Pemberontakan Taiping 1851-1864

 

Pengenalan

Pemberontakan Taiping meletus pada tahun 1851-1864 di bawah pimpinan Hung Hsiu Chuan. Beliau dilahirkan pada 1 Januari 1814 di Huah Hsien dekat Canton dalam wilayah Kwangtung. Kegagalan menjadi pegawai sarjana telah menyebabkan beliau melibatkan diri dalam hal keagamaan. Beliau mengkaji ajaran Kristian melalui buku yang dipinjamkan dari Liang Ah Fa yang baru memeluk agama Kristian. Hung Hsiu Chuan juga berdamping rapat dengan seorang mubaligh I.J. Robert dan seterusnya memeluk agama Kristian. Beliau bercita-cita untuk menyebarkan satu ajaran baru iaitu campuran ajaran Kristian dengan kepercayaan China. Pada tahun 1844 bersama-sama dengan Feng Yun Shan, beliau telah menubuhkan Pertubuhan Penyembah-pemyembah Tuhan yang dikenali sebagai Shang Ti Hui. Pemberontakan Taiping meletus berikutan peristiwa pada Disember 1850 di mana tentera Menchu telah memaksa penduduk Kweilin membayar cukai 2 kali ganda sedangkan dewasa itu mereka mengalami kebuluran. Secara kebetulan majoriti penduduk Kweilin adalah anggota Shang Ti Hui.

 

Jalan Pemberontakan

Pemberontakan Taiping meletus secara rasminya pada 11 Januari 1951 di Chientien dalam wilayah Kwangsi. Pada September 1851, mereka berjaya menawan Yung An yang dijadikan sebagai ibu kota sementara Taiping. Dari Yung An, mereka mara ke Utara dan menawan bandar-bandar seperti Kweilin, Changhwa, Changsha, Liling, Wuchang, Hankow, Kiukiang, Anking dan sebagainya. Semakin jauh tentera Taiping bergerak, semakin ramai yang menyertai pemberontakan kerana terpengaruh dengan janji-janji Hung Hsiu Chuan serta kejayaan-kejayaan awal Taiping. Antara tahun 1851-1853, mereka berjaya menawan 600 bandar dalam 16 wilayah. Pada 19 Mac 1853, mereka berjaya menawan Nanking yang dijadikan ibu kota Taiping menggantikan Yung An. Pada 21 Mac 1853, Hung Hsiu Chuan menubuhkan Kerajaan Taiping Tien Kao yang bermaksud “Kerajaan Kesyurgaan Aman Damai”. Beliau mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja kesyurgaan bergelar Tien Wang. Selepas menubuhkan Kerajaan Taiping di Nanking, Hung Hsiu Chuan mula melaksanakan rancangan pembaharuan yang terkandung dalam dokumen Tien Chou, Tien Mou, Chih Tu.

            Dari Nanking, satu pasukan tentera seramai 60-70 ribu orang di bawah pimpinan Lin Feng Hsing dan Li Kai Feng telah dihantar ke Utara untuk menawan ibu kota Peking. Walau bagaimanapun, pasukan ini berjaya dihancurkan oleh tentera Manchu di Tientsin. Satu lagi pasukan tentera seramai 50 ribu orang di bawah Lo Ta Kang dihantar ke Barat China. Pasukan ini juga tidak banyak mencapai kejayaan. Pemimpin-pemimpin Taiping selain dari Hung Hsiu Chuan ialah Yang Hsiu Ching, Li Hsiu Cheng, Shih Ta Kai, Wei Chang Hui, Hsiao Chao Kuei, Hung Ta Chuan, Hung Jen Fa, Hung Jen Kao dan sebagainya.

            Kerajaan Taiping kekal sehingga 19 Julai 1864 di mana ia ditumpaskan oleh tentera Manchu pimpinan Tseng Kao Fan, Tseng Kao Chuan, Tso Tsung Tang dan Li Hung Chang yang mendapat bantuan daripada tentera upahan Barat yang dikenali sebagai “Ever Victorious Army” di bawah pimpinan Frederick T. Ward dan Charles George Gordon.

 

Sebab-sebab

1.         Anti Manchu

Wolfgang Franke dalam bukunya “ A Century of Chinese Revolution 1851-1949” mendakwa semangat kebangsaan khususnya perasaan anti Manchu merupakan faktor utama yang mengakibatkan meletusnya Pemberontakan Taiping pada tahun 1851. Manchu merupakan dinasti asing dari Manchuria yang memerintah negeri China sejak tahun 1644. Akibatnya pemerintahan Manchu tidak disukai oleh orang-orang Cina terutamanya penduduk wilayah Selatan seperti Kwangtung, Kwangsi dan Fukien. Dalam usaha untuk menentang Kerajaan Manchu mereka menubuhkan kongsi gelap seperti White Lotus Society, Heaven and Earth Society, Big Sword Society, Small Sword Society, Long Hair Bandits, Eight Diagrams dan sebagainya. Mereka melakukan rompakan dan serangan hendap ke atas tentera Manchu dalam usaha untuk melemahkan Kerajaan Manchu. Bila Hung Hsiu Chuan mencadangkan satu pemberontakan menentang Manchu, cadangan tersebut mendapat sokongan ramai orang Cina yang sememangnya anti Manchu. Akibatnya, didapati banyak kongsi gelap menyertai Taiping dalam usaha menumpaskan Manchu.

