Berita itu kali pertamanya saya ketahui pada suatu malam, enam tahun lalu apabila menerima panggilan talipon dari
isteri kawan karib saya yang bernama Baharom.
“ Datanglah sini Bang Aji… Abang Baharom panggil,” kata Jah, nama isteri kawan saya itu. Suaranya macam orang
gelisah ada, nak menangis pun ada.
“ Kenapa ? Cuba beritahu aku ? “
“ Datang ajalah bang Aji. Abang Baharom sakit. Kat sini nanto saya cerita,” kata Jah lagi.
Saya tukar pakaian , turun ke bawah dan tunggang motosikal ke rumah Baharom. Tidak jauh, Cuma satu kilometre
saja dari rumah saya di Negeri Sembilan.
Sampai di sana, saya lihat Baharom sedang duduk termenung. Matanya berkaca,Macam baru lepas menangis. Jah juga
begitu.
“ Kenapa ni Rom ? Engkau sakit apa ? “
Baharom menggeleng. Dia memandang saya dengan wajah sayu, kemudian memandang jauh. Jauh melayang entah ke
mana. Jarinya di gosok-gosok ke bibir dan sesekali memegang dahi. Kemudian Baharom melepaskan nafas seolah-olah orang
sedang mengeluh.
Dia berpaling semula ke arah saya. Mulut kawan saya itu terkumat-kamit, tapi bila hendak bercakap dia
membatalkannya. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang bergolak hebat dalam dadanya tapi tak dapat hendak di luahkan.
Mulut Baharom bagaikan terkunci.
“ Ji…boleh tak tawarkan, ubat-ubatkan saya sikit ? “ dia bertanya perlahan.
“ Ubat ? Kenapa ? Engkau saki apa ?”
Baharom mengangguk. “ Tak taulah Ji, aku tak boleh nak kawal buang air. Sedar sedar aja kain seluar aku dah basah.
Buang air besar pun tak sedar,” katanya.
“ Dah lama kena ?”
“ Dah dekat sebulan,” Jah mencelah. “ Dah pergi hospital, kata doktor ada masalah dengan pundi kencing. Dalam
perut dia pun ada sakit. Entahlah, saya pun tak tau nak nyebut.
“ Mula-mula tu, bila bangun tidur nak sembahyang subuh, saya terbau air kencing. Saya raba keliling , terasa basah di
tilam dekat punggung Abang Baharom. Rupa-rupanya dia kencing, “ Isyyy..awak kencing??? “ kata saya.
“ Saya kejut dia, tanya dia kenapa kencing ? Dah tua-tua ni, buruk betul kalau terkencing atas tilam. Mameng
marahlah, sebab saya nak kena basuh tilam, nak jemur lagi. Benda tu kan berat.
“Abang Baharom terperanjat bila saya beritahu dia kencing atas tilam. Dia tergelak besar. “ Tak sedar,” katanya.
Heee…orang tua ni, buang tabiat ke apa, kata saya. Dia ingat benda itu tak ada apa-apa.”
Bagaimana pun, tambah Jah, selepas bersarapan pukul 9.00 pagi itu, dia terkejut sekali lagi. Kali ini kerana Baharom
datang kepadanya dengan kain pelekat yang basah lenjun. Baharom buangair kecil lagi.
‘ Aku betul-betul tak sedar, Ji. Aku tengah baca surat khabar dekat buaian depan rumah bila tiba-tiba aja aku rasa
paha aku panas. Aku tengok ke bawah, daaaah…kain aku dah basah,” Baharom memberitahu.
Menurut kawan saya itu, dia tidak dapat merasa bila ketikanya dia terkencing . Alih-alih saja sudah keluar. Dan yang
lebih Baharom takut, dia tidak boleh kawal air kencingnya itu. Dia cuba menahannya tapi gagal. Pundi yang menahan air itu
daripada keluar seperti sudah ghaib, macam kapal putus sauh. Tidak boleh ‘mencerut’ lagi.
Kain yang berbau hancing itu cepat-cepat di basuh oleh Jah. Sementara itu, Baharom mandi dan seterusnya bersalin
pakaian. Ketika itu dia sudah dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Baharom tahu, dia sakit. Tapi
sakit apa ?
Beberapa jam kemudian, sekali Jah terperanjat. Kali ini terkejut yang sukar hendak di gambarkan. Baharom terberak
pula di dalam kain.
“ Sumpah Ji… aku tak sedar bila masa aku terbuang air besar. Masa duduk termenung di kerusi aku ada rasa sakit
perut. Memang biasalah, boleh katakan tiap-tiap hari aku buang air dalam pukul 10.00 pagi, lepas sarapan, lepas habis baca
surat khabar.
“ Hari tu, aku rasa macam perut memulas, tapi tak ada pula rasa nak buang air. Alih-alih saja benda tu keluar…aku tak
teran, aku tak sedar, benda tu keluar sendiri.
