Wahai Kekasih
Aku menuju kepadamu kekasih
akulah penarik beca malam
beca roda tiga


Aku kehilangan tanah dan rumah
yang memakan nafasku
buat lauk pagi dan petang
dan malamku memakan mimpi panjang
enak dan lazat sekali


Aku menuju kepadamu kekasih
menyeberang titian angin
memegang tali hembusan
mengharap akan menjejak tebing
negeri yang kaya raya


Aku terlalu rindu kepadamu kekasih
aku mahu bersamamu
menjadi penentang kelaparan
membuang keburukan
mengempiskan kebengisan


Aku menuju kepadamu kekasih
gapailah tanganku,berjanjilah kekasih.

A Ghani Abdullah, Hulu Langat Selangor


Laman Puisi 1