2.         Kesengsaraan ekonomi dan sosial

Wolfgang Franke dalam bukunya “A Century of Chinese Revolution 1851-1949” dan Frans Micheal dalam bukunya “The Taiping Rebellion: History and Documents” menegaskan kesengsaraan ekonomi dan sosial juga merupakan faktor penting mengakibatkan meletusnya Pemberontakan Taiping. Antara tahun 1826-1850, berlaku pelbagai bencana alam seperti banjir, kemarau dan gempa bumi yang telah merosakkan tanaman. Pada tahun 1840-an, banjir besar berlaku di sekitar Sungai Tangtze dan kemarau panjang di wilayah Hunan. Selain itu, penduduk Kwangsi mengalami kebuluran. Pertambahan penduduk yang tidak seimbang dengan pertambahan tanah pertanian telah menambahkan penderitaan rakyat China. Penduduk China yang berjumlah 181 juta pada tahun 1751 telah meningkat menjadi 432 juta pada tahun 1851. Keadaan ini sudah tentu mengakibatkan kemiskinan dan kemerosotan taraf hidup. Ramai petani kehilangan tanah kerana gagal membayar cukai yang tinggi. Pada pertengahan abad ke-19, kira-kira 60-90% petani tidak memiliki tanah. Kemarahan orang China terhadap Kerajaan Manchu disebabkan Menchu tidak berusaha untuk membantu orang-orang China terutamanya mangsa-mangsa bencana alam. Selain itu, orang-orang China menganggap bencana alam yang berlaku menandakan Tuhan telah menarik balik mandat yang diberikan kepada Dinasti Manchu untuk memerintah negeri China.

3.         Kelemahan pentadbiran

Ssu Yu Teng dalam bukunya “New Light on the History of the Taiping Rebellion” menganggap korupsi politik menjadi punca Pemberontakan Taiping. Sejak akhir abad ke-18, terdapat kemerosotan sistem pentadbiran Manchu akibat perbuatan rasuah, penyelewengan serta ketidakcekapan dalam pentadbiran. Ramai pegawai mengamalkan rasuah untuk kepentingan diri. Contohnya, Ho Shen seorang pegawai tinggi kerajaan semasa pemerintahan Maharaja Chien Lung (1736-1796) telah berjaya mengumpul harta sebanyak 800 juta taels. Jumlah tersebut merupakan separuh daripada pendapatan negeri China dalam tempoh 20 tahun. Selain itu, berlaku penyelewengan dalam jabatan-jabatan kerajaan di mana peruntukan telah disalahgunakan untuk kepentingan pegawai. Antara jabatan yang terlibat ialah “Yellow River Conservancy” dan “ Grand Canal Administration”.

4.         Kelemahan tentera

Ssu Yu Teng dalam bukunya “New Light on the History of the Taiping Rebellion” mendakwa sejak akhir abad ke-18, terdapat kelemahan dalam sistem ketenteraan Manchu. Tentera Manchu tidak berdisiplin, tidak teratur dan tidak bersemangat. Selain itu, terdapat penyelewengan dalam pentadbiran tentera di mana peruntukan disalahgunakan untuk kepentingan pegawai-pegawai. Kelemahan tentera Manchu terbukti bila mereka begitu mudah dikalahkan di Kweilin. Pada Disember 1850, kekalahan ini memberi keyakinan kepada pengikut-pengikut Taiping bahawa perjuangan mereka untuk menumpaskan Manchu akan berjaya. Sebelum itu, kelemahan tentera Manchu telah terdedah apabila mereka begitu mudah dikalahkan oleh British dalam Perang Candu 1839-1842.

5.         Kemasukan Barat

Kemasukan Barat telah mendedahkan Manchu. Buktinya Manchu begitu mudah dikalahkan oleh British dalam Perang Candu 1839-1842. Selepas Perang Candu, kuasa Barat mula campur tangan dalam hal ehwal China. Mereka telah menuntut pelbagai keistimewaan dari Kerajaan Manchu. Kegagalan Manchu untuk menyekat kegiatan Barat menyebabkan kemarahan orang ramai terhadap Manchu.

Kemasukan Barat juga telah menyebabkan banyak wang China mengalir keluar. Kemasukan Candu semakin bertambah selepas Perang Candu 1839-1842. Kemasukan Candu menjejaskan China dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik, berlaku ketidakcekapan dalam pentadbiran, rasuah serta penyelewengan kerana ramai pegawai kerajaan telah menjadi penagih candu. Dari segi ekonomi, banyak wang China mengalir keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu melebihi nilai eksport barang-barang lain. Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada Kerajaan China. Dari segi sosial, timbul masalah kesihatan dan keruntuhan akhlak kerana ramai rakyat China yang menjadi penagih candu. Kegagalan Manchu untuk menyekat perdagangan candu telah menyebabkan kemarahan orang ramai terhadap Manchu.

Pembukaan 5 pelabuhan China kepada pedagang asing iaitu Canton, Foochow, Amoy, Ningpo dan Shanghai telah mengakibatkan kemasukan barang-barang Barat yang menjadi saingan barang-barang China. Kemasukan barang-barang Barat telah menjejaskan pasaran barang-barang tempatan sehingga menyebabkan banyak industri tempatan terpaksa ditutup.

Kedatangan Barat juga telah membawa kepada pengenalan sistem pengangkutan moden terutamanya kapal yang telah menjejaskan mata pencarian mereka yang bergantung kepada sistem pengangkutan kuno seperti tongkang dan kereta lembu. Pembukaan Shanghai kepada orang-orang asing pada tahun 1842 juga menjejaskan mata pencarian mereka yang selama ini menjalankan pengangkutan barang-brang eksport terutamanya teh dan sutera dari Lembah Yangtze ke Canton.

Kedatangan Barat telah menyebabkan kemasukan agama Kristian yang telah memecahbelahkan rakyat China. Hung Hsiu Chuan telah menjadikan agama Kristian sebagai ilham dalam rancangan untuk membentuk satu susunan sosio-ekonomi baru di negeri China. Beliau juga menjadikan agama Kristian sebagai alat untuk menyatupadukan orang China menentang Kerajaan Manchu. Beliau telah menyakinkan pengikut-pengikutnya bahawa peperangan menentang Manchu sebagai peperangan agama. Beliau juga menggunakan agama Kristian dalam usaha untuk mendapatkan sokongan orang-orang Barat terutamanya mubaligh-mubaligh.

6.         Diskriminasi Manchu

Dalam menjalankan pentadbiran, Manchu mengamalkan diskriminasi terhadap orang-orang Cina. Orang-orang Cina tidak diberi peluang untuk memegang jawatan-jawatan penting. Peluang dalam pentadbiran terbuka luas kepada orang-orang Manchu di mana mereka dapat hidup dengan mewah dan menikmati pelbagai keistimewaan. Orang-orang Cina juga terpaksa mematuhi beberapa arahan sebagai tanda taat setia terhadap Kerajaan Manchu. Di antara arahan itu ialah memakai rencana, membotakkan bahagian hadapan kepala bagi lelaki dan membungkus kaki bagi wanita. Perkahwinan campuran di antara Manchu dan Cina diharamkan.

