TEKNOLOGI MEMANGKIN PENJANAAN 

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG BERKESAN 

 

Oleh :

Fakharudin Shahudin

Peserta Kohot 10

 

 

Apa itu Teknologi?

 

Mengikut pandangan Yusup Hashim, 1998, teknologi ditakrifkan sebagai satu proses dan produk yang digunakan untuk membangunkan sesebuah negara atau membaiki sesuatu sistem seperti sistem pendidikan. Proses ini meliputi pengetahuan saintifik serta kaedah atau teknik bagi menyelesaikan sesuatu masalah manakala produk pula adalah ciptaan daripada proses (teknik) teknologi itu sendiri. Ianya disokong oleh Saettler (1991) yang menjelaskan teknologi bukan semata-mata merujuk kepada mesin sahaja malah mencakupi teknik penggunaan pengetahuan saintifik itu sendiri. Kenyataan ini juga turut dipersetujui oleh Heinich (1989) dalam kajian beliau. Namun ramai di kalangan kita silap mentafsirkan teknologi, malah apabila konsep Sekolah Bestari di wujudkan dengan frasarana yang lengkap menjuruskan kepada konsep penglibatan teknologi, mereka beranggapan ianya mestilah melibatkan mesin seperti komputer, projektor dan alatan elektronik semata-mata tanpa memikirkan faktor penggunaan pengetahuan saintifik, teknik serta kaedah teknologi itu sendiri.

 

Oleh itu sewajarnya, apabila sesebuah mesin teknologi diguna pakai dalam pengajaran, warga pendidik seharusnya memanfaatkan semaksimumnya perisian dan kandungannya supaya fungsi dan peranannya digunakan sepenuhnya.

 

Perkembangan teknologi maklumat di Malaysia

 

Teknologi maklumat mula berkembang  berikutan apabila dunia sibuk memperkatakan kehebatan komputer sekitar 60- an. Keadaan ini mula menimbulkan kepentingan dalam kehidupan sehingga pihak Kementerian pendidikan mewujudkan komputer mikro di sekolah-sekolah awal 80 an. Kemudian komputer telah mula dipelbagaikan dan dalam pendidikan seperti dalam program pengajaran berbantukan komputer (CAI) (Hashim, 1998). Antara program yang dilaksanakan seperti tertubuhnya kelab komputer yang memainkan peranan penting  dalam memberi pendedahan pengetahuan asas tentang komputer dan cara penggunaannya kepada para pelajar serta  perlaksanaan pelajaran literasi komputer dalam sukatan KBSM.

 

Peranan Teknologi dalam pendidikan Matematik

 

Sejajar dengan kepentingannya maka pelbagai program perisian yang berguna mula dicipta dan dihasilkan terutamanya dalam sektor pendidikan. Antara perisian yang mendapat tempat di kalangan warga pendidik  khususnya matematik adalah Microsoft Excel, Microsoft Word, Autocad, Matlab, SPSS dan Geometer’s Sketchpad.

Hakikatnya,  kemudahan dalam meneroka sebarang bentuk informasi dan bahan bacaan yang berguna semudah `click and type’ dengan melayari internet. Dengan perkembangan teknologi semudah ini maka wujudnya era perubahan perkembangan ilmiah secara drastik dan komprehensif, seterusnya menyebabkan prospektif hala tuju serta corak perkembangan sesebuah pembentukan tamadun turut berubah. Maka dengan itu wujudlah pelbagai konsep dan fahaman yang melibatkan persaingan ide, produk dan perkhidmatan.   

 

 

Takrifan Teknologi Pendidikan dari Kaca mata Cendikiawan

 

 

Teknologi pendidikan merupakan perkembangan, penggunaan dan penilaian terhadap sistem-sistem, teknik-teknik dan alat-alat bantuan mengajar untuk membaiki proses pembelajaran manusia.