“ Sebab itulah kalau pergi mana-mana, aku kena pergi cepat-cepat, balik pun cepat-cepat. Kalau lambat, aku takut
seluar aku basah “, kata Baharom.
Melihat air matanya bergenang, hati saya menjadi hiba. Barulah saya perasan sejak dua tiga minggu lepas, Baharom
selalu saja tergesa-gesa. Dia jarang pergi ke kedai kopi Pak Ngah di depan klinik gigi sedangkan di situlah selalunya dia
‘melepak’pada waktu petang.
Pernah sekali dua kami terserempak, tapi Cuma berbual seminit dua saja. Baharom mahu balik segera. Bila saya tanya
kenapa, dia kata ada hal penting. Ada orang datanglah, nak keluar dengan isteri ke pekanlah, nak tunggu saudara datanglah,
badan tak sihatlah….macam-macam.
Sekarang fahamlah juga saya kenapa setiap kali sebelum berwuduk, dia mesti ke tandas dan buang air kecil dahulu.
Kemudian, habis saja imam berdoa, Baharom mahu cepat-cepat balik. Tertanya-tanya juga di hati saya, untuk apalah balik
tergesa-gesa sedangkan rumahnya Cuma setengah kilometre saja dari surau. Kalau naik motosikal Cuma seminit dua saja.
“ Kadang-kadang, balik dari surau, saya tengok kain dia basah,” Jah menyampuk.
“ Habis sekarang macam mana ?”
“ Pakai pamperslah. Kalau ada rasa memulas perut sakit, aku pergi tandas. Kalau lambat, bermakna habis
tersemburlah. Entahlah Ji…aku pun tak tau kenapa jadi macam ni. Nak kata dah tua, belum lagi “ kata Baharom. Dia mengesat
air mata yang menitis setitik dua.
Saya menggeleng kepala. Setahu saya, penyakit tidak dapat mengawal air kencing berak ni Cuma berlaku pada orang
tua, yang uzur, yang terbaring tak boleh bangun, dah nyanyuk. Itu saya biasa tengok. Tapi kenapa pula terjadi pada Baharom ?
Umurnya baru nak masuk 60.
“ Kenapa tak beritahu aku dulu ?” saya bertanya.
“ Malulah aku. Aku panggil kau ke sini pun sebab kau kawan lama aku. Aku tak tau dengan siapa aku nak cerita,”
kata Baharom.
Sebelum pulang, saya urut badannya dan doakan pada sebekas air dengan ayat-ayat suci. Saya bukanlah pandai
merawat, bukan bomoh, bukan pawing, tapi Cuma boleh urut. Itu saja. Saya kawan baiknya.
Lagi pun, seperti kata Baharom, dia ada berubat secara kampung dengan orang lain, Cuma dia panggil saya untuk
tambahkan sedikit sebanyak. Juga untuk meluahkan perasaannya serba sedikit. Kata Baharom dia risau kerana terlalu
memikirkan keadaan dirinya itu.
Setelah minum kopi dan menjamah biskut, saya bertolak pulak. Malam itu, saya susah hendak terlena. Fikiran
berpusar-pusar. Biarpun di pejam, tapi tidak juga mahu tidur. Wajah Baharom, matanya yang merah bergenang air, juga
kegelisahannya datang bersilih ganti.
Sehingga pukul 2.00 pagi saya msih tidak dapat melelapkan mata. Fikiran jadi kacau tidak menentu. Bila isteri terjaga,
saya pejamkan mata, pura-pura tidur. Saya tahu, dia perasan yang saya masih belum tidur sebab saya kerap berpaling ke kiri
dan ke kanan, menelentang, mengiring. Serba sedikit tentu terganggu juga.
Sebenarnya ada satu perkara paling utama yang menjentik-jentik fikiran saya; kenapa Baharom sakit sedemikian
sedangkan dia baru hendak masuk umur 60 tahun. Sedangkan saya yang sudah 65 ini pun tidak kena sakit itu, ini kan pula
Baharom. Tidak sepatutnya itu berlaku.
Keesokannya saya dan isteri, Patimah pergi melawat Baharom. Dia sihat juga, macam biasa berbual, Cuma tidak
seriang dan sekelakar dulu. Ketawanya hambar.
“ Dah jadi budaklah aku ni…kena pakai pampers pulak. Nasib baik tak tidur dalam buai,” dia membuat lawak.
Bila bercerita tentang penyakit nya, Baharom menggeleng-geleng kepala. Katanya, dia tidak sangka akan di timpa
penyakit itu. Lebih perit lagi ialah bagaimana hendak menghadapi hari-hari yang bakal mendatang.
Maklumlah, pempers orang tua bukannya murah. Dalam sehari sekurang-kurangnya kena pakai dua keping. Itu belum
seminggu, sebulan atau setahun.
