalan sipikun mengganggu ketenanganku
"bagiku, mengapakah mata lelaki itu
dilebamkan
jauh lebih penting dripada siapakah yang
melebamkan mata lelaki itu,"
kataku, antara asap gelisah kopi hitam
dengan wajah kabur si mata lebam

Si mata lebam ialah buah dam
yang disorong tarik dngan pintar
dalam satu permainan politik yang licin
dia mangsa ketidakjujuran, ketidakadilan
dan ketidakstabilan politik semasa
dia mangsa sebuah rangkaian licik
yang ingin merenyukkan masa depannya.
Tanahairku mengajak dunia menyelesaikan
teka-teki
yang paling rumet di hujung abad duapuluh.

T.ALIAS TAIB,Kuala Lumpur, 12.1.1999


Laman Puisi 1