PENULISAN ILMIAH

 

MENGAPA KITA MENGAJAR MATEMATIK?

Oleh ROHAIDA BT. MAT RASAT

KUMPULAN DEVLIN KOHOT 10

SM-WB 10 : 

Menggunakan ICT Dalam Pengajaran Pembelajaran Matematik Menengah 

Yang Berkonsepkan Sekolah Bestari

 

MENGAPA KITA MENGAJAR MATEMATIK?

    Mengapa kita (guru matematik), mengajar matematik? Persoalan ini mempunyai banyak kemungkinan jawapan bergantung kepada penekanan yang diberi.

    Kita sendiri mungkin mempunyai pelbagai alasan peribadi.  Sesetengah daripada kita mengajar matematik kerana kita sukakan matematik dan mengajar memberi peluang untuk kita memenuhi minat kita ini.  Kadangkala kita merasakan subjek ini terlalu mudah bagi kita dan tidak memahami mengapa pelajar-pelajar tidak dapat memahami apa yang telah  kita cuba sampaikan berkali-kali.  Mungkin tidak terlintas di fikiran kita bahawa ada pelajar yang berpencapaian rendah tetapi masih boleh memahami konsep matematik jika kita menukar pendekatan dan strategi pengajaran kita serta menggunakan teknologi dan bahan bantu mengajar.  Mungkin juga kekangan masa yang menyebabkan kita tidak memperdulikan faktor-faktor lain selain daripada menghabiskan sukatan pelajaran. Akhirnya, untuk menjimatkan masa, kita hanya mengajar pelajar tentang rutin dan prosedur untuk menjawab sesuatu jenis soalan. Kemudian kita memberitahu pelajar bahawa mereka hanya akan dapat memahami konsep ini dan menyedari kepentingannya selepas mereka mendapat pendidikan di peringkat tinggi seperti kita, jadi mereka tidak perlu memahaminya sekarang. Menurut Polya, ' a teacher of mathematics has a great opportunity. If he fills his alloted time with drilling his students in routine operations he kills their interest, hampers their intellectual development and misuse his opportunity.'

    Sebahagian daripada kita mengajar matematik kerana mendapat kepuasan melihat kejayaan sebahagian kecil daripada pelajar-pelajar kita yang menjadi saintis, jurutera dan sebagainya. Bagaimana pula dengan sebahagian besar pelajar-pelajar kita yang lain? Adakah kita telah menyediakan mereka untuk menghadapi dan menangani masalah dunia sebenar?  Adakah mereka telah dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang menjadikan mereka lebih layak diambil sebagai pekerja?   

    Kebanyakan daripada kita  pula merasai keseronokan dengan keindahan struktur matematik dan ingin mempengaruhi orang lain bersama. Kita merasa amat gembira melihat pelajar-pelajar dapat menerima (memahami) konsep-konsep yang cuba kita sampaikan dan sentiasa mengharapkan 'keajaiban' ini akan berlaku setiap hari.  Kita akan cuba bersikap inovatif dan akan mencuba pelbagai pendekatan, bahan serta teknologi yang membolehkan pelajar menemui konsep, pola dan perhubungan dalam matematik.  Pendekatan pembelajaran yang bersifat konseptual, melibatkan penyiasatan, penerokaan dan penyelesaian masalah akan diberikan penekanan.

    Ada juga di kalangan kita yang mengajar matematik kerana tidak berjaya mencapai cita-cita asal seperti saintis, jurutera, doktor, pakar aktuari dan sebagainya samada kerana tidak layak atau kerana faktor kemelesetan ekonomi.  Akibatnya, segelintir daripada kita mengambil sikap acuh tidak acuh terhadap subjek ini, matlamat atau keperluan pelajar-pelajar kerana kita menganggap bahawa mengajar hanyalah sebagai periuk nasi sahaja, tidak lebih daripada itu.  Kadangkala kita sendiri tidak menguasai konsep dan perhubungan dalam matematik menyebabkan penyampaian konsep yang salah kepada pelajar dan pelajar meneruskan kehidupannya dengan menganggap bahawa apa yang diajar oleh gurunya adalah benar melainkan segelintir pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran dan di peringkat yang lebih tinggi, mereka menyedari bahawa konsep yang mereka fahami selama ini adalah salah. 

    Malang sekali, alasan peribadi kita selalunya tidak berkaitan dengan keinginan untuk memenuhi matlamat dan keperluan pelajar-pelajar.  Kita selalunya terikat dengan pengalaman masa lalu,  jadi kita juga mengajar sebagaimana kita telah diajar oleh guru-guru kita dahulu dan kita percaya bahawa itulah yang terbaik untuk kita, murid serta bidang pendidikan matematik.  Biasanya setiap konsep dan topik matematik diajar secara berasingan dan pelajar tidak didedahkan bahawa terdapat perhubungan di antara suatu konsep matematik dengan konsep yang lain.  Pelajar-pelajar tidak dapat melihat keindahan dan kegunaan matematik di dalam kehidupan sehariannya.  Tanpa kita sedari, dalam kerisauan kita terhadap perincian dan kesukaran dalam perhubungan dan manipulasi simbol, kita selalu terlupa bahawa manusia mencipta matematik untuk membantu mereka menyelesaikan masalah, memahami fenomena alam dan kehidupan, dan membantu dalam memproses maklumat daripada situasi fizikal, sosial dan budaya (Hendrikson, 1989).  Akibatnya, kita dapati empat daripada lima orang pelajar kita membenci matematik dan menganggap ia tiada kaitan langsung dengan mereka. 

