Penentangan di Sabah

 

Pengenalan

Seperti Negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu, Sabah juga dijajahi oleh British melalui Kompeni Berpiagam Borneo Utara. Di bawah pemerintahan kompeni, rakyat Sabah telah bangkit menentang kerana tindakan pegawai kompeni yang melanggar adat mereka. Antara penentangan yang terkenal ialah penentangan oleh Mat Salleh dan penentangan oleh Antanum.

 

Penentangan oleh Mat Salleh

Mat Salleh atau Mohammad Salleh ialah seorang pahlawan di Sabah yang bangkit menentang pemerintahan Kompeni Berpiagam Borneo Utara di Sabah. Mat Salleh dilahirkan di Inanam dan berketurunan Bajau-Suluk. Beliau berkahwin dengan seorang puteri Sulu yang bernama Dayang Bandung. Beliau merupakan pembesar di hulu Sungai Sungut dan memerintah kawasannya dengan bebas.

            Pada tahun 1894, Mat Salleh telah bangkit menentang Kompeni Berpiagam kerana kompeni campur tangan di kawasannya. Kompeni telah menyerang dan membakar kampung Mat Salleh di Sungai Sugut apabila beliau membuat aduan tentang pergaduhan di antara pegawai British dengan Iban. Kompeni juga telah membina jalan raya dari jalan keretapi merentasi kawasan Ranau yang dikuasai oleh Mat Salleh. Selain itu, kompeni juga mengenakan pelbagai cukai ke atas rakyat dan mengerah buruh paksa.

            Pada tahun 1897, Mat Salleh menyerang dan memusnahkan pelabuhan kompeni di Pulau Gaya. Beliau kemudiannya membina sebuah kubu di Ranau untuk meneruskan serangannya. Kompeni membalas dengan menyerang dan memusnahkan kubu Mat Salleh di Ranau. Mat Salleh tidak dapat ditewaskan tetapi beliau terpaksa beundur ke kawasan pedalaman.

            Kompeni khuatir Mat Salleh akan menyerangnya lagi. Oleh itu, Pengarah Urusan Kompeni iaitu William Cowie mengesyorkan supaya diadakan perdamaian di antara kompeni dan Mat Salleh. Satu rundingan damai telah diadakan di antara Cowie dengan Mat Salleh. Menurut rundingan damai ini:

a.         Mat Salleh dibenarkan mentadbir kawasan Tambunan dengan bebas.

b.         Kompeni berjanji memberi pengampunan kepada pengikut Mat Salleh

            Kompeni telah memungkiri janjinya. Pada tahun 1897, Kompeni telah membuat keputusan untuk mengambilalih kawasan Tambunan. Mat Salleh sangat marah dan membina sebuah kubu di Tambunan untuk mempertahankan diri. Pada tahun 1900, pasukan kompeni telah menyerang kubu Mat Salleh di Tambunan. Mat Salleh terbunuh dalam serangan tersebut pada bulan Februari 1900.

 

Penentangan oleh Antanum

Pada tahun 1915, seorang Murut dari kawasan pedalaman Sabah telah bangkit menentang Kompeni Berpiagam Borneo Utara. Orang Murut bangkit menentang kompeni kerana:

a.         Mereka dilarang menebas hutan rimba untuk membuka tanah pertanian.

b.         Mereka terpaksa membina jalan raya di kawasan pedalaman tanpa dibayar gaji.

c.         Mereka percaya bahawa pembinaan jalan raya itu telah mengusir roh nenek moyang dan menimbulkan kemarahan yang akan mengakibatkan kemarau selama 4 tahun.

            Kebangkitan orang Murut dipimpin oleh pemimpin murut yang bernama Antanum. Pemberontakan tercetus pada tahun 1915 apabila orang Murut menyerang dan membakar Pensiangan. Kemudian mereka menyerang Rundum tetapi Rundum dapat diselamatkan oleh Kompeni. Oleh itu, pemberontakan ini juga dikenali sebagai Pemberontakan Rundum.

            Selepas itu, Antanum dan pengikutnya (seramai 900 orang) telah membina sebuah kubu di Sungai Selangit. Kubu itu diserang oleh askar kompeni. Antanum serta 400 orang pengikutnya telah terkorban. Pemberontakan Rundum tamat selepas kematian Antanum tetapi orang Murut di kawasan pedalaman telah berpindah ke Kalimantan kerana tidak lagi takin terhadap pemerintahan Kompeni.

 

oleh SP Star

23/05/2001 16:25:25

Hosted by www.Geocities.ws
GridHoster Web Hosting
1