“ Aku baru nak masuk 60. Rasa-rasanya ada 15 – 20 tahun lagi. Macam manalah agaknya nanti. Sapalah nak jaga
aku…” Baharom mengeluh.
“ Jah kan ada,” isteri saya mencelah.
“ Hmmm…dah nasib aku, Ji, Mah…” kata Baharom.
“ Sabar ajalah Rom. Ada orang sakit macam ni, ada orang sakit macam tu. Ada yang kena sakit jantung, ada yang
kena kencing manis, darah tinggi, kenser, AIDS. Ada orang hidup miskin, ada juga orang kaya tapi anak-anak perangai tak
senonoh.
“ Baharom , ini semua ujian Allah. Aku ni..entah esuk lusa, mana tau. Badan aku ni boleh tahan gemuk…silap-silap dah
ada darah tinggi dengan kencing manis,” balas saya.
Namun berat mata yang memandang tidakdapat merasa beban yang terpikul. Sabarkanlah dia dengan bagaimana cara
sekalipun. Baharom tetap gelisah dengan penyakitnya. Saya faham, mungkin dia risau siapa yang akan menjaganya kelak.
Tentu tidak terpikul oleh isterinya seorang.
Bukanlah hendak memalukanBaharom, tapi daripada empat anaknya, Cuma seorang saja yang bagus, Faizul. Faizul
menjadi guru di sekolah menengah di Johor Bahru. Dia ada juga kirimkan wang untuk Baharom dan Jah, tapi berapa sangat
sebab dia sudah berkeluarga. Anak isterinya perlu di berikan perhatian. Tambahan pula kos hidup di Johor Bharu sama tinggi
dengan di Kuala Lumpur.
Tiga lagi anaknya ? Sudin, anak sulungnya ? Sampai sekarang tak tentu hala. Kerja tak ada, ke hulu ke hilir entah apa
yang di buatnya. Ada orang cerita, Sudin mengambil dadah. Wallahualam…
Yang kedua Fariza. Sekarang menjadi jururawat di Kuantan. Dialah yang menghulurkan RM 100 – RM 200 kepada
Baharom dan Jah setiap awal bulan. Hendak bagi lebih, berapalah sangat gajinya. Dia juga sudahada keluarga. Mujurlah
suaminya bekerja bagus.
Yang ketiga, Mahadi. Bekerja despatch di Kuala Lumpur. Yang itu lagi tak boleh di harap. Bukan hendak mengirim
wang kepada ibu bapa, mintanya ada. Masuk tengah bulan, telepon Baharom atau Jah, minta satu dua ratus ringgit. Duit gaji
yang ada di bazirkan entah kemana. Ke wayanglah, ubah suai motosikallah, belanja girlfriends lah.
Mujur Baharom ada beberapa ekar kebun getah dan dua tiga relung sawah. Dengan wang berkebun itulah dia menyara
hidup. Masalahnya, dengan wang yang ada pun dia terpaksa berjmat, bagaimana pula hendak menanggung sakitnya ini ?
Pampers orang tua bukannya murah. Itu tidak termasuk ubat-ubatan lain, belanja ke hospital dan klinik.
Pulang dari rumah Baharom, saya berbual-bual dengan isteri di beranda rumah. Topik utama yang kami bualkan adalah
tentang keuzuran Baharom. Kami benar-benar kasihankannya. Dia kawan lama kami. Kami sekampung dan isteri saya dan
isteri Baharom adalah kawan baik sejak kecil lagi. Susah mereka adalah susah kami juga. Senang mereka, senanglah hati kami.
‘ Saya rasalah bang,” kata isteri saya, “ ini mungkin balasan Tuhan pada abang Baharom “.
“ Balasan Tuhan ?” Saya terkejut. Apa kena mengena pula dengan balasan Tuhan ?.
“ Ya lah…abang tak ingat apa yang Baharom buat pada emak dia dulu ?” tanya isteri saya.
“ Buat pada arwah emak dia ?”
“ Arwah Mak Andak Ropeah…abang lupa ? Alaaah…masa arwah tu sakit, duduk rumah Baharom..”
Serta merta ingatan saya berputaran, mengingat saat-saat ibu Baharom terlantar sakit. Itulah cerita yang hangat di
perkatakan jiran-jiran 15 tahun lalu. Tidak mungkin saya lupa kerana ia membekas di hati saya sehingga kini.
Ibunya yang kami panggil Mak Andak Ropeah ketika itu sakit tua. Umunya 80-an. Dia terlantar di rumah Baharom
kerana Cuma di situ saja tempat yang ada. Suami Mak Andak sudah lama meninggal dunia. Daripada dia tinggal seorang di
rumah pusaka, tentulah elok kalau menumpang di rumah anak-anak.