    Henri Poincar'e, seorang ahli matematik yang masyhur dan banyak sumbangannya terhadap matematik, telah berkonsi pengalamannya dalam proses mencipta 'matematik'.  Menurutnya,  ' often when one works at a hard question, nothing good is accomplished at the first attack.  Then one takes a rest, longer or shorter, and sits  down anew to the work . During the first half-hour, as before, nothing is found and then all of a sudden the decisive idea presents itself to the mind' (Baron, 1976).  Pengalaman Poincar'e ini juga sebenarnya dialami oleh pelajar-pelajar kita yang sedang cuba menyelesaikan masalah dan 'membuat' matematik. Brown (1972) berpendapat, ' to some extent, everybody is a mathematician and does mathematics consciously.'

 

    Jika kita tidak memikirkan tentang matlamat sebenar serta tujuan pendidikan matematik, pengajaran kita akan kekal pada tahap lama dan prosedur pengajaran harian kita akan berdasarkan tradisi dan imitasi.  Kita tidak akan mempunyai keberanian untuk memulakan perubahan atau lari daripada amalan guru-guru kita dahulu (Baron,1976) .  

 

    Pergerakan pendidikan matematik yang progresif telah meletakkan matlamat untuk membenarkan pelajar menjadi kreatif dan berupaya mengungkapkan pemikirannya dalam matematik melalui penyelesaian masalah, kerja-kerja penyiasatan, menggunakan pelbagai media persembahan dan sebagainya.  Ini akan membenarkan pelajar untuk mengajukan persoalan, kemusykilan dan masalah matematik serta menyelesaikannya (Ernest).

 

    Kita boleh merujuk matlamat pendidikan yang dicadangkan oleh NCTM yang walaupun ditujukan untuk pendidikan matematik di Amerika, tetapi ia meliputi kepentingan pelajar serta pendidikan matematik yang bersifat sejagat.  Diantara matlamat sosial yang digariskan adalah  :

1.  Pekerja yang berliterasi matematik

2.  Pembelajaran sepanjang hayat

3.  Peluang kepada semua

4.  Pengundi yang berinformasi

 

    NCTM juga mencadangkan suatu set matlamat pendidikan matematik untuk semua pelajar berdasarkan kepercayaan bahawa apa yang setiap pelajar pelajari bergantung besar kepada bagaimana dia mempelajarinya.  Diantara matlamat tersebut adalah :

1.   Belajar menilai matematik

2.   Menjadi yakin kepada kebolehan diri

3.   Menjadi penyelesai masalah matematik

4.   Belajar berkomunikasi secara matematikal

5.   Belajar menaakul secara matematikal

 

    Sukatan pelajaran matematik sekolah menengah Malaysia yang terbaru juga telah menetapkan matlamat yang hampir sama dengan cadangan NCTM.  Matlamat pendidikan matematik menengah adalah untuk memperkembangkan pemikiran mantik, analitis, bersistem dan kritis, kemahiran penyelesaian masalah serta kebolehan menggunakan ilmu pengetahuan matematik supaya seseorang individu dapat berfungsi dalam kehidupan seharian dengan berkesan dan penuh bertanggungjawab serta menghargai kepentingan dan keindahan matematik.

    Proses pembelajaran matematik sepatutnya menghasilkan pelajar yang mampu memindahkan keadaan fizikal kepada model matematik dan mampu pula memahami keadaan fizikal daripada model matematik seperti graf, carta, pelan dan sebagainya.  Di sinilah perlunya kebijaksanaan dan pertimbangan kita sebagai guru untuk mempelbagaikan pendekatan pembelajaran serta menggunakan teknologi terkini seperti kalkulator grafik, perisian Geometer's Sketch Pad dan sebagainya yang walaupun tidak menguji kemahiran aritmetik pelajar tetapi membantu pelajar untuk menguasai konsep, pola dan perhubungan dalam matematik serta menjimatkan masa yang membolehkan pelajar menggunakan masa tersebut untuk penguasaan intipati matematik yang lebih penting.


    Braunfeld,  Haag dan Kaufman daripada Program Matematik Sekolah Bersepadu di Amerika Syarikat berpendapat ,  'we should teach mathematics because we owe every child an exposure to the mathematical ideas and principles which govern so much of the world in which we lives'(Greenberg,1974).
Bukankah sudah tiba masanya kita mengubah persepsi dan matlamat serta tujuan kita mengajar matematik?


RUJUKAN

  1. Baron, M.E. (ed. L.R. Chapman) (1976).  The process of Learning mathematics.  Surrey. Pergamon Press Ltd.

  2. Ed. Christiansen, B. (1986).  Perspective on Mathematics Education.  Netherlands.  D.Reidel Publishing Company.

  3. National Council of Teachers of Mathematics (1989).  Curriculum and Evaluation Standards for School Mathematics USA.  Reston.  The National Council of Teachers of Mathematics, Inc.

  4. Hendrickson, D (1974).  "Why do we Teach Mathematics ?"The Mathematics Teacher  67 (May 1974) : 5, 467-70

  5. Fremont, H . " Some Uncommon Sense about Individualized Instruction, Intuition, and Applications"The Mathematics Teacher 67   (May 1974) : 5, 399- 402

  6. Greenberg, H. J  " The Objectives of Mathematics Education ".  The Mathematics Teacher  67 (November 1974) : 7, 399- 402

  7. Norjoharuddeen Mohd Nor (2002).  Matlamat Pendidikan Matematik Abad ke 21. Unpublished. Penang : RECSAM.

  8. Chai, H.B. (2002).  Penyelesaian Masalah. Unpublished. Penang : RECSAM.

 

Untuk pendapat dan pandangan lain, sila ke :

 

 

   MENU UTAMA

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1