Persekutuan Tanah Melayu

 

Pengenalan

Akibat tentangan orang Melayu terhadap Malayan Union (MU) dan perakuan Edward Gent dan Malcolm MacDonald, maka Kerajaan British telah menghantar satu perwakilan ahli Parlimen British yang diketuai oleh L.D. Grammant dan D.R. William untuk meninjau kehendak orang Melayu. Hasil daripada laporan mereka, British bersetuju membubarkan MU. Pada 25 Julai 1946, Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan. Ia terdiri daripada 6 pegawai Eropah, 4 wakil Sultan dan 2 wakil UMNO untuk merangka satu perlembagaan baru yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu, khususnya yang dapat diterima oleh orang Melayu dan British. Pada dasarnya, matlamat mereka ialah untuk menubuhkan kerajaan pusat yang kukuh, memajukan ekonomi Tanah Melayu dan menyelesaikan hak istimewa orang Melayu, kekuasaan serta kewibawaan Sultan dan syarat kerakyatan. Orang-orang bukan Melayu tidak bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Kerja kerana mereka bimbang Jawatankuasa Kerja yang tidak diwakili oleh orang bukan Melayu akan merangka perlembagaan yang hanya menguntungkan orang Melayu dan merugikan orang bukan Melayu. Mereka telah mengadakan beberapa halangan bagi mengagalkan tugas Jawatankuasa Kerja. Walaupun mendapat halangan, Jawatankuasa Kerja telah berjaya mengemukakan laporan mereka pada 11 Disember 1946 yang mengandungi draf perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (PTM).

 

Perkembangan 1946-1948

Penentangan PTM berbeza dari MU terutamanya yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu, kekuasaan dan kewibawaan Sultan dan syarat kerakyatan. Pad 15 Disember 1946, Jawatan Perunding yang terdiri daripada 5 pegawai Eropah, 2 wakil Cina dan 2 wakil India telah ditubuhkan untuk meninjaukan pandangan orang bukan Melayu terhadap draf perlembagaan Jawatankuasa Kerja. Jawatankuasa Perunding telah mengemukakan laporan mereka pada 21 Mac 1947 yang mengandungi beberapa pindaan ke atas draf perlembagaan Jawatankuasa Kerja. Dalam usaha untuk menentang draf perlembagaan tersebut, mereka telah menubuhkan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) pada 22 Disember 1946. AMCJA dipimpin oleh Dato’ Tan Cheng Lock sebagai Presiden dan John Eber sebagai Setiausaha. Antara pertubuhan yang menyertai AMCJA ialah Malayan Democratic Union, Malayan Indian Congress, Pan-Malayan Federation of Trade Union, Malayan People Anti-Japanese Ex-Services Comrades Association dan Parti Komunis Malaya. Mereka telah mengemukakan beberapa cadangan untuk dilaksanakan dalam perlembagaan baru di Tanah Melayu. Antara cadangan itu ialah:

a.         Pernyatuan Tanah Melayu dengan Singapura sebagai satu unit politik.

b.         Pemerintahan sendiri akan dijalankan melalui badan perundangan pusat yang ahlinya dipilih.

c.         Kerakyatan yang sama yang memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa dan keturunan.

            AMCJA telah mendesak supaya British membatalkan semua persetujuan yang telah dicapai antara British dengan Raja-raja Melayu dan UMNO. Mereka juga mahu AMCJA diterima sebagai wakil bukan Melayu.

            Pada 22 Disember 1947, golongan kiri orang Melayu telah menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) untuk menentang draf perlembagaan Jawatankuasa Kerja. PUTERA dianggotai oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Dr. Burhannuddin, Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) pimpinan Shamsiah Fakeh. PUTERA juga mengemukakan beberapa cadangan untuk dilaksanakan dalam perlembagaan baru Tanah Melayu. Antaranya ialah:

a.         Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Tanah Melayu.

b.         Pemerintahan sendiri akan dijalankan di mana hal-ehwal luar dn pertahanan menjadi tanggungjawab bersama Kerajaan British dengan Kerajaan Tanah Melayu.

c.         Perkataan “Melayu” mesti digunakan sebagai rupa bangsa warganegara Tanah Melayu.

d.         Bendera Tanah Melayu mesti mengandungi warna-warna kebangsaan Tanah Melayu.

