PUTERI BALQIS MELAWAT MAHLIGAI RAJA NABI SULAIMAN

Pada suatu hari Nabi Sulaiman mengadakan perhimpunan yang paling besar dengan bala tenteranya. Maka hadirlah segala yang di bawah pemerintahannya yang terdiri daripada manusia, Jin dan binatang. Apabila Nabi Sulaiman memeriksa barisan tenteranya, maka didapatinya ada yang tidak hadir dalam perhimpunan tersebut ia itu burung hud-hud.

Maka marahlah Nabi Sulaiman sambil berkata, " Kalau burung hud-hud tidak dapat memberi alasan yang munasabah, akan ku sembelih dia." Tidak berapa lama kemudian datanglah burung hud-hud sambil berkata, " tuanku, maafkan saya kerana lambat hadir. Ini adalah kerana saya baru datang dari negeri Saba yang diperintah oleh seorang puteri bernama Puteri Balqis. Dia memerintah negeri itu dengan adil dan saksama tetapi sayangnya dia tidak menyembah Allah. (Puteri Balqis menyembah Matahari)

Apabila Nabi Sulaiman mendengar berita dari burung hud-hud itu, maka timbullah dalam hatinya untuk mengetahui kebenaran berita tersebut. Lalu Nabi Sulaiman menulis sepucuk surat yang mana isi kandungannya yang berbunyi: " Wahai Puteri Balqis, Allah S.W.T. telah memberi kepadamu kerajaan yang besar. Oleh itu, hendaklah kamu berterima kasih kepadaNya dengan menyembahNya kerana Dia adalah Allah yang memberi segala-galanya dan janganlah kamu menyembah selain dariNya."

Maka Nabi Sulaiman pun menyuruh burung hud-hud menyerahkan surat itu kepada Puteri Balqis. Apabila sampai di Negeri Saba, burung hud-hud itu pun terus masuk ke dalam istana dan kebetulan Puteri Balqis berada di situ. Lalu burung hud-hud menjatuhkan surat tersebut kepada beliau.

Apabila Puteri Balqis melihat surat yang dijatuhkan kepadanya, maka diapun membuka dan membacanya. Setelah selesai membaca surat tersebut, Puteri balqis pun memamanggil semua jemaah menterinya, para hulubalang dan cerdik pandai untuk membincangkan tentang kandungan surat tersebut, kesemua yang menghadiri mesyuarat tersebut berpendapat adalah lebih baik berperang.

Salah seorang dari mereka berkata, " Tuanku, pada pendapat patik, kita mempunyai tentera yang banyak lagi gagah berani dan kita tidak perlu takut untuk menghadapi mereka."

Puteri Balqis mengutarakan cadangannya, " adalah baiknya kalau kita menghantar utusan kita ke sana untuk menyaksikan kebenaran dan kebesaran kerajaan Nabi Sulaiman seperti yang terdapat dalam surat itu." Apabila mendengar pendapat Puteri Balqis itu, mereka semua yang hadir akhirnya bersetuju dengan tindakan tersebut.

Maka pergilah utusan Puteri Balqis menghadap Nabi Sulaiman seraya berkata, " Kami ini adalah utusan dari Negeri Saba yang diperintahkan oleh Puteri Balqis dan kami juga membawa hadiah-hadiah dari ratu kami."

Nabi Sulaiman berkata. " Nampaknya kamu ini memujuk aku dengan hadiah. Bagiku sudah cukup apa yang Allah berikan. Sekarang kembalilah kamu dengan hadiah-hadiah yang kamu bawa itu dan beritahu raja kamu, kalau dia ingkar menyembah Allah, maka kami akan menyerang negeri kamu."

Apabila utusan Puteri Balqis sampai ke negeri mereka, utusan tersebut lalu menceritakan tentang apa yang diucapkan oleh Nabi Sulaiman itu. Setelah Puteri Balqis mendengar penjelasan dari utusannya, maka ketahuilah dia betapa besarnya kerajaan pimpinan Raja Sulaiman itu.