7.         Kezaliman Manchu

Kerajaan Manchu juga melakukan kezaliman terhadap orang-orang Cina terutama semasa pemerintahan Maharaja Yung Cheng (1723-1736) dan Maharaja Chien Lung (1736-1796). Contoh, semasa pemerintahan Maharaja Yung Cheng ramai cerdik pandai telah dibunuh kerana bimbang mereka akan mempengaruhi orang Cina menentang Kerajaan Manchu. Tindakan tersebut bukan sahaja menyebabkan Manchu tidak dapat kerjasama orang Cina tetapi juga menimbulkan kebencian orang Cina terhadap Kerajaan Manchu.

8.         Cukai

Sejak 1840-an, Kerajaan Manchu telah mengenakan cukai 2 kali ganda daripada biasa dengan tujuan untuk menghadapi masalah ekonomi akibat bencana alam, perbelanjaan peperangan, bayaran ganti rugi dan sebagainya. Tindakan tersebut telah mendapat bantahan orang-orang Cina wilayah Selatan terutama Kwangtung, Kwangsi, lebih-lebih lagi ramai di antara mereka mengalami kebuluran.

9.         Ketokohan pemimpin

Vincent Y.C. Shih dalam bukunya “The Taiping Ideology” menegaskan ketokohan pemimpin khususnya pemimpin utama Hung Hsiu Chuan dan Yang Hsiu Ching merupakan faktor penting mengakibatkan meletusnya Pemberontakan Taiping pada tahun 1851. Hung Hsiu Chuan merupakan seorang yang berkebolehan dalam mempengaruhi orang ramai menyertai Pemberontakan Taiping. Beliau berjaya merangka satu program dan ideologi Taiping yang berjaya menarik sokongan ramai. Malah beliau dianggap sebagai keramat yang diutuskan untuk membebaskan orang ramai daripada penderitaan. Yang Hsiu Ching merupakan seorang panglima tentera yang berkebolehan dalam menyusun strategi peperangan. Beliau berkebolehan dalam mengawal dan mengarahkan pengikut-pengikutnya. Selain daripada mereka, Taiping juga mempunyai pemimpin-pemimpin lain yang berkebolehan seperti Lin Fang Sing, Yang Hsiu Ching, Hsio Chuo Kuei, Hung Jen Fa. Pemberontakan Taiping juga meletus kerana bilangan tentera Taiping lebih ramai, teratur, berdisiplin, bersemangat dan mereka amat patuh kepada arahan ketuanya. Tentera Taiping dikawal oleh 62 artikel undang-undang tentera. Selain daripada peraturan-peraturan yang berkaitan dengan khemah dan ekspedisi tentera.

10.     Kawasan Selatan

Kawalan Kerajaan Manchu di kawasan Selatan amat lemah kerana tumpulan mereka ialah di Utara khususnya di ibu kota Peking. Keadaan ini menyedarkan pengikut-pengikut Taiping bahawa mereka akan berjaya. Akibatnya kita dapat Pemberontakan Taiping bermula di kawasan Selatan.

11.     Masalah lain

Pada tahun 1840-an dan 1850-an, Kerajaan Manchu menghadapi pelbagai masalah seperti bencana alam, Pemberontakan Nien, Pemberontakan Muslim, masalah ekonomi dan sebagainya. Walaupun Perjanjian Nanking telah ditandatangani, hubungan di antara British dan China masih lagi runcing sehingga mengakibatkan peperangan pada tahun 1856-1860. Perkembangan ini menyedarkan pengikut-pengikut Taiping bahawa perjuangan mereka akan berjaya kerana Kerajaan Manchu tidak akan dapat menumpukan sepenuh perhatian bagi menghadapi Taiping.

12.     Rancangan pembaharuan

Rancangan pembaharuan Taiping yang terkandung dalam dokumen Tien Chau Tien Mou Chih Tu mengandungi idea-idea progresif yang menarik sokongan ramai. Dasar pembahagian tanah dan hak milik bersama ke atas harta telah menarik sokongan petani-petani miskin di Selatan China. Selain itu, rancangan pembaharuan Taiping idea-idea progresif lain seperti persamaan seks, serta penghapusan perbuatan-perbuatan buruk seperti pelacuran, perjudian, menghisap candu, menghisap tembakau dan sebagainya. Idea-idea tersebut telah menyatupadukan pengikut-pengikut Taiping dalam rancangan mereka untuk membentuk satu susunan ekonomi baru di negeri China.

 

Rancangan Pembaharuan

Rancangan pembaharuan Taiping terkandung dalam dokumen Tien Chou Tien Mou chih Tu.

1.         Politik

Sistem pentadbiran Taiping berdasarkan teks klasik China Chou Li. Pemerintahan tertinggi ialah Maharaja Kesyurgaan bergelar Tien Wang. Baginda menjadi ketua bagi hal keduniaan dan akhirat. Di bawahnya terdapat 5 orang raja yang menjadi ketua awam dan tentera. Di bawah mereka terdapat menteri digelar Cheng Hsiang, penyelia Chien Tien, komander – Chih Hui dan jenaral – Chiang Chun. Semua pengikut Taiping adalah tentera tidak kira lelaki atau wanita. Semasa peperangan, mereka menjadi tentera dan semasa aman menjadi petani. Walau bagaimanapun, terdapat juga tentera Taiping sepenuh masa. Tentera Taiping dikawal oleh 62 artikel undang-undang tentera selain daripada peraturan-peraturan yang berkaitan dengan khemah atau ekspedisi tentera. Unit yang paling kecil dalam pentadbiran Taiping ialah keluarga. 25 keluarga digabungkan di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai keluarga 25. Tiap-tiap keluarga 25 akan mempunyai sebuah gereja dan sebuah gudang. Keluarga 25 akan diketuai seorang pegawai berpangkat Sarjan bergelar Liang Ssi Maa. Beliau menjadi ketua awam dan tentera serta menjadi guru, hakim dan sebagainya. Peperiksaan awam akan diadakan setahun sekali untuk mengisi jawatan-jawatan dalam pentadbiran.

