Faktor Rampasan Kuasa Oleh PKC

 

Pengenalan

Parti Komunis China (PKC) ditubuhkan pada tahun 1921. Di antara tahun 1923-1927, PKC telah bergabung dengan Kuomintang (KMT) untuk menentang hulubalang-hulubalang dan menyatukan China. Pada tahun 1927, perikatan KMT-PKC telah ditamatkan oleh Chiang Kai Shek. Mulai tahun tersebut, kedua-dua parti ini sentiasa bersaing untuk merebut kuasa di China. Perang saudara telah meletus antara PKC dan KMT mulai  tahun 1946 sehinggalah tahun 1949. PKC akhirnya telah berjaya merampas kuasa dari KMT pada tahun 1949 dan mewujudkan pemerintahan republik Komunis di China.

 

Faktor-faktor

Perjanjian Sun-Joffe yang ditandatangani antara Sun Yat Sen dengan pihak Komunis Rusia pada tahun 1923 merupakan titik tolak ke arah kejayaan PKC. Melalui kerjasama tersebut, PKC yang baru diasaskan pada tahun 1921 telah dapat berkembang dengan pesat di bawah naungan KMT. Hal ini jelas terbukti dengan bertambahnya keahlian PKC begitu pesat sekali. Malahan KNT sendiri hampir-hampir dikuasai oleh Komunis jika Chiang Kai Shek tidak mengambil tindakan menghapuskan anasir-anasir Komunis di dalam KMT dan seterusnya menamatkan kerjasama antara KMT-PKC pada tahun 1927.

            PKC juga mempunyai pemimpin yang baik dan berdedikasi seperti Mao Tze Tung dan Chu Teh. Mao Tze Tung adalah teraju utama yang mempunyai strategi perjuangan yang bersama dengan Komunis Rusia dan pemimpin-pemimpin lain dalam PKC. Beliau berpendapat PKC perlu menyatukan sebuah masyarakat China, bukan sekadar kaum buruh sahaja, tetapi juga petani dengan cara menghasut mereka menentang tuan-tuan tanah. Mao Tze Tung memilih kawasan pergunungan berhampiran Juichin yang terletak di sempadan Hunan-Kiangsi sebagai kawasan operasinya. Pengaruh PKC semakin bertambah di bawah kepimpinan Mao Tze Tung. Selain itu, pemimpin-pemimpin PKC yang lain termasuklah Mao Tze Tung tidak mudah putus asa walaupun mereka mengalami kekalahan demi kekalahan kepada tentera KMT di peringkat awal.

            Perjalanan Jauh/Long March yang dijalankan oleh Mao Tze Tung dan penyokong-penyokongnya semasa berundur dari Kiangsi dengan seramai 80000 orang tentera, 15000 pegawai kerajaan dan parti yang bermula dari Juichin ke Shensi Utara sejauh 12800 km telah tiba pada Oktober 1935 mengorbankan kira-kira 70000 orang. Perjalanan ini telah meninggalkan beberapa implikasi yang menarik mengenai sejarah ketahanan manusia dalam menghadapi pelbagai cabaran dengan berjalan kaki selama setahun yang telah memperlihatkan kejayaan Mao Tze Tung menanamkan semangat gigih dan disiplin yang tinggi di kalangan pengikut-pengikutnya. Perjalanan ini juga memberi kesempatan kepada PKC untuk menyebarkan ideologi Komunis di kalangan rakyat dan berjaya memisahkan PKC dari kongkongan Moscow. Mao Tze Tung telah muncul sebagai pemimpin yang tidak boleh dipertikaikan dan mulai tahun 1935, PKC benar-benar berorientasikan China dan bukannya Moscow lagi.

            Asas kejayaan PKC ialah kekuatan tentera dan strategi peperangan yang baik. tentera PKC adalah terlatih, berdisiplin dan teratur. Mereka bermoral tinggi dan komited terhadap perjuangan Komunis. Bilangan tentera PKC telah bertambah daripada 80000 pada tahun 1937 kepada 910000 pada tahun 1945. Pertambahan bilangan tentera PKC adalah disebabkan oleh PKc amat bijak mengatur strategi dalam menghadapi serangan Jepun. PKC seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada peperangan secara terbuka dengan Jepun. PKC sekadar membuat serangan hendap yang kecil terhadap Jepun. Selain itu, PKC juga bertumpu di wilayah-wilayah Barat Laut China yang kurang diserang oleh Jepun. Dengan demikian, PKC tidak mengalami kehilangan askar yang ramai semasa serangan Jepun ke atas China pada tahun 1937-1945.

