Isteri yg berkecil hati
Apakah langkah yang harus diambil oleh suami sekiranya
si isteri berkecil hati?
Jika seorang isteri telah berkecil hati maka Islam sangat-sangat menuntut supaya pihak suami bersegera
memujuk isterinya itu dengan perkataan-perkataan yang baik yang sangat ingin didengar oleh isteri. Dan jika
itu disebabkan kesalahan suami maka suami hendaklah meminta maaf atas kesalahannya itu. Dan jangan
dibiarkan isterinya itu berterusan berkecial hati kerana syaitan itu sentiasa menunggu-nunggu peluang untuk
menghancurkan rumahtangga orang-orang yang beriman. Dan bagi pihak
isteri hendaklah bersabar dan jangan menurut akan kehendak hatinya dan hendaklah sentiasa mahu melakukan
yang baik bagi suaminya
Cincin sebagai mahar
Apakah hukumnya seseorang itu menjadikan cincin sebagai sebahagian daripada mahar (maskahwin)?
Hukumnya adalah harus dan menjadi sebahagian daripada adat umat Islam menjadikan cincin sebagai tanda pertunangan dan mahar. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Nisa ayat 20: "dan kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka
(wanita yang dikahwini) dengan mahar yang banyak."
Kiffarah zihar
Apakah kiffarah zihar?
Zihar bererti 'ucapan suami menyerupakan isterinya dengan ibunya atau mahramnya dalam perkara-perkara yang
haram' seperti berkata si suami kepada isterinya:"Belakang engkau seperti belakang ibuku atau peha engkau seperti peha ibuku." Perkataan begini
adalah haram. Imam-imam mazhab telah sepakat mengatakan bahawa zihar ini adalah haram dengan bersandarkan kepada nas Al-Quran dan ijma' bahawa zihar itu mewajibkan kiffarah
(denda) iaitu: Memerdekakan seorang hamba. Jika tiada hamba wajib berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika tidak berdaya setelah berusaha dia boleh memberi makan 60 orang miskin, setiap seorang dengan secupak daripada
makanan yang mengenyangkan. Jika tidak dibayar kiffarah itu maka haram baginya jima' dengan isterinya
Lelaki Memakai Inai
Apakah hukum bagi seorang lelaki memakai inai di jarinya dan memakai cincin perkahwinan?
Hukum memakai inai sebagai tanda perkahwinan adalah haram bagi pengantin lelaki tetapi harus hukumnya bagi pengantin perempuan. Memakai cincin perkahwinan adalah harus bagi kedua-dua pengantin tetapi haram bagi lelaki memakai cincin emas.
Lelaki Memakai Emas Putih (White Gold)
Bolehkah seorang lelaki itu memakai 'white gold' yang
bertaraf 18KT?
'White gold' walaupun ia bertaraf 18KT ia tetap emas. Yang membezakannya dengan emas biasa ialah
warnanya. Sekalipun emas tersebut bercampur dengan Platinum, samada emas tersebut melebihi 50% atau kurang dari 50% dan mudah dipisahkan dari logam lain atau jelas pembahagiannya, ia juga tetap haram dipakai oleh kaum
lelaki. Apa yang boleh dipakai oleh kaum lelaki ialah Platinum yang
semata-mata logam yang dinamakan Platinum atau campuran logam yang tidak mengandungi emas sama
sekali. Ia adalah harus dipakai.
Tatoo
Apa hukumnya seseorang itu memakai tattoo dan adakah sah dia mengambil wudhu'? Adakah sah jika seorang wanita bernikah dengan seorang lelaki yang memakai tattoo?
Hukum memakai tatto adalah haram berdasarkan hadith Rasulullah yang bermaksud bahawa Allah melaknat orang yang melukis (tattoo) atas badannya. Mereka yang sudah sedar dan kembali bertaubat hendaklah berusaha menghilangkan tattoo tersebut. Jika dengan menghilangkan tattoo tersebut (samada dengan kimia atau laser atau
sebagainya) mendatangkan mudharat yang lebih besar,
maka tidak perlu menghilangkan tattoo tersebut. Hukum mengambil wudhu' atas anggota badan yang ada tattoo adalah sah kerana tattoo di bawah kulit, bukan di
atasnya. Seorang lelaki dan wanita yang bernikah dengan tattoo di badan dianggap sebagai sah pernikahan
mereka.
minyak wangi beralkohol
Ada sebahagian orang Islam menganggap bahawa alkohol yang ada pada wangi-wangian itu adalah najis. Adakah benarkah pendapat ini?
Benar atau tidaknya pendapat ini bergantung dari mana asal alkohol itu. Sekiranya alkohol itu berasal dari arak ia adalah najis dan wangi-wangian itu juga dikira najis. Jika alkohol itu merupakan pati atau spirit dari bunga-bunga atau sebagai ibu daripada benda yang tidak najis ianya adalah harus digunakan
Mandi Hadas
Apa hukumnya jika seseorang itu berhenti seketika dari mandi hadas kerana sesuatu keperluan?
Jika seseorang itu berhenti seketika dari mandi hadas kerana sesuatu keperluan dia boleh menyambung semulanya mandinya itu selepas melaksanakan keperluan tersebut.
Akan tetapi hendaklah dia pastikan air di badannya itu masih belum kering sebelum dia sambung semula
mandinya. Jika air di badannya sudah menjadi kering kerana terlalu
lama maka diwajibkan ke atasnya untuk memulakan mandinya dari awal.
Hukum Meninggalkan Solat Jumaat
Apakah hukum meninggalkan solat Juma'at dan hukum solat sunat ketika khatib sedang membaca khutbah?
Bersabda Nabi saw. "Barang siapa meninggalkan sembahyang jumaat sebanyak tiga kali nescaya Allah akan menutup hatinya" ertinya tertutup dari menerima
perkara-perkara kebajikan. Riwayat oleh Imam Shafie, Ahmad,
Hakim, Muslim. Sembahyang jumaat adalah wajib bagi setiap lelaki baligh yang ketiadaan uzur yang diharuskan syarak. Maka meninggalkan perintah yang wajib itu haram lagi berdosa dengan ittifaq sekelian Ulama'. Sunat bagi orang yang baru memasuki masjid mengerjakan sembahyang Tahiyatul Masjid (sembahyang hormat masjid) walaupun khatib sedang membaca khutbah.