Kerana Kita Sudah Merdeka
Orang tidak lagi bertanya
makna perjuangan dan erti
kemerdekaan
biarpun kini menadah harapan
menagih serpih simpati
hidup di tanah air sendiri,
kerana kita sudah merdeka.
Orang tidak peduli lagi
jerit pekik semangat perjuangan
pejuang lampau menumpah
keringat
melawan penjajah
memerdekakan watan tercinta,
kerana kita sudah merdeka!
Orang lebih gemar bertanya
berapa harga saham di bursa
leka mengaut untung mengira laba
tanpa menilai makna dosa pahala
biarkan, itu bukan urusan kita,
kerana kita sudah merdeka!
Orang lebih suka bermegah-megah
tentang kemajuan pembangunan
habis pelosok tanah di bangunkan
bangunan bertingkat menara
tertinggi
stadium terbesar padang golf
termahal
biar sekalipun masih ada antara
kita
menagih sekeping tanah untuk
hidup
di tanah air yang sudah merdeka.
merdeka! merdeka! merdeka!
kemerdekaan telah melekakan kita
semangat setiakawan dan murni
perjuangan
sudah terpadam dari catatan
kehidupan
lantas memburu emas mutiara
berguguran dari menara
pembangunan,
biarpun memijak dan mematikan
saudara sendiri
atau menikamnya dari belakang,
biarkan
kerana kita sudah merdeka.
Orang semakin lupa mendidik
anak-anak menjadi pejuang agung
berpencak memartabatkan maruah
bangsa
menghunjam pengkhianat
petualang negara
tetapi lebih rela mengasuh mereka
menjadi manja tanpa tunjang jati
diri
pedulikan, kerana kita sudah
merdeka.
Betapa masa silam tidak pernah
menjadi
jendela merenung musim-musim mendatang
merdeka tidak bererti jika jiwa terjajah
merdeka tanpa makna jika fikiran terbelanggu
merdeka tidak mungkin merdeka
jika masih membiar diri menjadi boneka
abdi di tanah milik sendiri.
Kerana kita sudah merdeka
ke mana mahu dibawa bahtera bangsa?
laut kian gelora angin berputing beliung
nakhoda tanpa pedoman
pastinya kita akan dihanyutkan gelombang
dan menjadi makanan jerung
atau terkubur di dasar lautan.
Bagaimana kalau kita tukarkan
lagu merdeka menjadi laungan jihad ?
berpatah arah ke pantai
mencari tanah pamah
membina kembali kemegahan
atas tiang-tiang iman dan taqwa
menadah sinar gemilang
petunjuk dari Allah Maha Esa.
Pastilah, atas keyakinan padu
kita bisa kembali menjadi gagah
berdiri sebagai bangsa bermaruah
kerana kita sudah merdeka!
merdeka pada nama
merdeka pada jiwa
merdeka pada fikrah
merdeka pada perjuangan
merdeka!
merdeka!
merdeka!
ZAIDIN ABADI Alor Setar,Ogos, 1999