            Perang China-Jepun membolehkan PKC mengambil rekrut-rekrut baru di kalangan golongan petani. Perang ini juga membolehkan PKC menguasai daerah-daerah luar bandar di China Utara dan Tengah yang berjumlah penduduk seramai 70-80 juta orang. Justeru itu, menjelang bulan Jun 1947, bilangan tentera, senapang dan meriam PKC dengan KMT hampir-hampir sama. Keadaan ini menyenangkan usaha-usaha PKC untuk merampas kuasa di China.

            Selepas Perang China-Jepun, PKC telah berjaya mengatur strategi-strategi dan teknik-teknik peperangan dengan baik. PKC telah melanggarkan serangan secara gerila ke atas garisan-garisan KMT yang terpencil antara tahun 1946-1948. Tindakan ini menyebabkan PKC berjaya menguasai daerah-daerah luar bandar dan memutuskan saluran makanan dan perhubungan KMT yang berpusat di bandar-bandar. Dengan ini, tentera KMT di bandar terkepung dan mudah ditewaskan. Kebijaksanaan PKC menyusun strategi tentera jelas kelihatan dalam Perang Hsuchow yang berlaku antara bulan Oktober sehingga Disember 1948. Askar-askar KMT yang dikepung oleh askar-askar PKC terpaksa menyerah diri.

            PKC juga menubuhkan pasukan propaganda iaitu United Front Cadres yang menjalankan propaganda di kalangan rakyat di kawasan yang dikuasai oleh KMT dan pasukan Friendly Armie’s yang ditugaskan menyusup masuk ke dalam pasukan tentera KMT.

            Rusia sentiasa memberi bantuan kepada PKC sejak penubuhannya pada tahun 1921. Keadaan ini dapat dilihat melalui tindakan Rusia memberikan bantuan kepada PKC dengan membenarkan mereka memperoleh senjata dan kelengkapan perang yang ditinggalkan oleh Jepun di Manchuria. Dengan bantuan Rusia, PKC telah berjaya merampas kuasa dan menduduki Manchuria. Bantuan ini telah membantu PKC dalam kempen mereka menentang kerajaan nasionalis pada tahun 1946-1949.

            Tentera KMT tidak berciri-ciri disiplin dan semangat yang tinggi seperti PKC, malahan semakin merosot. Keadaan ini wujud kerana askar-askar KMT sudah lama mengalami peperangan iaitu sejak KMT mula ditubuhkan lagi. Hal ini menyebabkan askar-askar KMT letih dan bosan. Ia secara sulit tidak langsung telah melemahkan semangat perjuangan mereka. Justeru itu, mulai penghujung tahun 1943, KMT tidak menyerang tentera Jepun di China.

            Tambahan pula, semasa Perang China-Jepun (1937-1945), KMT mengalami kehilangan askar yang ramai berbandingan dengan PKC. Hal ini disebabkan Jepun lebih menumpukan serangannya ke atas KMT, memandangkan KMT-lah yang menerajui Kerajaan China ketika meletusnya Perang China-Jepun. KMT telah kehilangan anggota tentera yang berpengalaman dan cukup terlatih seperti pasukan ke-87 dan ke-88.

            Organisasi tentera KMT yang lemah. Tenteranya terbahagi kepada beberapa golongan komander-komander yang cekap tetapi tidak termasuk golongan Whampao telah diberi jawatan-jawatan yang tidak penting. Hal ini telah melemahkan kedudukan KMT.

            Strategi-strategi dan teknik-teknik tentera KMT adalah lemah. Tenteranya berselerak dan tertumpu di bandar-bandar sahaja. Sementara kawasan-kawasan luar bandar telah diabaikan. Hal ini membolehkan PKC menguasai kawasan-kawasan luar bandar dan mengepung tentera KMT di bandar-bandar dengan cara memutuskan saluran perhubungan dan bekalan. Sementara pemimpin-pemimpin tentera KMT, bukan sahaja tidak cekap tetapi korupsi. Hal ini menyebabkan ramai askar KMT melarikan diri dan berpaling tadah dengan menyertai tentera PKC.