            Pada 16 Mac 1947, PUTERA telah bergabung dengan AMCJA yang menguatkan penentangan mereka terhadap draf perlembagaan Jawatankuasa Kerja. Mereka telah mengemukakan “perlembagaan rakyat” yang merupakan gabungan cadangan PUTERA dan AMCJA untuk dilaksanakan dalam perlembagaan baru Tanah Melayu. Mereka juga telah melaksanakan “hartal” di seluruh Tanah Melayu pada 19 Oktober dan 20 Oktober 1947 untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap draf perlembagaan Jawatankuasa Kerja serta menunjukkan kekuatan mereka. Walau bagaimanapun, British tidak berminat untuk menerima cadangan PUTERA-AMCJA. British menerima draf perlembagaan Jawatankuasa Kerja yang dijadikan asas perlembagaan PTM. Pada 21 Januari 1948, Raja-raja Melayu dan wakil Kerajaan British menandatangani persetujuan penubuhan PTM. Pada 1 Februari 1948, lahirlah PTM secara rasminya.

 

Cadangan PTM 1948

1.         Sembilan negeri Melayu iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu dan dua Negeri-negeri Selat iaitu Melaka dan Pulau Pinang disatukan sebagai satu unit politik yang dikenali sebagai PTM.

2.         Singapura diasingkan dari PTM.

3.         PTM menjadi negeri lindungan British.

4.         Pentadbiran PTM diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi (PJT).

5.         PJT akan menjalankan pentadbiran dengan bantuan Majlis Perundangan Persekutuan (MPP) dan Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan (MMKP).

6.         MPP terdiri daripada 3 anggota ex-officio, 9 Menteri Besar, 2 wakil Melaka dan Pulau Pinang, 11 ahli rasmi dan 50 ahli tak rasmi yang terdiri daripada 22 Melayu, 14 Cina, 7 Eropah, 5 India, 1 Ceylon dan 1 Serani.

7.         MMKP pula terdiri daripada 3 anggota ex-officio, 4 ahli rasmi dan sekurang-kurangnya 5 atau selebih-lebihnya 7 ahli tak rasmi.

8.         Majlis Mesyuarat Raja-raja ditubuhkan dan dianggotai oleh 9 orang Raja Melayu. Persidangan yang dijalankan akan dipengerusikan oleh salah seorang dari mereka.

9.         Kekuasaan dan kewibawaan Sultan ke atas negeri mereka dikekalkan. Sultan-sultan akan menjalankan pentadbiran mereka dengan bantuan MMN dan MMK negeri.

10.     Kerajaan negeri bertanggungjawab dalam kerajaan tempatan, kesihatan, pelajaran, tanah dan pertanian.

11.     Hak istimewa orang Melayu dikekalkan.

12.     Hak kerakyatan:

a.         Mereka yang lahir di Tanah Melayu mesti bermastautin selama 8 tahun dari tempoh 12 tahun yang terdahulu.

b.         Mereka yang lahir di luar Tanah Melayu mesti bermastautin selama 15 tahun dari tempoh 20 tahun yang terdahulu.

c.         Umur minimum menjadi warganegara ialah 18 tahun.

d.         Mereka mesti boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

e.         Mereka diminta bersumpah untuk menentukan taat setia kepada Tanah Melayu.