2.         Ekonomi

Kegiatan ekonomi asas Taiping ialah pertanian. Tanah dibahagikan kepada 9 gred mengikut mutu dan diserahkan kepada setiap keluarga berdasarkan bilangan ahli. Tanah dibahagikan sama rata dan tidak kira lelaki atau wanita. Mereka yang berumur 16 tahun ke atas mendapat satu bahagian dan yang berumur di bawah 16 tahun mendapat separuh bahagian. Harta menjadi hak milik bersama dan hak milik persendirian diharamkan. Taiping juga mempunyai sebuah kenderaan yang akan menguruskan perkahwinan, kelahiran dan kematian. Pengikut-pengikut Taiping juga digalakkan terlibat dalam kegiatan ekonomi lain seperti pertukangan tangan dan penternakan bagi menambahkan pengeluaran. Wolfgang Franke, Paul H. Cylde dan Burtan F. Beers menegaskan dasar tanah Taiping hanya dijalankan di wilayah-wilayah tertentu untuk tempoh yang terhad.

3.         Sosial

Taiping mengamalkan persamaan taraf di antara lelaki dan wanita. Undang-undang telah dikeluarkan untuk menjatuhkan hukuman berat ke atas mereka yang memperkosa wanita. Wanita dibenarkan mengambil peperiksaan dan dilantik sebagai pegawai seperti lelaki. Taiping menghapuskan amalan-amalan tradisional seperti pelacuran dan membungkus kaki. Poligami diharamkan dan Taiping mengamalkan monogami. Perkahwinan di gereja mengikut adat Barat dijalankan di Taiping juga akan menghapuskan amalan buruk seperti perjudian, menghisap candu, menghisap tembakau dan sebagainya. Agama Kristian dijadikan agama rasmi Kerajaan Taiping. Mereka akan memusnahkan tokong-tokong dan patung-patung agama Buddha dan ajaran Tao. Taiping menggunakan kalendar baru berdasarkan peredaran bulan dan matahari.

 

Sebab berjaya

1.         Rancangan pembaharuan

Rancangan Pemberontakan Taiping yang terkandung dalam dokumen Tien Chou Tien Mou Chih Tu mengandungi idea-idea progresif yang menarik sokongan ramai. Dasar pembahagian tanah dan hak milik bersama ke atas harta telah menarik sokongan petani-petani miskin di Selatan China. Selain itu, rancangan pembaharuan Taiping juga mengandungi idea-idea progresif lain seperti persamaan seks serta menghapuskan perbuatan buruk seperti perjudian, pelacuran, menghisap candu, menghisap tembakau dan sebagainya. Idea-idea tersebut telah menyatupadukan pengikut-pengikut Taiping dalam rancangan mereka untuk membentuk satu susunan sosioekonomi baru di negeri China.

2.         Kekuatan tentera/ketokohan pemimpin

Ssu Yu Teng dalam bukunya “New Light on the History of The Taiping Rebellion” mendakwa bahawa tentera Taiping merupakan faktor yang menjayakan Pemberontakan Taiping. Bilangan tentera Taiping adalah lebih ramai, teratur, berdisiplin, bersemangat dan mereka patuh kepada arahan ketuanya. Tentera Taiping dikawal oleh 62 artikel undang-undang tentera selain daripada peraturan-peraturan yang berkaitan dengan khemah dan ekspedisi tentera. Vincent Y.C. Shih pula dalam bukunya “The Taiping Ideology” menegaskan ketokohan pemimpin utama Hung Hsiu Chuan dan Yang Hsiu Ching telah mempercepatkan kejayaan Pemberontakan Taiping. Hung Hsiu Chuan merupakan seorang yang berkebolehan dalam mempengaruhi orang ramai menyertai Pemberontakan Taiping. Beliau berjaya merangka satu program dan ideology Taiping yang dapat menarik sokongan ramai. Malah beliau dianggap sebagai keramat yang diutuskan untuk membebaskan orang Cina daripada penderitaan. Yang Hsiu Chuan pula merupakan seorang panglima tentera yang berkebolehan dalam menyusun strategi peperangan. Beliau berkebolehan dalam mengawal dan mengarahkan pengikut-pengikutnya. Selain itu, Taiping juga mempunyai pemimpin-pemimpin yang berkebolehan yang lain seperti Li Hsiu Cheng, Wei Chang Hui, Shih Ta Kai, Hsio Chao Kuei, Hung Jen Fa, Hjng Jen Kao dan sebagainya. Terdapat kerjasama yang erat antara pemimpin-pemimpin Taiping pada tahap awal pemberontakan. Dewasa itu, tentera Manchu tidak berdisiplin, tidak bersemangat, tidak teratur dan tidak terdapat kerjasama antara pemimpin-pemimpin Manchu. Semasa berlakunya Pemberontakan Taiping, tentera Manchu belum lagi pulih daripada kekalahan di tangan British dalam Perang Candu 1839-1842.

3.         Anti-Manchu

Wolfgang Franke dalam bukunya “A Century of Chinese Revolution 1851-1949” menegaskan dasar anti Manchu yang diperjuangkan telah membolehkan populariti Taiping. Dasar tersebut telah mendapat sokongan orang-orang Cina di Selatan terutamanya penduduk wilayah Kwangtung, Kwangsi dan Fukien yang sememangnya anti Manchu. Dasar anti Manchu ini juga telah menarik sokongan kongsi gelap yang selama ini menjalankan gerakan anti Manchu. Akibatnya, banyak kongsi gelap menyertai Taiping. Antaranya ialah White Lotus Society, Heaven and Earth Society, Big Sword Society, Small Sword Society, Eight Diagrams dan sebagainya.

4.         Agama

Tanping memperjuangkan agama Kristian. Perjuangan ini dapat sokongan orang-orang Cina kerana mereka menganggap agama baru ini akan membawa harapan yang lebih baik kepada kehidupan mereka. Akibatnya, Taiping dapat sokongan ramai orang Cina yang baru memeluk agama Kristian. Selain itu, pengikut-pengikut Taiping telah diyakinkan bahawa perjuangan menentang Manchu sebagai peperangan agama.

