Beberapa ketika yang silam, ada seorang ikhwah yang mempunyai seorang
anak lelaki bernama Mat. Mat membesar menjadi seorang yang lalai
menunaikan suruhan agama. Meskipun telah berbuih ajakan dan nasihat,
suruhan dan perintah dari ayahnya agar Mat bersembahyang, puasa dan
lain-lain amal kebajikan, dia tetap meninggalkannya. Sebaliknya amal
kejahatan pula yang menjadi kebiasaannya. Kaki judi, kaki botol, dan
seribu satu macam jenis kaki lagi menjadi kemegahannya.
Suatu hari ikhwah tadi memanggil anaknya dan berkata, "Mat, kau nii
terlalu sangat lalai dan berbuat kemungkaran. Mulai hari ini aku akan
pacakkan satu tiang di tengah halaman rumah kita. Setiap kali kau
berbuat satu kejahatan, maka aku akan benamkan satu paku ke tiang ini.
Dan setiap kali kau berbuat satu kebajikan, sebatang paku akan ku cabut
keluar dari tiang ini." Bapanya berbuat sepertimana yang dia janjikan,
dan setiap hari dia akan memukul beberapa batang paku ke tiang tersebut.
Kadang-kadang sampai berpuluh paku dalam satu hari. Jarang-jarang benar
dia mencabut keluar paku dari tiang.
Hari bersilih ganti, beberapa purnama berlalu, dari musim ribut
tengkujuh berganti kemarau panjang. Tahun demi tahun beredar lepas.
Tiang yang berdiri megah di halaman kini telah hampir dipenuhi dengan
tusukan paku-paku dari bawah sampai ke atas. Hampir setiap permukaan
tiang itu dipenuhi dengan paku-paku.
Ada yang berkarat lepat dek kerana hujan dan panas. Setelah melihat
keadaan tiang yang bersusukan dengan paku-paku yang menjijikkan
pandangan mata, timbullah rasa malu dan keinsafan dalam diri Mat kerana
selama ini bergelumang dalam dosa dan noda. Maka dia pun berazamlah
untuk memperbaiki dirinya. Mulai detik itu, Mat mula sembahyang. Hari
itu saja lima butir paku dicabut ayahnya dari tiang.
Besoknya sembahyang lagi ditambah dengan sunat-sunatnya. Lebih banyak
lagi paku tercabut. Hari berikutnya Mat tinggalkan sisa-sisa maksiat
yang melekat. Maka semakin banyaklah tercabut paku-paku tadi. Hari demi
hari, semakin banyak kebaikan yang Mat lakukan dan semakin banyak
maksiat yang ditinggal, hingga akhirnya hanya tinggal sebatang paku yang
tinggal melekat di tiang. Maka ayahnyapun memanggillah anaknya dan
berkata: "Lihatlah anakku, ini paku terakhir, dan akan aku cabutkannya
keluar sekarang.
Tidakkah kamu gembira? Mat merenung pada tiang tersebut, tapi disebalik
melahirkan rasa gembira sebagai yang disangkakan oleh ayahnya, dia mula
menangis teresak-esak.
"Kenapa anakku?" tanya ayahnya, "aku menyangkakan tentunya kau gembira
kerana semua paku-paku tadi telah tiada.
Dalam nada yang sayu Mat mengeluh, "Wahai ayahku, sungguh benar katamu,
paku-paku itu telah tiada, tapi aku bersedih kerana parut-parut lubang
dari paku itu tetap kekal di tiang, bersama dengan karatnya."