 

Perkembangan 1948-1957

Mengikut perlembagaan PTM 1948, Kerajaan British bersetuju untuk memberi Tanah Melayu berkerajaan sendiri dan kemerdekaan akan dijalankan beransur-ansur. British juga bersetuju untuk mengadakan pilihanraya bagi memilih ahli MPP. Walau bagaimanapun, usaha ke arah tersebut terhalang akibat pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM) sejak 16 Jun 1948. Apabila keadaan mulai reda, usaha ke arah tersebut diteruskan. Pada tahun 1951, Sistem Ahli diperkenalkan di mana 9 rakyat tempatan yang menjadi MPP dilantik untuk mengetuai 9 jabatan kerajaan. Jabatan-jabatan tersebut ialah Hal-ehwal Ekonomi, Hal-ehwal Dalam Negeri, Kesihatan, Pelajaran, Pertanian dan Perhutanan, Tanah, Galian dan Perhubungan, Industri dan Hubungan Sosial, Kerja Raya dan Perumahan, Keretapi dan Pos. Antara mereka ialah Dato’ Onn bin Jaafar mengetuai Jabatan Hal-ehwal Dalam Negeri, Hau Sek Lee mengetuai Jabatan Kesihatan dan Thuraisingam mengetuai Jabatan Pelajaran.

            Mulai 1951, pilihanraya perbandaran mulai diadakan bagi memilih ahli majlis perbandaran. Pada 1 Disember 1951, Pilihanraya Perbandaran Pulau Pinang diadakan untuk memilih 9 orang ahli. Dalam pilihanraya tersebut Parti Radikal Pulau Pinang memenangi 6 kerusi, Parti Buruh 2 kerusi dan UMNO satu kerusi. Pada 16 Februari 1952, Pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur diadakan untuk memilih12 ahli. Untuk menghadapi pilihanraya tersebut UMNO dan MCA telah bergabung sebagai Parti Perikatan untuk menghadapi Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pimpinan Dato’ Onn bin Jaafar yang telah keluar dari UMNO akibat perselisihan dasar. Dalam pilihanraya tersebut, Parti Perikatan UMNO-MCA memenangi 9 kerusi, IMP 2 kerusi dan bebas 1 kerusi. Akibat kemenangan Parti Perikatan, 2 orang anggotanya iaitu H.S. Lee dan Dr. Ismail dilantik sebagai Ketua Jabatan Kerajaan dalam Sistem Ahli. Pada tahun 1953, seorang rakyat tempatan yang menjadi ahli MPP dilantik menjadi “speaker” menggantikan PJT yang tidak lagi menjadi ahli MPP. Pada tahun 1953 juga, Parti Perikatan UMNO-MCA telah mendesak supaya British mengadakan pilihanraya umum bagi memilih ahli-ahli MPP.

            Pada tahun 1954, Gerald Templer selaku wakil Kerajaan British telah mengumumkan MPP akan mempunyai 98 ahli, iaitu 52 dipilih dan 46 dilantik. Pilihanraya Umum yang pertama akan diadakan pada 27 Julai 1955. Berikutan dengan pengumuman itu, UMNO dan MCA bergabung pula dengan MIC menjadi Parti Perikatan yang lebih besar. Antara parti yang bertanding dalam Pilihanraya Umum Pertama ialah Parti Buruh, Parti Sosialis, Parti Negara, Parti Progresif Rakyat, Parti Islam Se Tanah Melayu (PAS), Parti Perikatan Melayu Perak dan Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC. Dalam pilihanraya tersebut, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC telah memenangi 51 kerusi dan PAS 1 kerusi. Hasil dari kemenangan besar Parti Perikatan, Tanah Melayu telah diberi berkerajaan sendiri di mana Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Menteri. Sebuah Jemaah Menteri yang terdiri daripada 6 Melayu, 3 Cina dan 1 India telah dibentuk. Bagi mempercepatkan kemerdekaan Tanah Melayu, usaha-usaha telah dijalankan untuk menamatkan pemberontakan PKM. Hasilnya Rudningan Baling diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955. Pihak kerajaan diwakili oleh Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan David Marshall. PKM pula diwakili oleh Chin Peng, Cheng Tien dan Rashid Maidin. Walau bagaimanapun, rundingan tersebut gagal kerana Tunku Abdul Rahman tidak dapat menerima kehendak Chin Peng yang mahukan PKM diterima sebagai parti yang sah dan Chin Peng pula tidak dapat menerima kehendak Tunku Abdul Rahman yang mahukan PKM dibubarkan.