5.         Dasar berkecuali kuasa Barat

Dasar berkecuali kuasa Barat pada tahap awal pemberontakan telah membolehkan Taiping berkembang tanpa menghadapi banyak halangan kerana Manchu terlalu lemah untuk menghancurkan mereka. Terdapat pedagang-pedagang terutamanya pedagang British dan Perancis yang memberi bantuan senjata kepada Taiping kerana mereka tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan Manchu yang masih menekan perdagangan asing. Selain itu, Taiping juga dapat sokongan mubaligh-mubaligh kerana Taiping memperjuangkan agama Kristian.

6.         Kawasan Selatan

Kawalan Kerajaan Manchu di kawasan Selatan amat lemah kerana tumpuan mereka ialah di Utara, khususnya di ibu kota Peking. Menyedari hakikat ini, Hung Hsiu Chuan telah memulakan pemberontakan di kawasan Selatan dan dengan mudah mereka telah berjaya menawan tempat-tempat tersebut. Antara 1851-1853, mereka berjaya menawan 600 bandar dalam 16 wilayah.

7.         Masalah lain

Pada tahun 1840-an dan 1850-an, Kerajaan Manchu telah menghadapi pelbagai masalah seperti bencana alam, Pemberontakan Nien, Pemberontakan Muslim, masalah ekonomi dan sebagainya. Walaupun Perjanjian Nanking telah ditandatangani, hubungan British dan China masih runcing sehingga mengakibatkan peperangan pada tahun 1856-1860. Perkembangan ini telah memberi peluang kepada pengikut-pengikut Taiping untuk meneruskan perjuangan mereka tanpa menghadapi tekanan daripada Kerajaan Manchu.

8.         Strategi yang betul

Strategi perjuangan Taiping menjadi faktor penting yang menjayakan perjuangan mereka. Taiping memulakan serangan di kawasan di mana kawalan Kerajaan Manchu amat lemah. Keadaan ini membolehkan mereka mudah menguasai kawasan-kawasan yang diserang. Kejayaan mudah ini juga telah menaikkan semangat mereka dan menambahkan keyakinan pemimpin dan pengikut terhadap perjuangan Taiping.

9.         Gudang senjata

Pada tahun 1853, Taiping berjaya menawan gudang senjata tentera Manchu di Wuchow. Kejayaan ini membolehkan mereka menggunakan senjata-senjata tersebut untuk menentang Manchu.

 

Sebab gagal

1.         Tidak mendapat sokongan sarjana ningrat

Paul H. Clyde dan Burtan F. Beers dalam buku mereka “The Far East” mendakwa kegagalan Taiping berpunca daripada ketiadaan sokongan golongan sarjana ningrat. Malah wolfgang Franke dalam bukunya “A Century of Chinese Revolution 1851-1949” dan Fairbank dalam bukunya “East Asia: Modern Transformation” menegaskan Kerajaan Manchu telah diselamatkan daripada Pemberontakan Taiping oleh golongan sarjana ningrat. Golongan ini amat berpengaruh dalam masyarakat China tradisional. Mereka menentang Taiping kerana ideologi Taiping mengandungi konsep Kristian dan juga kerana Taiping menentang birokrasi Confucius yang dianggap sebagai korup. Selain itu, sistem pentadbiran Taiping mengancam susunan sosial tradisional di mana golongan sarjana ningrat mempunyai kedudukan yang tinggi dan menikmati pelbagai keistimewaan. Akibatnya, ramai sarjana ningrat menyokong Kerajaan Manchu untuk menumpaskan Taiping. Antara mereka ialah Tseng Kao Fan, Tseng Kao Chuan, Tso Tsung Tang dan Li Hung Chang. Tseng Kao Fan telah menubuhkan pasukan tentera moden dan handal di Hunan. Beliau berjaya menawan kawasan Yangtze tengah termasuk Hupei dan Hanyang daripada Pemberontakan Taiping. Li Hung Chang pula telah menubuhkan pasukan tentera yang moden dan dilengkapkan dengan senjata Barat di Anhwei. Dengan bantuan orang-orang Barat, beliau berjaya menawan kawasan Yangtze hilir daripada Taiping. Malah keruntuhan sebenar Kerajaan Taiping berpunca daripada tindakan golongan sarjana ningrat. Pada 19 Julai 1864, Tseng Kao Chuan telah berjaya menawan Nanking yang merupakan ibu kota dan kubu terakhir Taiping. Pengganti Hung Hsiu Chuan, iaitu Hung Fu ditawan dan dibunuh.

2.         Korupsi politik

Ssu Yu Teng dalam bukunya “New Light on the History of The Taiping Rebellion” mendakwa korupsi politik juga merupakan faktor penting yang menggagalkan perjuangan Taiping. Selepas tertubuhnya Kerajaan Taiping di Nanking pada tahun 1853, pemimpin-pemimpin Taiping mula melakukan amalan-amalan yang bertentangan dengan ideologi. Mereka menjadi malas, boros, mengamalkan kehidupan mewah dan melakukan perbuatan maksiat seperti perjudian, menghisap candu, menghisap tembakau, mengambil minuman keras dan sebagainya. Walaupun poligami diharamkan, tetapi terdapat pemimpin Taiping yang mengamalkannya. Sebagai contoh, Hung Hsiu Chuan mempunyai 300 orang isteri selain daripada gundik-gundik. Ramai di antara mereka menyimpan gundik dan menyimpan harta untuk kepentingan diri sedangkan ia bertentangan dengan ideologi. Cara hidup yang sedemikian telah mengakibatkan kemerosotan pengaruh serta disiplin pemimpin dan menghilangkan keyakinan pengikut terhadap perjuangan Taiping.