(NCET),  National Council for Educational Technology, 1973)

 

Teknologi pendidikan  menitikberatkan penggunaan kaedah-kaedah moden dan teknologi –teknologi secara sistematik dalam pengajaran dan pembelajaran. Ia melibatkan guru dalam berbagai peranan-peranan tradisional dan peranan yang masih diperkembangkan. Dalam definisi ini, fokus utama ialah guru dan cara dia menyesuaikan diri dalam bilik darjah. Peranan guru dikira penting dalam menentukan keberkesanan pembelajaran.salah satu tujuan mengkaji teknologi pendidikan sudah semestinya menggunakan kebolehan tiap-tiap orang guru dengan sebaiknya dalam konteks ini adalah tidak realistik jika kita ketepikan peranan guru dalam usaha kita membincangkan definisi teknologi pendidikan.

(Leedham,John, Educational Technology: A First Look, 1973,hal.7)

 

Teknologi pendidikan kadangkala dikaitkan dengan komputer dan lain-lain alat media yang digunakan dalam pengajaran.Namun dengan proses perancangan di mana suatu sistem pengajaran direka bentuk, dilaksana, dikawal dan dinilai untuk mencapai suatu objektif pembelajaran berkesan.

(Gagne, Robert dan Briggs Leslie J., Principles of Instructional Design, 1979, hal.20)

 

Teknologi pendidikan adalah penggunaan prinsip-prinsip saintifik untuk merancang dan melaksanakan sistem-sistem pengajaran dengan penekanan kepada pencapaian objekjtif-objektif pendidikan yang tepat dan boleh diukur, pemusatan kepada pelajar bukan orientasi kepada mata pelajaran, lebih bergantung kepada teori pendidikan, kesahan, dapatan-dapatan pendidikan melalu analisis empirikal dan penggunaan alat pandang dengar yang meluas. Kadang kala teknologi pendidikan juga dikatikan dengan penggunaan alat-alat sebagai suatu teknik pengajaran seperti pengajaran berbantukan komputer, penggunaan pelbagai media dan lain-lain bahan pengajaran kendiri yang menggunakan media.

(Good, Carter, V., Dictionary of Education, edisi ke-3, 1973, hal.592)

 

Teknologi pendidikan melibatkan proses saintifik yang meluas ke arah penyelesaian masalah-masalah pendidikan bagi memenuhi kehendak-kehendak pelajar.

(ALA dan AECT, Media Program: District and School, 1975, hal. 112)

 

 

Apakah Impak teknologi Pengajaran Terhadap Pengajaran ?

  

Teknologi pengajaran mempunyai impak yang signifikan terhadap struktur pendidikan khususnya pengajaran di dalam kelas. Teknologi dalam pendidikan yang berkembang dengan pesat ini harus diambil kesempatan khususnya untuk kebaikan sektor pendidikan itu sendiri. Sebagai contoh, teknologi pengajaran mempengaruhi kognitif pelajar dalam topik pembelajaran penyiasatan sudut bulatan menggunakan perisian Geometer’s Sketchpad. Penafsiran secara kognitif menekankan pemprosesan maklumat yang melibatkan proses dalaman yang berlaku dalam minda/otak pelajar semasa proses pengajaran dijalankan. Golongan kognitif mementingkan proses pembelajaran itu sendiri, oleh yang demikian sumber/media maklumat yang diterima (input)  dan simpan oleh pelajar sebagai maklumat untuk ditafsirkan. Faktor ini  adalah sangat penting dalam mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran selain daripada pengajaran daripada guru.