            Pada 6 Januari 1956, rombongan kemerdekaan yang diwakili oleh Parti Perikatan dan diketuai oleh Tunku Abdul Rahman telah berangkat ke England untuk merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu dengan Kerajaan British. Rundingan yang diadakan dari 18 Januari hingga 8 Februari 1956 dipengerusikan oleh Lord Lennox Boyd. Hasil dari rundingan tersebut, British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Bagi merangka perlembagaan PTM yang merdeka, Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh Lord Reid telah dibentuk. Anggota-anggotanya terdiri daripada hakim-hakim negara Komanwel, iaitu Ivor Jenning (Britain), William Mackell (Australia), B. Malik (India) dan Abdul Hamid (Pakistan). Suruhanjaya ini telah mengadakan tinjauan dan mendapatkan pandangan daripada orang tempatan, pelbagai parti politik, persatuan dan pertubuhan. Sejumlah 131 memorandum telah diterima. Hasil dari memorandum ini, Suruhanjaya Reid telah menyusun dan merangka perlembagaan dan siap pada bulan Mac 1957. Pada 31 Ogos 1957, lahirlah PTM yang merdeka.

 

Perlembagaan PTM 1957

1.         PTM yang merdeka mempunyai seorang Raja sebagai ketua negara. Baginda dikenali sebagai Yang Dipertuan Agong. Baginda akan dipilih di kalangan Raja-raja Melayu untuk tempoh 5 tahun. Baginda menjadi Raja Berperlembagaan dengan mengikut nasihat Jemmah Menteri Persekutuan serta Majlis Raja-raja.

2.         Majlis Raja-raja dianggotai oleh 9 orang Raja Melayu dan 2 orang Yang Dipertua dari Melaka dan Pulau Pinang.

3.         Nasihat Majlis Raja-raja dikehendaki dalam perlantikan hakim, suruhanjaya pengundi dan perkhidmatan, kedudukan dan hak istimewa orang Melayu.

4.         Kuasa kerajaan terletak atas tangan Parlimen yang mempunyai 2 dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ahli Dewan Rakyat akan dipilih pada setiap 5 tahun. Manakala bagi Dewan Negara, ia terdiri daripada 22 ahli yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri dan 16 ahli yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.

5.         Di setiap negeri, Sultan atau Gabenor memilih Menteri Besar atau Ketua Menteri dari parti yang mendapat suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

6.         Bidang kuasa bagi kerajaan persekutuan dan negeri akan diselesaikan melalui Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

7.         Perdana Menteri menjadi ketua pentadbir Negara.

8.         Taraf kewarganegaraan:

a.         Orang yang lahir dalam PTM pada atau selepas Hari Kemerdekaan.

b.         Orang yang berumur 18 tahun ke atas yang dilahirkan di PTM dan telah bermastautin di situ selama 5 dari 7 tahun serta boleh bertutur Bahasa Melayu dan mengangkat sumpah taat setia.

c.         Orang yang berumur 21 tahun ke atas yang dilahirkan di PTM dan telah bermastautin di situ selama 8 dari 12 tahun boleh memohon dengan syarat boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengangkat sumpah taat setia.

d.         Dwi kewarganegaraan tidak dibenarkan kecuali kewarganegaraan Komanwel.

9.         Hak asasi dijamin.

10.     Hak istimewa orang Melayu terjamin.

11.     Islam menjadi agama rasmi tetapi semua orang bebas beragama.

12.     Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi.

 

oleh SP Star

06/10/2001 11:26:34

Hosted by www.Geocities.ws
GridHoster Web Hosting
1