3.         Kelemahan pemimpin

Vincent Y.C. Shih dalam bukunya “The Taiping Ideology” menegaskan kelemahan pemimpin juga mengakibatkan kegagalan Taiping. Mereka berkebolehan dalam menyusun strategi peperangan, tetapi mereka tidak berkebolehan dalam pentadbiran. Sebagai contoh, Hung Hsiu Chuan sendiri gagal dalam peperiksaan untuk menjadi pegawai sarjana. Akibatnya, selepas tertubuh Kerajaan Taiping di Nanking pada tahun 1853, pentadbiran yang berkesan tidak dapat dijalankan. Mereka bukan sahaja tidak melaksanakan rancangan pembaharuan, tetapi juga melakukan kesilapan ketenteraan. Selepas tahun 1856, Taiping telah kehilangan pemimpin-pemimpin yang berkebolehan seperti Feng Yun Shan, Yang Hsiu Ching, Li Hsiu Cheng, Wei Chang Hui, Hsia Chao Kuei, Lin Feng Hsing, Li Kai Feng, Lo Ta Kang dan sebagainya kerana terbunuh dalam pertempuran dengan Manchu, terbunuh dalam pertempuran sesama Taiping atau membunuh diri. Tanpa pemimpin-pemimpin yang berkebolehan telah mempercepatkan kehancuran Kerajaan Taiping. Hung Hsiu Chuan merupakan seorang yang degil dan tidak akan menerima nasihat orang lain. Beliau mengamalkan nepotisme di mana jawatan-jawatan penting diserahkan kepada kaum keluarganya. Beliau telah melantik saudara-saudaranya menjadi pemerintah wilayah-wilayah yang ditawan oleh Taiping. Malah beliau telah memecat seorang pemimpin yang berjasa, iaitu Shih Ta Kai dan digantikan dengan adik-adiknya iaitu Hung Jen Fa dan Hung Jen Kao. Tindakan Hung Hsiu Chuan menyebabkan ramai pemimpin dan pengikut meninggalkan perjuangan Taiping. Terdapat sebahagian mereka menyebelahi Manchu untuk menentang Taiping.

4.         Sokongan tidak menyeluruh

Wolfgang Franke dalam bukunya “A Century of Chinese Revolution 1851-1949” menegaskan Taiping tidak mendapat sokongan yang menyeluruh dan tidak dianggap sebagai kebangkitan nasional. Taiping hanya dapat sokongan petani-petani miskin di selatan China. Golongan menengah seperti tuan tanah dan pegawai sarjana tidak menyokong kerana pentadbiran Taiping akan menjejaskan kepentingan mereka. Walaupun pemberontakan Taiping merupakan kebangkitan orang Cina menentang Manchu, tetapi masih ramai orang Cina terutamanya penduduk wilayah Utara menyokong Manchu. Malah pegawai-pegawai sarjana yang bertanggungjawab menumpaskan Taiping seperti Tseng Kao Fan, Tseng Kao Chuan, Tso Tsung Tang dan Li Hung Chang adalah terdiri daripada orang Cina. Franz Micheal dalam bukunya “The Taiping Rebellion: History and Documents” menegaskan Taiping gagal mendapat sokongan yang menyeluruh dan berterusan daripada petani-petani. Petani-petani hanya menyokong Taiping pada tahap awal pemberontakan. Mereka kemudiannya menarik balik sokongan apabila mendapati pemimpin-pemimpin Taiping tidak melaksanakan rancangan pembaharuan, terutamanya pembaharuan ekonomi seperti yang dijanjikan. Petani-petani tidak berpuas hati kerana kebajikan mereka diabaikan. Perasaan tidak puas hati petani bertambah bila mereka mendapati pemimpin-pemimpin Taiping mengamalkan kehidupan mewah dan mengumpul harta untuk kepentingan diri sedangkan ia bertentangan dengan ideologi. Akibatnya ramai petani meninggalkan perjuangan Taiping.

5.         Pergelutan sesama Taiping

Pergelutan yang berlaku semasa Taiping juga mengakibatkan kehancuran Kerajaan Taiping. Pendapat ini disokong oleh Vincent Y.C. Shih dalam bukunya “The Taiping Ideology”. Pergelutan pertama berlaku antara kongsi gelap Small Sword Society dengan Shang Ti Hui kerana Hung Hsiu Chuan lebih mengutamakan Shang Ti Hui. Akibatnya Small Sword Society meninggalkan Taiping dan menguasai Shanghai. Pergelutan kedua berlaku antara puak Kwongtung pimpinan Hung Hsiu Chuan dengan puak Kwangsi pimpinan Yang Hsiu Ching kerana Hung Hsiu Chuan mengutamakan puak Kwangtung. Hung Hsiu Chuan juga bimbang terhadap perkembangan pengaruh pemimpin lain di Nanking yang dianggap boleh mencabar kekuasaannya. Pada 2 September 1856, beliau mengarahkan Wei Chang Hui membunuh Yang Hsiu Ching serta pengikut-pengikutnya. Selepas peristiwa tersebut, Wei Chang Hui pula dibunuh oleh Hung Hsiu Chuan. Pergelutan sesama Taiping telah mengorbankan kira-kira 30 ribu pengikut. Dalam usaha untuk menghapuskan pengaruh pimpinan lain di Nanking, Hung Hsiu Chuan mengarahkan Lin Feng Hsing dan Li Kai Feng menyerang Peking dan Lo Ta Kang menyerang Barat China. Akibatnya, ketiga-tiga pemimpin tersebut terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Manchu. Tanpa perpaduan yang erat antara pemimpin-pemimpin Taiping seperti pada tahap awal pemberontakan telah mempercepatkan kehancuran Taiping.

6.         Sokongan Barat

Pada tahap awal pemberontakan, pihak Barat menyokong Taiping. Mereka kemudiannya menarik balik sokongan selepas tertubuh Kerajaan Taiping di Nanking pada tahun 1853. pedagang-pedagang menarik balik sokongan kerana pentadbiran Taiping menjejaskan kegiatan perdagangan mereka di China. Mubaligh-mubaligh menarik balik sokongan kerana Kristian yang diperjuangkan oleh Taiping bertentangan dengan ajaran Kristian yang sebenarnya. Terdapat pedagang-pedagang Barat terutamanya pedagang British dan Perancis memberi bantuan kepada Manchu untuk menumpaskan Taiping. Malah kuasa-kuasa Barat tetapi menubuhkan tentera upahan yang terdiri daripada orang Cina dikenali sebagai “Ever Victoriuos Army” untuk menentang Taiping. Tentera ini dipimpin oleh Frederick T. Ward dan sejak 21 November 1862, pimpinan oleh Charles George Gordon. “Ever Victorious Army” bertanggungjawab menumpaskan Taiping di Shanghai, Soochow, Ningpo dan Chekiang.