 

Oleh sebab itulah, pelajar yang mendapat pengajaran maklumat daripada media teknologi adalah lebih meyakinkan dan mudah untuk menterjemahkan sesuatu konsep. Sebagai contoh, Marcus the Marinite dalam Nexus Network Journal yang membuat analisis kebaikan dan kelebihan Geometer’s Sektchpad (GSP) dalam topik Sudut Geometer. Melalui kajian mereka didapati program ini amat baik dalam membantu  kognitif pelajar dalam menggalakkan penyiasatan perkaitan sudut dan ukuran. GSP hakikatnya banyak membantu pelajar meneroka konsep asas pembelajaran secara konkrit. Menurut Hewson & Hewson, langkah pertama dalam perubahan perkongsepan ialah mesti wujud suatu situasi ketidakpuasan antara idea atau konsep baru dengan pengetahuan sedia ada pelajar (konflik kognitif). Kedua, konsep baru yang ingin diperkenalkan mestilah diketahui dan difahami oleh pelajar. Jika keadaan ini tidak dicapai, pelajar hanya menghafal konsep baru bulat-bulat. Keadaan inilah yang menyebabkan pelajar lemah dalam menterjemahkan sesuatu maklumat yang berkaitan dengan topik kerana tidak faham dengan konsep. Ketiga, konsep baru yang ingin diperkenalkan mestilah logik, mestilah hampir sama atau sekurang-kurangnya dapat diterima oleh pengetahuan sedia ada pelajar. Akhirnya,  konsep baru mestilah mempunyai sebab yang kukuh untuk diterima.

Maka bertepatanlah dengan kenyataan ini yang mana pengajaran melalui teknologi lebih meningkatkan kefahaman dan perkembangan ilmu yang diterima. Kajian daripada Ting Choo Yee dan Mohamammad Ysof Arshad (2000) dalam jurnal mereka menunjukkan akan wujud perubahan konsep dimotivasikan melalui penggunaan simulasi komputer. Kajian juga menunjukkan penggunaan simulasi komputer bukan hanya mampu mendedahkan pengetahuan sedia ada pelajar, berfungsi sebagai replikasi kepada eksperimen sebenar (Kahn, 1985) malah meningkatkan kemahiran kognitif (Hudson,1994). Tinjauan Soal selidik terhadap GSP telah dibuat oleh Marcus the Marinite dalam Nexus Network Journal melibatkan pelbagai peringkat umur menunjukkan kesan yang positif.

 

 

Penutup

 

Secara kesimpulannya menerangkan kepada kita pengaruh teknologi memberikan kesan impak yang cukup kuat dan efektif dalam meningkatkan keberkesan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Masyarakat harus sedar dan menerima baik dengan kewujudan teknologi ini. Maka bertepatanlah hasrat kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia yang membuka mata masyarakat dengan mewujudkan konsep Sekolah Bestari. Hakikatnya bahawa kemunculannya pada tika ini adalah bertepatan dengan situasi dan masa dalam menuju era negara berteknologi maklumat. Namun ramai yang masih dibuai lena dan tidak menyedari keberkesannanya. Untuk menjadi negara maju semuanya bermula dari institusi pendidikan itu sendiri.        

 

 

Bibliografi

Yusup Hashim. 1998. Teknologi Pengajaran. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Shah Alam

Heinich, R., Molenda M. dan Russell J. D., 1990. Instructional Media and the Technologies of Instruction (edisi ke-4), Macmillan Publisher Ltd., New York.

Saetler, Paul.  1991. The Evaluation of Instructional Technology, New York, Mc Graw Hill Co., New York.

Marcus The Marinite.  The Geometer’s Angle No. 3 : An Introduction to the Art and Science of Geometric Analysis, Part II. Nexus Network Journal.  USA

Ting Choo Yee & Mohammad Yusof Arshad. 2000. Penggunaan Simulasi Komputer bagi merealisasikan fenomena tidak sahih : Satu alternatif mewujudkan konflik kognitif dalam pembelajaran Sains. Jurnal Pendidikan Univ. Teknologi Malaysia.

The Hyperbolic Toolbox : Non- Euclidean Constructions in Geometer’s Sketchpad. Journal of online Mathematics and its applications.

 

BALIK KE PENULISAN ILMIAH

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1