Penentangan di Sarawak

 

Pengenalan

Sarawak di bawah pemerintahan Brooke telah berlaku banyak perubahan dari segi politik, ekonomi dan social. Perubahan ini telah menyebabkan penduduk pribumi bangun untuk menentangnya kerana perubahan ini telah melanggar adat dan kepercayaan mereka. Antaranya ialah penentangan oleh Syarif Masahor, Rentap dan Banting.

 

Penentangan oleh Syarif Masahor

Syarif Masahor dilantik oleh Sultan Brunei sebagai Gabenor Sarikei di Sungai Rajang. Beliau adalah pembesar yang sangat dihormati dan disegani oleh orang Melanau dan Iban. Walau bagaimanapun, kuasa Syarif Masahor telah tergugat apabila James Brooke mengambilalih kawasan Sungai Rajang daripada Sultan Brunei pada tahun 1853. James Brooke kemudian membina sebuah kubu di Kanowit di Sungai Rajang.

            Tindakan Brooke telah mencabar kewibawaan Syarif Masahor sebagai pembesar di Sungai Rajang. Syarif Masahor telah berpakat dengan Dato’ Patinggi Abdul Gapur di Kuching untuk menyerang kubu Brooke di Kanowit dan mengusirnya keluar dari Sarawak. Tentera bersekutu Syarif Masahor dan Dato’ Patinggi Abdul Gapur telah menyerang kubu Kanowit dan membunuh 2 orang pegawai Inggeris, iaitu Charles Fox dan Henry Steel.

            Pada tahun 1860, angkatan perang Syarif Masahor telah menyerang Kuching tetapi dapat dipatahkan oleh pasukan tentera Brooke di bawah pimpinan Charles Brooke. Syarif Masahor dapat menyelamatkan diri dan berlindung di Brunei. Namun James Brooke telah memaksa Sultan Brunei supaya Syarif Masahor dibuang negeri ke Singapura.

            Dengan itu, Syarif Masahor dihantar ke Singapura dan meninggal dunia di situ pada tahun 1890. Dato’ Patinggi Abdul Gapur cuba menyerang Kuching dari Pontianak tetapi beliau ditahan oleh Belanda dan dipenjarakan di Betawi.

 

Penentangan oleh Rentap

Rentap ialah seorang pahlawan Iban yang bangkit menentang pemerintahan James Brooke di Sarawak. Rentap ialah ketua orang Iban yang sangat berpengaruh di hulu Sungai Sekrang. Beliau digelar “Raja Darat”. Nama sebenar beliau ialah Libau.

            Rentap tidak suka kemaraan kuasa Brooke ke kawasan orang Iban. Pada tahun 1853, Rentap menyerang kubu James Brooke di Sungai Sekrang dan membunuh seorang pegawai Brooke yang bernama Alan Lee. Kemudian Rentap meminta sebuah kubu yang kuat di Bukit Sadok di hulu Sekrang. Kubu itu dilengkapkan dengan meriam besi yang besar yang telah dirampas dari Pontianak, Kalimantan. Kubu di Bukit Sadok sangat kuat sehingga serangan Charles Brooke sebanyak 2 kali pada tahun 1854 gagal menawan kubu tersebut.

            Pada tahun 1861, Charles Brooke telah menyerang Bukit Sadok dengan sebuah meriam tembaga bernama Bujang Sadok yang dibuat di Kuching. Kali ini, kubu Rentap di Bukit Sadok dapat ditawan oleh Charles Brooke. Rentap berjaya melepaskan diri ke kawasan pedalaman.

 

Penentangan oleh Banting

Pada tahun 1893, orang Iban di bawah pimpinan Banting bangkit menentang pemerintahan kerajaan Brooke di Sarawak. Banting ialah penghulu Iban di hulu Sungai Batang Lupar di kawasan Hulu Air. Banting menentang Charles Brooke yang cuba menghapuskan adat dan upacara yang diamalkan oleh orang Iban.

            Pada tahun 1902, Charles Brooke telagh menghantar satu pasukan tentera untuk menawan Banting tetapi beliau dapat mempertahankan dirinya dan memerintah dengan bebas sehingga tahun 1908. Pada tahun itu, tentera Brooke berjaya menewaskan Banting tetapi gagal menangkapnya. Selepas itu, kuasa Banting semakin lemah dan beliau menamatkan penentangannya terhadap Kerajaan Brooke.

 

oleh SP Star

23/05/2001 16:50:08

Hosted by www.Geocities.ws
GridHoster Web Hosting
1