Lagipun rumah Baharom Cuma 10 kilometer saja dari rumah Mak Andak ( rumahnya juga ) Anak Baharom empat
saja, yang tinggal di situ pula Cuma Sudin seorang. Tambahan pula isterinya, Jah, bagus juga budi pekertinya.
Pada fikiran Mak Andak, wajarlah kalau Baharom menjaganya. Sakit peningnya ada juga yang menengok.
Hendak menumpang di rumah adik Baharom , Jamilah, jauh sangat. Nun di Kedah sana. Anaknya ramai dan suami
pula kena angin ahmar. Separuh badannya lumpuh.
Ya….masih segar di ingatan saya. Sewaktu Mak Andak Ropeah sakit, Baharom selalu saja meninggikan suaranya ,
menengking-nengking kerana ibunya selalu buang air. Suaranya yang garau akan membelah bagaikan petir kalau marahkan
emaknya.
Paling Baharom marah ialah kalau pulang dari kebun, tiba-tiba Mak Andak Ropeah minta di bawakan ke tandas.
Ketika itu pula tiada seorang pun di rumah. Mahu tak mahu, penat tak penat, orang tua itu perlu di dukung.
Pada mulanya, Baharom mengeluh marah kerana terpaksa mengangkat Mak Andak ke tandas . Katanya, penat.
Badan sakit. Tak sempat nak berehat.
Makin lama, keberangan Baharom makin menjadi-jadi. Kata-kata tidak manis kerap terhambur daripada nya.
Antaranya,” Menyusahkan orang aja “, “ Tak boleh nak tengok orang senang sikit “ dan “ Orang tua niiii!! Eeeee….!!
Selang setahun lebih, Mak Andak makin uzur. Mungkin kerana nyanyuk, mungkin kerana tidak dapat mengawal
tubuhnya lagi, Mak Andak buang air di atas tilam tempat dia berbaring. Baharom bertambah marah-marah.
Di jerkahnya orang tua itu. Kata Baharom, kenapa Mak Andak tidak memanggilnya atau Jah. Terkulat-kulat Mak
Andak Ropeah. Bagaimanalah hendak melaung…sedangkan bercakap pun susah, suara tenggelam timbul, inikan pula hendak
menjerit.
Di sinilah timbul kekesalan saya sebagai kawan. Sepatutnya sebagai anak, Baharom kenalah bersabar. Dia perlu
faham, ibunya tidak berdaya untuk menjerit memanggilnya. Ini tidak, ibunyaaya sendiri di marah-marah , di herdik-herdik.
Bukan rahsia lagi, jiran-jirannya cukup masak dengan kebegisan Baharom kepada Mak Andak Ropeah. Mereka
pernah memberitahu saya, mereka biasa melihat Mak AndakRopeah menangis selepas di marah oleh Baharom. Kata mereka,
bukan sekali dua air mata orang tua itu meleleh di pipi.
Yang sedihnya, apabila melihat ibunya menangis, Baharom mengejek pula. “ Orang cakap sikit, nangis. Cakap sikit
nangis.”
Selepas tiga empat tahun terlantar, Mak Andak Ropeah meninggal dunia. Menurut orang-orang yang datang berziarah,
masih ada cebisan najis pada badannya…wallahualam.
Saya juga pergi menziarah arwah hingga ke kubur. Namun saya tidak menafikan pada hari itu, tidak ada riak-riak sedih
di wajah Baharom. Dia macam biasa saja . Kalau orang lain menangis , sebak apabila ibu kembali ke rahmatullah, Baharom
tidak begitu.
Dia berbual macam biasa. Ketawa macam biasa bercakap pasal politik, merungut pasal harga getah turun, pening
kepala sebab anak padinya di rosakkan ketam. Bila saya minta supaya dia rheda dengan pemergian ibunya. Baharom releks
saja.
“ Dah tua…dah lama hidup. Daripada hidup telantar, kencing, berak atas tilam, eok juga Tuhan ambil nyawa dia,”
katanya.
Yang paling saya terkejut apabila Baharom boleh bercakap, “ Lepas ni legalah aku, tak payah lagi nak angkat arwah
pergi tandas, basuh tahi dia, cuci air kencing dia…” Geleng kepala saya mendengar kata-kata itu.
“ Bang ! “ isteri saya mencuit, “ Dulu Baharom marah-marah arwah Mak Andak, sekarang dia pula yang terkencing
terberak merata-rata. Bukanlah saya suka dia jadi macam tu tapi Tuhan tu Maha kaya bang,” kata isteri saya. Saya diam saja.
Dalam hati saya berkata, begitu cepat sekali balasan Tuhan.
Baharom masih ada lagi, tapi kini semakin uzur. Tangannya terketar-ketar. Saya berdoa semuga dia insaf akan
kesalahannya dahulu.