Matlamat Pendidikan matematik

 

Dalam KBSM, ada matapelajaran yang dijadikan teras, iaitu wajib dipelajari dan ada matapelajaran yang boleh dibuat pilihan ke atasnya.  Matapelajaran teras adalah  untuk memenuhi keperluan individu secara menyeluruh dan bersepadu.  Matematik merupakan salah satu matapelajaran  teras dalam KBSM bagi tingkatan 1 hingga 5.  Kurikulum matematik KBSM membekalkan pendidikan matematik yang umum, yang menegaskan keseimbangan diantara kefahaman terhadap konsep dengan penguasaan kemahiran, penggunaan matematik dalam situasi sebenar, kemahiran menyelesaikan masalah , serta cara pemikiran mantik, kritis dan bersistem.  Disamping itu, perkara-perkara yang turut diberi keutamaan ialah penerapan nilai-nilai dalam proses pengajaran pembelajaran.  Secara amnya, pendidikan matematik bertujuan untuk melahirkan insan yang bukan sahaja mahir menggunakan matematik tetapi juga mempunyai sikap yang wajar untuk menggunakan matematik dengan jujur dan bertanggungjawab dalam urusan sehariannnya.

 

Matlamat matematik KBSM adalah untuk memperkembangkan  pemikiran mantik,

analitis, bersistem dan kritis, kemahiran penyelesaian masalah  serta kebolehan

menggunakan  ilmu pengetahuan matematik supaya seorang individu dapat berfungsi

dalam kehidupan seharian dengan berkesan dan bertanggungjawab serta menghargai

kepentingan  dan keindahan matematik. (Pusat Perkembanagan kurikulum, 1989).

 

Pernyataan diatas menyatakan bahawa semua pelajar diberi peluang  untuk mempelajari matematik supaya mereka boleh berfungsi dan memahami  kemajuan yang sentiasa berlaku disekeliling mereka.  Seterusnya ini bermakna bahawa matematik yang perlu diajar sentiasa mengalami perubahan, bukan statik, kerana keperluan matematik  sentiasa berubah selari dengan kemajuan sains dan teknologi yang pesat berkembang.

 

Sebagai seorang warganegara yang mampu untuk mengikuti perkembangan semasa, sesorang itu harus dapat memahami perkara atau perkembangan yang berlaku disekelilingnya.  Contohnya, ia harus mampu untuk membuat kiraan semula cukai pendapatan, kiraan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pampasan persaraan, cukai harta dan sebagainya.  Seseorang warganegara, dalam konteks negara maju, tidak boleh lagi bergantung kepada orang lain untuk mengira bagi pihak dirinya. 

 

Pengajaran-pembelajaran matematik telah mula diubahsuai supaya lebih menumpu kepada memberi makna kepada matematik yang diajar.  Di peringkat sekolah rendah Projek Khas telah ditubuhkan oleh Pihak Kementerian Pendidikan  untuk menyediakan panduan untuk guru-guru berasaskan sukatan pelajaran yang sedia ada.  Di peringkat sekolah menengah, sukatan pelajaran matematik moden berpandukan kepada bahan-bahan hasil projek Scottish Mathematics Group (SMG) dan School Mathematics Project (SMP) telah digubal dan mula dilaksanakan pada tahun 1970.

 

Kesimpulannya, Kementerian Pendidikan sememangnya peka terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran matematik.  Banyak usaha telah dijalankan untuk mencapai matlamat pendidikan matematik di sekolah.  Segala perubahan yang dihasratkan bukanlah sesuatu yang mudah dilaksanakan.  Kejayaan dalam melaksanakan sesuatu kurikulum adalah bergantung kepada iltizam dan kerjasama dari pelbagai pihak.

 

 

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1