            PKC menjadi semakin popular di kalangan orang China khasnya golongan petani dan intelegensia. Hal ini merupakan faktor penting kejayaan PKC di China. Perang China-Jepun telah menambahkan kepopularan PKC. PKC telah muncul sebagai pejuang kebangsaan, apabila PKC mencadangkan penyatuan KMT dengan PKC untuk mempertahankan China dari serangan Jepun. KMT yang berada dalam keadaan serba salah terpaksa menerima cadangan PKC. Jadi, pada bulan September 1937, PKC dan KMT telah bersetuju untuk berdamai bagi mempertahankan China dari serangan Jepun. Dengan wujudnya pakatan bersama menentang Jepun, bererti KMT telah menamatkan permusuhannya dengan PKC. Suasana seperti ini telah memberi peluang kepada PKC untuk mengukuhkan diri dan meluaskan pengaruhnya di China.

            Imej PKC sebagai pejuang kebangsaan semakin meningkat dan bertambah popular apabila PKC meneruskan serangan gerila ke atas Jepun selepas tahun 1943. Sedangkan KMT yang sangat lemah ketika itu tidak lagi menyerang tentera Jepun di China kerana terlalu letih dan bosan akibat terlalu lama berperang.

            Rancangan dan strategi PKC dalam memenangi hati rakyat semasa Perang China-Jepun (1937-1945) telah menjadikan PKC semakin popular di kalangan golongan petani dan intelegensia. PKC mendapat sokongan petani melalui rancangan pembaharuan pertanian. Di bawah rancangan ini, PKC telah merampas tanah-tanah di wilayah Hunan dan kemudiannya dibahagikan semula kepada petani-petani. Selain itu, PKC telah menubuhkan koperasi-koperasi dan menurunkan kadar faedah bagi pinjaman untuk meningkatkan keperluan pengeluaran pertanian. Golongan petani juga digalakkan mengambil bahagian dalam pentadbiran tempatan. Selain itu, pemimpin-pemimpin dan askar-askar PKC juga mewujudkan hubungan yang baik dengan petani-petani. Mereka mengikut corak penghidupan yang sama seperti rakyat. Keadaan ini berbeza dengan pemimpin-pemimpin parti KMT. Hal-hal seperti inilah yang menambahkan kepopularan PKC di kalangan petani-petani China. Justeru itu, sebahagian besar daripada mereka telah menyertai PKC.

            PKC juga mendapat sokongan golongan intelegensia yang berpendapat ianya berjuang untuk kebajikan rakyat. Mereka tertarik dengan perjuangan PKC untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan memelihara kedaulatan China. Golongan intelegensia tertarik dengan dasar PKC untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh China berhubung dengan tekanan dunia antarabangsa, khasnya imperialisme Barat dan Jepun. Kepopularan PKC jelas terbukti dengan peningkatan keahliannya dari kira-kira 40000 orang pada tahun 1937 kepada 1.2 juta orang pada tahun 1945.

            Rakyat China telah hilang keyakinan terhadap KMT sebagai ejen yang berkesan dalam pembinaan semula negara. KMT telah gagal memperbaiki taraf hisup petani-petani China. Keadaan ini berlaku kerana KMT menghadapi masalah kewangan semasa meletusnya Perang China-Jepun. Penaklukan bandar-bandar dan pelabuhan-pelabuhan utama oleh Jepun menyebabkan KMT kehilangan sokongan dan bantuan kewangan daripada golongan hartawan, peniaga dan pedagang China. Lagipun, sumber pendapatan utama kerajaan KMT yang sebahagian besarnya berpunca dari perdagangan, perusahaan dan cukai-cukai kastam di bandar-bandar utama dan pelabuhan-pelabuhan penting juga terjejas akibat penaklukan Jepun. Selain itu, KMT terpaksa menghabskan sebahagian besar kewangan, tenaga dan masa untuk mengukuhkan angkatan tenteranya. Keadaan ini menghalang KMT daripada melancarkan reformasi sosial dan ekonomi. Hal ini menyebabkan KMT gagal memperbaiki nasib golongan petani China. Lantaran itu, KMT telah kehilangan sokongan petani China yang bertindak menyokong PKC.

            KMT juga tidak berjaya mencegah inflasi yang disebabkan perbelanjaan tentera yang tinggi dan kemerosotan ekonomi serta pengeluaran mata wang yang berlebihan. Semasa Perang China-Jepun, banyak kegiatan ekonomi telah musnah seperti perlombongan, pelabuhan, kilang dan lain-lain. Selain itu, peperangan dengan Jepun juga memerlukan peruntukan yang tinggi. Bagi memulihkan semula sumber ekonomi China, KMT terpaksa menggunakan perbelanjaan yang besar. Lantaran itu, kerajaan KMT terpaksa mencetak mata wang dengan berlebihan. Tindakan ini menyebabkan berlakunya inflasi di mana harga barangan telah meningkat dua kali ganda sebanyak 67 kali antara bulan Jun 1946 sehingga Ogos 1948. Pada pertengahan tahun 1947, nilai mata wang China berbanding Dollar Amerika ialah 45000:1. Keadaan ini sudah tentulah menyulitkan kehidupan rakyat China yang sedang hidup menderita. Justeru itu, terdapat kepercayaan umum bahawa KMT telah hilang mandat dari syurga untuk memerintah China.

