Matlamat Pendidikan matematik
Dalam KBSM, ada matapelajaran yang dijadikan teras,
iaitu wajib dipelajari dan ada matapelajaran yang boleh dibuat pilihan ke
atasnya. Matapelajaran teras
adalah untuk memenuhi keperluan
individu secara menyeluruh dan bersepadu.
Matematik merupakan salah satu matapelajaran teras dalam KBSM bagi tingkatan 1 hingga 5. Kurikulum matematik KBSM membekalkan pendidikan
matematik yang umum, yang menegaskan keseimbangan diantara kefahaman terhadap
konsep dengan penguasaan kemahiran, penggunaan matematik dalam situasi sebenar,
kemahiran menyelesaikan masalah , serta cara pemikiran mantik, kritis dan
bersistem. Disamping itu,
perkara-perkara yang turut diberi keutamaan ialah penerapan nilai-nilai dalam
proses pengajaran pembelajaran. Secara
amnya, pendidikan matematik bertujuan untuk melahirkan insan yang bukan sahaja
mahir menggunakan matematik tetapi juga mempunyai sikap yang wajar untuk
menggunakan matematik dengan jujur dan bertanggungjawab dalam urusan
sehariannnya.
Matlamat matematik KBSM
adalah untuk memperkembangkan pemikiran
mantik,
analitis, bersistem dan
kritis, kemahiran penyelesaian masalah
serta kebolehan
menggunakan ilmu pengetahuan matematik supaya seorang
individu dapat berfungsi
dalam kehidupan seharian
dengan berkesan dan bertanggungjawab serta menghargai
kepentingan dan keindahan matematik. (Pusat Perkembanagan kurikulum, 1989).
Pernyataan diatas menyatakan bahawa semua pelajar
diberi peluang untuk mempelajari
matematik supaya mereka boleh berfungsi dan memahami kemajuan yang sentiasa berlaku disekeliling mereka. Seterusnya ini bermakna bahawa matematik
yang perlu diajar sentiasa mengalami perubahan, bukan statik, kerana keperluan
matematik sentiasa berubah selari
dengan kemajuan sains dan teknologi yang pesat berkembang.
Sebagai seorang warganegara yang mampu untuk mengikuti
perkembangan semasa, sesorang itu harus dapat memahami perkara atau
perkembangan yang berlaku disekelilingnya.
Contohnya, ia harus mampu untuk membuat kiraan semula cukai pendapatan,
kiraan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pampasan persaraan, cukai
harta dan sebagainya. Seseorang
warganegara, dalam konteks negara maju, tidak boleh lagi bergantung kepada
orang lain untuk mengira bagi pihak dirinya.
Pengajaran-pembelajaran matematik telah mula
diubahsuai supaya lebih menumpu kepada memberi makna kepada matematik yang
diajar. Di peringkat sekolah rendah
Projek Khas telah ditubuhkan oleh Pihak Kementerian Pendidikan untuk menyediakan panduan untuk guru-guru
berasaskan sukatan pelajaran yang sedia ada.
Di peringkat sekolah menengah, sukatan pelajaran matematik moden
berpandukan kepada bahan-bahan hasil projek Scottish Mathematics Group (SMG)
dan School Mathematics Project (SMP) telah digubal dan mula dilaksanakan pada
tahun 1970.
Kesimpulannya, Kementerian Pendidikan sememangnya peka
terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran matematik. Banyak usaha telah dijalankan untuk mencapai
matlamat pendidikan matematik di sekolah.
Segala perubahan yang dihasratkan bukanlah sesuatu yang mudah
dilaksanakan. Kejayaan dalam
melaksanakan sesuatu kurikulum adalah bergantung kepada iltizam dan kerjasama
dari pelbagai pihak.