Campur Tangan British di Selangor 1874
Pengenalan
Seperti negeri-negeri Melayu yang lain, kekacauan
juga berlaku di Selangor pada 1860-an dan 1870-an. Punca berlakunya kekacauan
tersebut ialah kerana tidak adanya pentadbiran yang stabil selepas kemangkatan
Sultan Ibrahim pada tahun 1826. Pengganti-penggantinya, iaitu Sultan Muhammad
yang manaiki takhta pada 1826 dan Sultan Samad yang manaiki takhta pada tahun
1857 adalah pemerintah yang lemah. Mereka menyerahkan pentadbiran daerah kepada
putera-putera raja. Dalam menjalankan pentadbiran daerah, putera-putera raja
telah menindas rakyat untuk kepentingan mereka. Kelemahan sultan terbukti
apabila Sultan Muhammad tidak dapat mengambil tindakan selepas seorang pembesar
raja, iaitu Tengku Busu dibunuh oleh orang-orang Cina di Lukut pada tahun 1834.
Kekacauan utama yang berlaku di Selangor ialah Perang Kelang yang meletus di
antara 1867-1873.
Kekacauan di Selangor berlaku kerana pergaduhan
antara pembesar-pembesar dan pergaduhan pelombong-pelombong Cina. Antara 1867
hingga 1873 berlaku Perang Kelang antara Raja Mahdi dan Raja Abdullah
(1867-1870) dan selepas 1873, di antara Raja Mahdi dengan putera Raja Abdullah
iaitu Raja Ismail kerana merebut kawasan Kelang yang kaya dengan bijih timah.
Pada 1853, pemerintah Kelang iaitu Raja Sulaiman meninggal dunia. Sultan
Muhammad yang memerintah Selangor ketika itu menganugerahkan Kelang kepada
menantunya, Raja Abdullah dengan mengenepikan putera Raja Sulaiman, Raja Mahdi.
Alasan Sultan Muhammad ialah kerana Raja Sulaiman tidak memajukan Kelang.
Selepas dianugerahkan Kelang, Raja Abdullah telah menjemput orang-orang Cina
dari Negeri-negeri Selat untuk mengerjakan perlombongan bijih timah sehinggan
Kelang muncul sebagai kawasan perlombongan yang maju. Tindakan Sultan Muhammad
menyerahkan Kelang kepada Raja Abdullah telah mendapat tentangan dari Raja Mahdi.
Walaupun dibayar sagu hati tahunan, Raja Mahdi tidak puas hati dan masih
menuntut hak Kelang, lebih-lebih lagi selepas melibat kemajuan Kelang. Raja
Mahdi mendakwa tindakan Sultan Muhammad menyerahkan Kelang kepada Raja Abdullah
bukan kerana Raja Sulaiman tidak memajukan Kelang, tetapi mengenang jasa Raja
Abdullah menyelesaikan hutang Sultan Muhammad kepada seorang saudagar Cina.
Pada tahun 1857, Sultan Muhammad mangkat. Dalam perebutan takhta yang
berlaku, anak saudara dan menantunya, iaitu Raja Abdul Samad telah dilantik
sebagai sultan dengan mengusir Raja Muda Mahmud. Perlantikan Sultan Abdul Samad
telah mendapat bantahan pembesar-pembesar Selangor, terutamanya Raja Mahdi,
lebih-lebih lagi Sultan Abdul Samad memutuskan pertunangan Raja Mahdi dengan
puterinya Raja Arfah yang dikahwinkan dengan Tengku Kudin, anak Sultan Muhammad
Tajuddin (Kedah). Pada tahun 1868, Tengku Kudin dilantik sebagai wizurai atau
wakil Sultan Selangor. Perlantikan Tengku Kudin telah mendapat bantahan
pembesar-pembesar Selangor seperti Raja Musa (Kuala Selangor), Raja Hitam (Bernam),
Raja Ali (Jeram) dan Raja Mahdi (Kelang).
Perkembangan Kelang bukan sahaja menyebabkan kedatangan orang-orang Cina,
tetapi juga orang-orang Indonesia. Persaingan berlaku antara orang-orang Bugis
dan orang-orang Mendeling. Pembunuhan seorang Mendeling oleh beberapa orang
Bugis telah memperhebatkan lagi Perang Kelang. Apabila pemerintah Kelang (Raja
Abdullah) yang berasal dari keturunan Bugis tidak mengambil tindakan ke atas
orang-orang Bugis yang terlibat dalam pembunuhan menyebabkan orang-orang
Mendeling menyebelahi Raja Mahdi untuk menentang Raja Abdullah. Dengan bantuan
orang-orang Mendeling, pengikut-pengikutnya serta seorang saudagar Cina di
Melaka, iaitu Tan Teck Chiang, Raja Mahdi telah menyerang dan menawan Kelang
pada tahun 1867. Raja Abdullah dan pengikut-pengikutnya melarikan diri ke Melaka.
Beliau telah beberapa kali melancarkan serangan untuk menawan semula Kelang
sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1870.
Pada tahun 1870, putera Raja Abdullah, iaitu Raja Ismail dengan bantuan
Tengku Kudin dan seorang saudagar Cina di Melaka, iaitu Lim Teik Yee telah
berjaya menawan semula Kelang dari Raja Mahdi. Raja Mahdi melarikan diri ke
Kuala Selangor. Dengan bantuan Raja Hitam dan Raja Ali, Raja Mahdi berjaya
menawan Kuala Selangor dari Raja Musa pada tahun 1871. Pada Jun 1871, berlaku
peristiwa rompakan kapal yang bernama Kim Seng Cheong dari Pulau Pinang ke Larut
yang membawa muatan kain, barang makanan dan ternakan. British telah menghantar
2 buah kapal perangnya, iaitu H.M.S. Pluto dan H.M.S. Renaldo ke Kuala Selangor.