            Korupsi dan rasuah di kalangan pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin-pemimpin tentera KMT telah bertambah semasa meletusnya Perang China-Jepun. Semasa perang ini, China mengalami kemerosotan ekonomi. Bagi memulihkan ekonomi China, Amerika telah memberi bantuan kepada kerajaan KMT. Namun begitu, bantuan Amerika kepada KMT tidak dapat memulihkan ekonomi China. Kebanyakan bantuan kewangan Amerika telah disalahgunakan oleh pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin-pemimpin tentera KMT. Selain itu, peralatan senjata dan bekalan perubatan KMT telah dijual kepada PKC oleh pegawai-pegawai KMT sendiri. Faktor korupsi ini telah menjatuhkan maruah KMT di kalangan orang-orang China yang menyebabkan rakyat China hilang kepercayaan dan kesetiaan kepada KMT.

            Selepas perang, kerajaan KMT telah melaksanakan beberapa rancangan pembangunan ekonomi seperti dalam bidang kewangan, perusahaan, memperbaiki pehubungan dan lain-lain yang lebih menguntungkan kelas pedagang, pengusaha dan golongan kapitalis. Hal ini bererti ekonomi KMT banyak bergantung kepada perdagangan, perusahaan dan cukai kastam yang berpusat di kawasan pantai yang jauh dari kawasan pedalaman. Hal ini menyebabkan kerajaan KMT tidak berusaha untuk memajukan bidang pertanian dan meninggikan taraf hidup golongan petani yang merupakan golongan terbesar. Keadaan ini menyediakan peluang keemasan kepada PKC untuk mempergunakan golongan petani.

            Imej dan pengaruh KMT telah merosot sebelum meletusnya Perang China-Jepun. Hal ini disebabkan oleh penindasan dan paksaan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai KMT. Misalnya, petani dipaksa membayar cukai yang tinggi. Tindakan ini sudah tentu menambahkan beban hidup golongan petani dan golongan yang perpendapatan rendah.

            Selepas Jepun menyerah kalah, tentera KMT mula masuk ke kawasan yang dahulunya diduduki oleh Jepun dan bersikap sebagai penakluk baru, bukan sebagai pembebas tanahair. Mereka melayan penduduk China dengan sikap yang angkuh dan penghinaan. Pegawai-pegawai KMT telah melakukan penindasan terhadap orang-orang China yang dianggap tidak setia dan pembelot. Pegawai kerajaan KMT lebih berminat untuk mengumpul harta benda yang ditinggalkan oleh Jepun. Mereka terpaksa mengabaikan rancangan dan usaha untuk memperbaiki taraf hidup rakyat yang sekian lama terbiar akibat peperangan. Keadaan ini dipergunakan oleh PKC untuk mengeksploitasikan fikiran rakyat di wilayah-wilayah yang mundur.

            Selepas perang, KMT gagal memperbaiki taraf hidup rakyat China, khasnya golongan petani. KMT juga membenarkan tuan-tuan tanah mengenakan kadar cukai yang tinggi ke atas rakyat khasnya golongan petani. Pengaruh KMT di kalangan golongan peniaga juga merosot selepas Perang China-Jepun, apabila KMT mengenakan bayaran-bayaran yang tinggi ke atas firma-firma swasta. Sementara golongan intelegensia pula telah menarik diri dari KMT akibat tentangan-tentangan KMT terhadap pembaharuan-pembaharuan yang dilaksanakan dan pemerintahan dictator yang diamalkan oleh KMT.

 

Kesimpulan

PKC akhirnya telah berjaya merampas kuasa dari KMT pada tahun 1949. Dengan kekalahan ini tentera KMT telah berundur ke Taiwan. PKC seterusnya telah mengisytiharkan penubuhan KERAJAAN REPUBLIK RAKYAT CHINA pada 1 Oktober 1949.

 

oleh SP Star

04/11/2002 11:23:26

Hosted by www.Geocities.ws

1