Kerugian bagi wanita yang menolak perkahwinan 



Sepertimana yang diberitakan kepada kita oleh akhbar 
Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita 
yang menolak perkahwinan. Antaranya memandang 
perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat 
kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam 
menentukan hidup berubah dan terpikul pula dengan 
kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak. 

Justeru itu ramai yang lebih rela jadi andartu 
walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi 
kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin 
disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada 
yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana 
terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan karier kerjanya. 

Sebelum ini saya ada memberi pandangan bagaimana 
hendak menyelesaikan masalah andartu. Kali ini saya 
akan dedahkan pula tentang kerugian wanita yang tidak 
mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak 
berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada 
jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan 
kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya 
sekarang, terdapat wanita yang ada peluang berkahwin 
tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang 
saya sebutkan di atas tadi. 


Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin 
bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam 
tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. 
Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan 
kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan 
tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi 
manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan 
sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada 
wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain. 
Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan 
negatif untuk melahirkan cahaya. 

Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat 
Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak 
begitu berleluasa seperti di barat. Sungguh pun 
demikian pada pandangan Islam, orang yang tidak 
berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita 
Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat 
kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di 
dunia dan di akhirat. 

Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, 
adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana 
umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak 
bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan 
anak-anak. bagi kaum wanita, untuk mendapat maqam 
salehah dan menjadi ahli syurga di akhirat adalah amat 
mudah. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.: 

"Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat 
perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan 
Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka 
masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki." 

Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak 
akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang 
keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia 
bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita 
yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan 
pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati 
suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, 
sehinggakan redha Allah s.w.t. pun bergantung kepada 
redha suami. 

Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang 
berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala 
jihad fisabilillah di kala mengandung. Apabila ia 
menyusukan anak maka setiap titik air susu akan diberi 
satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak 
akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. 
Wanita yang berpeluh kerana terkena bahang api ketika 
memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada 
neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suminya akan 
diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih 
istimewa lagi ialah bagi wanita yang tinggal di rumah 
kerana mengurus anak-anak akan dapat tinggal 
bersama-sama Rasulullah s.a.w di syurga kelak. 

Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan 
mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita yang 
mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti 
pahala syahid. Semua kelebihan-kelebihan ini tidak 
akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak 
perkahwinan. Malah di dunia akan selalu berada di 
dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang 
rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila 
telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan 
sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun 
lelaki tersebut telah berkahwin. Sabda Rasulullah 
s.a.w: 

"Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan 
berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul 
fitnah dan kebinasaan." Para sahabat bertanya, 
"Bagaimana kalau ia telah berkahwin?" Jawab baginda 
s.a.w, "Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga 
kali)." 

Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. 
Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti 
kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita 
hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang 
isteri dan ibu sudah memperolehi banyak pahala. Kalau 
suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka 
akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. 
Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita 
yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak 
untuk menjadi calon wanita salehah yang berada dibawah 
naungan suami. 

          Laman Baca                  

Digitalhead Of United Sungai Ara    HAK CIPTA TERPELIHARA Ó BLOK 10, JALAN SIANTAN, FELCRA SUNGAI ARA, 81907 KOTA TINGGI, JOHOR DARUL TA'ZIM  ( ALL RIGHTS RESERVED )

1