7.         Kelemahan tentera

Ssu Yu Teng dalam bukunya “New Light on the History of the Taiping Rebellion” mendakwa kelemahan tentera juga mengakibatkan kegagalan Taiping. Tentera Taiping yang terdiri daripada petani-petani bukan sahaja tidak terlatih, tetapi juga menggunakan senjata-senjata kuno seperti pedang, lembing dan panah. Menjelang tahun 1860-an, tentera Manchu lebih terlatih serta menggunakan senjata-senjata moden bantuan Barat. Selepas tahun 1856, terdapat kemerosotan disiplin serta semangat tentera Taiping akibat perkembangan yang berlaku dalam pergerakan tersebut.

8.         Ideologi kabur

Ideologi Taiping terlalu kabur bukan sahaja kepada pengikut tetapi juga kepada pemimpin. Ideologi Taiping yang merupakan campuran ajaran Kristian dengan kepercayaan orang Cina sukar difahami. Malah tindakan mencampuradukkan ajaran Kristian dengan kepercayaan Cia dianggap sebagai percubaan untuk menghancurkan Tamadun China.

9.         Masalah lain

Menjelang tahun 1860-an, beberapa masalah yang dihadapi oleh Manchu telah berjaya diselesaikan. Masalah hubungan yang runcing dengan kuasa-kuasa Barat telah ditamatkan dengan termeterainya Perjanjian Tientsin (26 Jun 1858) dan Perjanjian Peking pada 24 Oktober 1860. Keadaan ini membolehkan Manchu menumpukan sepenuh perhatian untuk menumpaskan Taiping.

10.     Kesilapan strategi

Kesilapan strategi juga mengakibatkan kegagalan Taiping. Pada tahap awal Pemberontakan Taiping, Taiping begitu mudah menumpaskan tentara Manchu. Akibatnya mereka beranggapan tentera Manchu terlalu lemah. Anggapan ini semakin mereka yakini kerana antara 1851-1853, mereka berjaya menawan 600 bandar dalam 16 wilayah. Akibat anggapan ini, mereka tidak berusaha untuk mengukuhkan pertahanan wilayah-wilayah yang ditawan. Keadaan ini membolehkan Manchu kemudiannya menawan semula wilayah-wilayah ersebut satu per satu. Tindakan Hung Hsiu Chuan membiarkan Small Sword Society yang keluar dari Taiping menguasai Shanghai dianggap sebagai satu kesilapan. Shanghai kemudiannya digunakan oleh Manchu dan pihak Barat sebagai pangkalan untuk menyerang Taiping di Nanking. Tindakan Hung Hsiu Chuan tidak meneruskan serangan ke Utara dan menawan ibu kota Peking dianggap sebagai kesilapan strategi. Kejayaan Taiping menawan kawasan Selatan dan menubuhkan kerajaan di Nanking tidak banyak menjejaskan pentadbiran Manchu yang berpusat di Peking. Pihak Manchu kemudiannya menyusun strategi dan menawan kembali wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Taiping.

11.     Kemusnahan

Kemusnahan yang dilakukan oleh Taiping bukan sahaja tidak dapat sokongan Barat tetapi juga orang Cina. Taiping dianggap lebih banyak membawa penderitaan daripada kebajikan. Akibatnya ramai orang Cina menyokong Manchu untuk menumpaskan Taiping.

12.     Rancangan pembaharuan

Sejak tahun 1861, Kerajaan Manchu di bawah Maharaja Tung Chih melaksanakan pembaharuan yang dikenali sebagai Gerakan Memperkuatkan Diri dengan bantuan orang-orang Barat. Di antara tokoh yang menjayakan rancangan pembaharuan ini ialah Li Hung Chang, Tseng Kao Fan, Tseng Kao Chuan, Tso Tsung Tang dan Putera Kung. Rancangan pembaharuan ini merangkumi bidang politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan. Dari segi politik, China menamatkan dasar isolasi dan seterusnya mengadakan hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa Barat. Dalam bidang ekonomi, banyak kilang telah didirikan. Dalam bidang sosial, pelajaran Barat diperkenalkan dan terdapat rakyat China yang dihantar melanjutkan pelajaran di seberang laut. Dalam bidang ketenteraan, tentera China dilatih mengikut teknik Barat dan menggunakan senjata-senjata moden. Rancangan pembaharuan ini dianggap akan memberi banyak kebaikan kepada orang-orang Cina. Akibatnya mereka menyokong Manchu untuk menumpaskan Taiping supaya rancangan pembaharuan akan dijalankan tanpa gangguan.

13.     Kematian Hung Hsiu Chuan

Kematian Hung Hsiu Chuan kerana membunuh diri pada 1 Jun 1864 telah menyebabkan Taiping kehilangan pemimpin agung. Puteranya Hung Fa yang dilantik sebagai Maharaja baru merupakan pemerintah yang lemah dan tidak dapat menjalankan pentadbiran dengan berkesan. Pada 19 Julai 1864, beliau ditangkap dan dibunuh.

 

Kesan-kesan

1.         Kemusnahan harta benda dan nyawa

Pemberontakan Taiping telah mengakibatkan kemusnahan banyak harta benda dan nyawa. Ahli-ahli sejarah telah menganggarkan sebanyak 20 juta hingga 40 juta orang yang terkorban dalam tempoh pemberontakan selama 11 tahun.

2.         Jenayah

Pemberontakan Taiping juga menimbulkan kesulitan ekonomi disebabkan berlakunya kemusnahan tanaman. Akibatnya, kehidupan rakyat China semakin terhimpit menyebabkan mereka terlibat dalam kongsi gelap serta melakukan pelbagai jenayah seperti merompak, mencuri, memeras ugut dan sebagainya.