Ketibaan angkatan British telah menyebabkan lanun-lanun lari diri dari Kuala
Selangor. Oleh sebab ketika itu Kuala Selangor diperintah oleh Raja Mahdi, maka
British mengarahkan beliau menaiki kapal H.M.S. Renaldo bagi mengadakan
rundingan untuk menyelesaikan masalah lanun di Kuala Selangor. Keengganan Raja
Mahdi telah menyebabkan Kuala Selangor dibedil oleh British lalu ditawan. Oleh
sebab ketika itu British masih mengamalkan dasar tidak campur tangan, maka Kuala
Selangor diserahkan kepada Tengku Kudin sebagai wakil Sultan Selangor. Raja Musa
kembali ke Kuala Selangor dan menuntut haknya. Keengganan Tengku Kudin untuk
menyerahkan Kualan Selangor menyebabkan Raja Musa menyebelahi Raja Mahdi untuk
menentang Tengku Kudin. Akibatnya kekacauan di Selangor masoh berterusan.
Kekacauan di Selangor semakin hebat akibat pergaduhan pelombong-pelombong
Cina di Kanching, iaitu Kah Yeng Chew yang merupakan ahli kongsi Ghee Hin dengan
pelombong-pelombong Cina di Kuala Lumpur, iaitu puak Fei Chew yang merupakan
ahli kongsi Hai San. Kekacauan bertambah hebat kerana pelombong-pelombong Cina
menyebelahi pembesar-pembesar yang bertentangan. Puak Kah Yeng Chew menyebelahi
Raja Mahdi dan puak Fei Chew menyebelahi Tengku Kudin. Pada tahun 1868, Yap Ah
Loy dilantik sebagai Kapitan Cina di Kuala Lumpur. Pada tahun 1869, orang kanan
Yap Ah Loy, iaitu Yap Ah Sze telah dibunuh di Kanching oleh puak Kah Yeng Chew
di bawah Chong Chong. Yap Ah Loy dan pengikut-pengikutnya menyerang puak Kah
Yeng Chew di Kanching. Chong Chong dan pengikut-pengikutnya melarikan diri ke
Rawang dan menyebelahi Raja Mahdi kerana puak Fei Chew mendapat bantuan Tengku
Kudin. Pada tahun 1872, Raja Mahdi kembali ke Selangor. Dengan bantuan tentera
Johor dan puak Kah Yeng Chew, beliau berjaya menawan Kuala Lumpur, Ulu Kelang,
Petaling dan Kuala Selangor dengan mengalahkan tentera Tengku Kudin dan Yap Ah
Loy. Tengku Kudin kemudiannya mendapatkan bantuan Negeri-negeri Selat untuk
menentang Raja Mahdi. Walau bagaimanapun, Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Harry
Ord enggan memberi bantuan kerana ketika itu British tidak mengamalkan dasar
campur tangan. Tengku Kudin kemudiannya memohon bantuan dari Kedah dan Bendahara
Wan Ahmad (Pahang). Dengan bantuan tentera Pahang, Kedah dan pengikut Yap Ah
Loy, Tengku Kudin berjaya menawan semula Kuala Lumpur, Ulu Kelang, Petaling dan
Kuala Selangor dari Raja Mahdi. Kejayaan Tengku Kudin telah berjaya menamatkan
kekacauan Selangor pada bulan Mac 1873.
Selepas tamatnya Perang Kelang, lanun-lanun di pantai
Selangor tetap meneruskan keganasan mereka. Kegiatan pelanunan ini memberi
kesempatan kepada Sir Andrew Clarke yang baru menyelesaikan campur tangan di
Perak untuk bertindak di Selangor.
Pada 16 November 1873, sekumpulan lanun yang disokong oleh putera-putera
Sultan Abdul Samad telah menyerang sebuah kapal dagangan Melaka berhampiran
dengan Sungai Jugra. 8 orang daripada 9 orang anak kapal yang merupakan rakyat
British dibunuh.
Sir Andrew Clarke mengambil kesempatan ini untuk menyokong Tengku Kudin
dan meluaskan pengaruh British di Selangor. British berjaya menangkap 9 orang
Melayu Selangor yang disyaki terlibat dalam kejadian itu. Sir Andrew Clarke
memaksa Sultan Abdul Samad mengadakan perbicaraan ke atas lanun-lanun berkenaan
pada bulan Februari 1874. Lanun-lanun itu didapati bersalah dan dikenakan
hukuman mati.
Namun demikian, kejadian-kejadian pelanunan masih diteruskan lagi. Pada
bulan Ogos 1874, satu kejadian pelanunan telah berlaku dekat Sungai Langat.
Peristiwa ini telah memberi kesempatan kepada Sir Andrew Clarke untuk menghantar
Frank Swettenham tinggal dengan Sultan Abdul Samad sebagai ejen tidak rasmi
Inggeris.
Sultan Abdul Samad telah kagum dengan kepintaran dan kebijaksanaan Frank Swettenham dan meminta supaya British melantik seorang residen untuk menasihati baginda. Pada bulan Oktober 1874, J.G. Davidson dilantik sebagai Residen dengan Frank Swettenham sebagai Penolong Residen.
oleh
SP Star
10/03/2002 13:19:50