PENGGUNAAN BAHASA INGGERIS DALAM MATAPELAJARAN MATEMATIK  

 

Oleh :

Hairosniza Roslan

 

Kedatangan era maklumat dalam dunia alaf baru merupakan suatu cabaran kepada Malaysia. Dunia baru ini menjanjikan maklumat, idea, produk dan perkhidmatan menuju menyeberangi sebarang sempadan dengan kos yang amat efektif dan melalui cara yang liberal tanpa sebarang sekatan. Dengan terhapusnya semua garisan sekatan ini, segala maklumat yang diperolehi menjadi benar-benar global, dan ianya memerlukan suatu anjakan paradigma terhadap sikap dan pendekatan kepada penerima. Oleh itu, tindakan kerajaan di dalam penubuhan Sekolah Bestari dan mengaplikasikan Bahasa Inggeris sebagai pengantar kepada matapelajaran Matematik dan Sains adalah suatu langkah yang bertepatan dengan masanya.

 

Sekolah Bestari

Sekolah Bestari di Malaysia dijalankan sebagai suatu usaha untuk merealisasikan pendidikan negara dengan cara yang berkesan. Menurut sumber yang didapati, Sekolah Bestari mempunyai 5 matlamat utama, di mana 2 daripadanya disasarkan kepada individu.

1.      Menggalakkan pembangunan intelektual, fizikal dan emosi serta penguasaan jiwa.

2.      Membekalkan peluang kepada individu membangunkan kekuatan dan kemampuan mereka.

3.      Menghasilkan masyarakat yang bijak menggunakan teknologi yang tersedia.

4.      Mendemokratikkan pendidikan di mana setiap anggota masyarakat mendapat pendidikan sama rata

5.      Meningkatkan penyertaan individu, komuniti dan sektor swasta di dalam proses pendidikan.

Teknologi merupakan tulang belakang kepada perlaksanaan Sekolah Bestari di Malaysia. Teknologi Multimedia membentuk infrastruktur kepada proses pendidikan dan pembelajaran (P&P). Setakat ini 3 aplikasi telah diterap ke dalam perlaksanaan Sekolah Bestari iaitu dari aspek P&P kepada 4 matapelajaran sumber; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, dari aspek penilaian dan akhir sekali dari aspek pengurusan. Jelas semua ini bertujuan untuk menghasilkan suatu sistem yang cekap dan efektif yang bertujuan untuk menyokong fungsi pendidikan dan pembelajaran serta meningkatkan proses pembelajaran kendiri di dalam sektor pendidikan khususnya.

Pendidikan bukan lagi sesuatu yang bersikap tetap dan beku seperti yang diterapkan di dalam sistem sejak dahulu lagi.

 

Isu Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Matematik

            Bahasa Inggeris telah sedia maklum diterima sebagai bahasa kedua utama di Malaysia dan masih lagi digunakan sebagai bahasa utama dunia khususnya. Di dalam dunia tanpa sempadan ini, maklumat dan perhubungan secara umumnya diperolehi dari suatu sumber yang efektif yakni internet. Internet merupakan sumber informasi utama di dalam dunia kini; dan kebanyakan hasil penyelidikan semuanya ditulis di dalam bahasa Inggeris. Jadi, masalah yang timbul di sini adalah bukannya daripada segi masyarakat kita tidak langsung menerima tetapi masyarakat kita seharusnya cepat menerima maklumat terkini.

Kita sudah sedia maklum, kebanyakan penemuan baru di buat di institusi-institusi antarabangsa dan kebanyakan hasilnya akan dipersembahkan di dalam bahasa Inggeris. Setelah diterima, barulah ianya disebarkan dan kemudiaannya, mungkin sebulan, setahun atau mungkin tidak langsung ianya akan diterjemahkan kepada bahasa Malaysia. Jadi disinilah timbulnya masalah apabila masyarakat Malaysia lambat ataupun langsung tidak menerima maklumat ini semata-mata kerana tidak faham dengan maklumat baru yang ditulis seratus peratus di dalam bahasa Inggeris. Selaras dengan tindakan kerajaan untuk melaksanakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kepada matematik dan sains khususnya sememangnya suatu langkah yang bijak kerana kita semua telah sedia maklum bahawa kedua-dua subjek ini sememangnya dipenuhi dengan pelbagai istilah yang sekiranya diberikan di dalam bahasa Inggeris, mungkin guru sendiri pun banyak yang tidak mengetahuinya.

Berdasarkan matlamat Sekolah Bestari untuk melahirkan masyarakat yang dapat berfikir dan belajar berdasarkan kekuatan dan kemampuan sendiri, langkah ini sememangnya amat di alu-alukan. Namun begitu, masalah mungkin akan timbul di awal perlaksanaannya, terutama kepada pelajar yang lemah di dalam Bahasa Inggeris khususnya. Jadi kaedah yang terbaik untuk dilaksanakan sekarang adalah menerapkannya di sekolah-sekolah terpilih dahulu, contohnya sekolah-sekolah rendah Bestari seperti SK Seri Bintang Utara misalnya. Bermula daripada darjah 1, pelajar-pelajar rintis ini akan dapat menerima dan mengaplikasi perlaksanaan dengan lebih baik; berbanding terus diwajibkan ke seluruh negara iaitu dari darjah satu sehinggalah ke tingkatan lima. Sesungguhnya jika hendak melentur buluh, hendaklah kita bermula dari rebungnya.

 

Bibliografi

 http://webmsia.tripod.com

 Risalah Skim Perkongsian Pintar MMU 2001

 Risalah at-Tarbiah Guru Bestari Sekolah Bestari, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral,                                   Kementerian Pendidikan Malaysia

David Parkins. 1995, Smart Schools: Better thinking and learning for every child. New York.

Ahmad Sarji Abdul Hamid, Malaysia’s Vission 2020, Petaling Jaya.

 

BALIK KE PENULISAN ILMIAH

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1