Dengan Mata Dahaga
kanak-kanak itu berlari
dengan mata dahaga
mereka tidak berteriak
tidak menjerit kesakitan–
kesakitan telah mereka benamkan
ke rahang kebuluran
ke liang luka bumi
tidak ada tanaman di sekitar
hanya hamparan rumput yang hangus
dan serpihan kerikil
dari lemparan batu-batu
di bawah terik matahari
mereka tidak mahu sayembara
mereka tidak kenal sayembara
mereka hanya kenal pada cengkaman
kawat-kawat berduri
merentang ke hujung sempadan
dan kanak-kanak itu terus berlari
dengan mata dahaga
ke seluruh pelosok benua
di bawah terik matahari
mencari sekeping roti untuk dibahagi
di manakah roti itu kita sembunyikan?