3.         Tempat bersejarah

Banyak tempat bersejarah juga musnah dalam Pemberontakan Taiping. Antaranya ialah Pagoda Tembikar yang mempunyai ketinggian sebanyak 260 kaki yang berada di Nanking, perpustakaan-perpustakaan, rumah-rumah ibadat dan sebagainya. Pemusnahan tersebut telah menyebabkan pihak China kehilangan banyak benda yang berharga terutamanya buku-buku dan karya yang bernilai.

4.         Penghijrahan

Selepas Pemberontakan Taiping, ramai rakyat China mula berhijrah ke seberang laut, terutamanya ke Asia Tenggara. Penghijrahan rakyat China semakin hebat apabila British menjalankan perdagangan kuli bagi memenuhi keperluan tenaga buruh di Asia Tenggara. Orang-orang China sanggup berhijrah kerana mereka telah hilang keyakinan terhadap Kerajaan Manchu serta untuk melarikan diri daripada penderitaan di negeri China. Bekas-bekas pengikut Taiping pula berhijrah ke seberang laut untuk melarikan hukuman Kerajaan Manchu.

5.         Perasaan anti asing

Pemberontakan Taiping telah menambahkan perasaan anti asing di kalangan rakyat China. Mereka telah menjalankan kegiatan menentang kegiatan orang Barat serta pengaruh mereka di China. Misalnya pada 21 Jun 1870, mereka telah menyerang rumah kanak-kanak yatim Kristian di Tientsin menyebabkan 20 orang terbunuh termasuk 10 orang rahib. Pada tahun 1875, Raymond Margary serta 5 orang China yang menjadi pengikutnya telah dibunuh semasa menjalankan penyelidikan untuk mencari jalan darat dari Burma ke China.

6.         Penglibatan orang Barat

Sejak tahun 1861, ramai orang Barat terlibat dalam hal-ehwal pentadbiran orang China. Mereka dilantik untuk membantu China memodenkan pentadbiran mengikut sistem pentadbiran Barat. Semasa perlaksanaan “Gerakan Memperkuatkan Diri” pihak China telah mengambil ramai pegawai Barat untuk memodenkan China dari segi politik, ekonomi dan sosial. Antara mereka ialah Robert Hart, Horatio N. Lay dan W.A.P. Martin.

7.         Pemberontakan lain

Pemberontakan Taiping turut mempengaruhi kepada berlakunya pemberontakan-pemberontakan lain di China. Misalnya Pemberontakan Nien 1853-1868, Pemberontakan Muslim 1855-1872 dan Revolusi 1911 yang dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen untuk menggulingkan Kerajaan Manchu. Karl Marx telah menganggap pemberontakan ini sebagai kebangkitan rakyat yang tertindas menentang Kerajaan Manchu yang kejam. Mao Tze Tung pula menggunakan strategi Pemberontakan Taiping untuk menjayakan perjuangan Parti Komunis China (PKC).

8.         Komunis primitif

Ahli-ahli sejarah menganggap Pemberontakan Taiping sebagai permulaan komunis yang berbentuk primitif. Pendapat ini disebabkan terdapat persamaan antara perjuangan Taiping dengan komunisme. Misalnya dari segi strategi peperangan, mereka memulakan usaha penawanan wilayah dengan menguasai kawasan di mana kawalan kerajaan pusat adalah lemah. Dari segi struktur sosial pula mereka mengamalkan dasar hak milik bersama dalam soal harta serta mengharamkan hak milik persendirian.

9.         Orang Cina

Kesan daripada Pemberontakan Taiping, Kerajaan Manchu mula memberi perhatian kepada orang Cina di mana mereka diberi peluang yang lebih luas untuk memegang jawatan-jawatan dalam pentadbiran. Tindakan Manchu bukan sahaja ingin mengenang jasa orang China kerana membentu menumpaskan Pemberontakan Taiping, malah juga bertujuan untuk mengelakkan kebangkitan Cina bagi menggulingkan Manchu. Akibatnya, bilangan orang Cina yang memegang jawatan pentadbiran bertambah. Misalnya, antara 1861-1894, seramai 34 orang Cina dilantik sebagai Gabenor Jeneral dan 104 orang sebagai Gabenor.

10.     Kemerosotan ekonomi

Pemberontakan Taiping juga menjejaskan ekonomi China. Dalam menghadapi pemberontakan, China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak. Selain itu, pihak China juga kehilangan hasil cukai kerana tidak dapat memungut cukai di wilayah-wilayah Selatan yang dikuasai oleh Taiping selama 11 tahun. Kemusnahan tanaman akibat daripada pemberontakan telah menjejaskan lagi ekonomi China.

11.     Pemimpin wilayah

Selepas Pemberontakan Taiping, pengaruh pemimpin wilayah mulai menonjol. Golongan ini memainkan peranan yang amat penting dalam usaha menumpaskan Taiping. Antara mereka ialah Tso Tsung Tang, Tseng Kao Fan, Li Hung Chang dan Tseng Kao Chuan. Bagi mengenang jasa mereka, pihak Manchu telah mengiktiraf kuasa mereka. Berikutan dengan itu, pengaruh mereka bertambah kukuh. Keturunan golongan ini kemudiannya menjadi hulubalang dalam Zaman hulubalang 1916-1927.

12.     Kelemahan Manchu

Berlakunya Pemberontakan Taiping juga mendedahkan kelemahan Manchu. Buktinya Manchu gagal mematahkan Pemberontakan Taiping menyebabkan pengikut-pengikut Taiping berjaya menawan banyak tempat di wilayah Selatan dan seterusnya menubuhkan Kerajaan Taiping di Nanking pada tahun 1853. Kerajaan Taiping kekal selama 11 tahun dan hanya ditumpaskan pada tahun 1864. Kerajaan Manchu hanya berjaya menumpaskan Kerajaan Taiping selepas mendapat bantuan daripada pegawai wilayah seperti Tseng Kao Fan dan Li Hung Chang serta bantuan dari pihak Barat. Hal ini jelas menunjukkan Kerajaan Manchu tidak akan mampu menghadapi Taiping secara penderitaan.

 

oleh SP Star

04/10/2002 17:26:07

Hosted by www.Geocities.ws

1