Kemudian Puteri Balqis berpendapat, adalah lebih baik aku pergi bersama pengawal melihat kerajaan raja Sulaiman daripada dia datang ke sini dengan bala tenteranya.

Apabila pendapat Puteri Balqis disokong oleh semua pembesarnya, maka bertolaklah baginda puteri dengan para pembesarnya menuju ke negeri Nabi Sulaiman.

Hal ini telah sampai kepada pengetahuan Nabi Sulaiman. Maka bagindapun memerintahkan bala tenteranya mengindahkan negerinya dengan membina bangunan yang tinggi dan cantik.

Setelah selesai semua yang diperintahkan oleh Nabi Sulaiman, maka tinggallah satu kerja saja lagi yakni untuk memindahkan singgahsana kerajaan Puteri Balqis dari negerinya ke negeri Nabi Sulaiman.

Maka Nabi Sulaiman pun berkata dalam sebuah majlis yang diadakan untuk mencari siapa yang dapat membawa singgahsana kerajaan Puteri Balqis itu, "Adakah sesiapa yang sanggup membawa singgahsana kerajaan puteri Balqis sebelum puteri itu sampai ke sini?" maka berkata salah seorang di antara manusia, "aku dapat membawa ke mari sekarang juga sebelum puteri itu sampai ke sini."

Dengan sekejap saja, maka sampailah singgahsana kerajaan Negeri Saba itu dihadapan Nabi Sulaiman. Setelah itu, Nabi Sulaiman memerintahkan, "Ubahlah bentuk singgahsana itu dari asalnya supaya kita dapat lihat samada dia dapat mengetahuinya atau tidak."

Apabila Puterri Balqis mengadap Nabi Sulaimanm maka Nabi Sulaiman bertanya, " Adakah seperti ini singgahsanamu?" Maka kata Puteri Balqis, " Nampaknya macam seakan-akan inilah." Kemudian Nabi Sulaiman mempersilakan Puteri Balqis masuk ke istananya seraya Puteri Balqis hendak masuk, dilihatnya lantai itu seakan-akan penuh dengan air, lalu diangkatnya kain hingga kebetisnya supaya tidak basah.

Maka Nabi Sulaiman berkata, " Sebenarnya mahligai ini diperbuat daripada kaca yang licin." Kemudian Puteri Balqis berkata "Ya Allah, ya tuhanku, aku telah menganiaya diriku sendiri dan Islamlah aku berserta Sulaiman kepada Tuhan sekalian alam.

Dalam Al-Quran diterangkan tatkala Nabi Sulaiman meninggal dunia, tiada tanda-tanda yang dia telah mati. Keadaannya seperti baginda sedang mengawasi dan memperhatikan jin-jin yang sedang bekerja keras kerana mereka patuh pada perintah Baginda, yang kelihatan seperti bertongkat dengan tongkatnya sedangkan Nabi Sulaiman telah lama wafat tetapi tidak diketahui oleh sesiapapun dan matinya dalam keadaan berdiri dan mayatnya tidak busuk.

Oleh sebab terlalu lama dia meninggal, maka tongkatnya itu dimakan anai-anai lalu jatuhlah dian dan barulah jin dan manusia sedar bahawa Nabi Sulaiman sebenarnya telah lama wafat dan ketahuilah oleh mereka bahawa selama ini yang memerhatikan mereka adalah mayatnya saja.

Nota:

Cerita ani ringkas saja...

Tapi hal memindahkan istana Puteri Balqis atu, jin ifrit sanggup memindahkan singgahsana atu belum sempat Nabi sulaiman berdiri daripada tempat duduknya. Dan seorang manusia yang mempunyai ilmu dan hikmah sanggup memindahkan singgahsana puteri Balqis sebelum Nabi Sulaiman sempat memejamkan mata. Dari sini tani nampak bahawa manusia atu lebih tinggi ilmunya berbanding dengan makhluk lain.

Cerita diatas dari: HIMPUNAN KISAH-KISAH TELADAN (2)

Yang detail: KISAH-KISAH PARA NABI DAN RASUL (2)

 

Hosted by www.Geocities.ws

1