Perang China-Jepun, 1894-1895

 

Pengenalan

Sejak awal abad ke-19, China melalui zaman kelemahan akibat dari beberapa peristiwa seperti Perang Candu 1839-1842, Perang Arrow 1856-1860, Pemberontakan Taiping 1851-1864 dan sebagainya. Kelemahan ini menyedarkan pemimpin-pemimpin untuk melaksanakan rancangan pembaharuan yang dikenali sebagai Gerakan Memperkuatkan Diri sejak tahun 1861. Manakala di Jepun sebelum tahun 1867 berlaku kekacauan politik akibat dari gerakan-gerakan anti Shogun Tokugawa. Pada tahun 1867, Shogun Tokugawa meletakkan jawatan dan pentadbiran diambil alih oleh Maharaja Meiji. Di bawah Maharaja Meiji, pembaharuan-pembaharuan dilaksanakan terutamanya dalam bidang ekonomi dan ketenteraan. Akibatnya, Jepun muncul sebagai sebuah kuasa yang terkuat di Asia menjelang abad ke-19.

 

Sebab-sebab

Perang China-Jepun 1894-1895 berlaku di Korea kerana kedua-dua kuasa tersebut mempunyai kepentingan masing-masing di Korea. Peperangan ini berpunca dari persaingan Jepun dan China untuk menegakkan pengaruh masing-masing di Korea.

1.         Kepentingan China

Sejak berkurun-kurun lamanya Korea merupakan tanah jajahan China dan kebanyakan orang Cina menganggap Korea sebagai sebahagian dari China. Pengekalan kuasa China ke atas Korea amat perlu untuk menjaga maruah China. Korea juga penting untuk keselamatan negeri China di mana Korea boleh dijadikan benteng untuk mempertahankan negeri China terutamanya dari ancaman Rusia dan Jepun. Dari segi ekonomi, Korea dapat membekalkan beras kepada rakyat China. Selain itu, terdapat juga peluang-peluang ekonomi yang lain di Korea. Pada 26 Februari 1876, Jepun dan Korea menandatangani perjanjian persahabatan dan perdagangan yang dikenali sebagai Perjanjian Kanghwa. Mengikut perjanjian tersebut, 3 buah pelabuhan Korea iaitu Pusan, Inchon dan Wonsan dibuka kepada perdagangan Jepun. Perjanjian ini juga mengasaskan hubungan diplomatik di antara Jepun dan Korea. Selain itu, Perjanjian Kanghwa juga mengiktiraf kemerdekaan Korea. Perjanjian ini mendapat bantahan China kerana ianya dianggap mencabar pertuanan China ke atas Korea.

2.         Kepentingan Jepun

Jepun memerlukan Korea untuk kepentingan Jepun dari segi politik, ekonomi dan sosial.

a.         Politik

Dari segi politik, Korea amat penting untuk keselamatan negeri Jepun. Malah, orang-orang Jepun menganggap Korea ibarat sebilah pisau yang menghala ke jantung Jepun. Jepun perlu menguasai Korea untuk mengelakkannya jatuh ke tangan kuasa-kuasa lain terutamanya musuh-musuh Jepun. Sekiranya Korea jatuh ke tangan musuh Jepun sudah tentu keselamatan Jepun akan terancam kerana Korea dapat dijadikan batu loncatan untuk menyerang Jepun. Penguasaan ke atas Korea akan membolehkan Jepun menjadikan Korea sebagai benteng untuk mempertahankan negeri Jepun. Kelemahan kawalan China ke atas Korea sejak awal abad ke-19 membimbangkan Jepun terhadap bertapaknya kuasa lain di Korea. Kuasa asing yang paling dibimbangi oleh Jepun ialah Rusia. Kebimbangan Jepun terhadap Rusia bertambah akibat dari perkembangan yang berlaku pada tahun-tahun 1880-an dan 1890-an. Pada tahun 1884, Rusia telah menawarkan bantuan untuk melatih tentera Korea. Pada tahun 1885, Rusia dibenarkan menggunakan Port Lazareff di Korea. Pada tahun 1891, Rusia berusaha untuk membina jalan keretapi Trans-Siberia hingga ke Korea. Pembinaan jalan  keretapi ini membolehkan Rusia bergerak ke Timur dengan cepat. Pada tahun 1890-an, Rusia juga sedang berusaha untuk mendapatkan sebuah pangkalan di Selatan Vladivostok yang tidak beku semasa musim sejuk. Perkembangan ini menyedarkan Jepun bahawa penguasaan ke atas Korea amat penting bagi keselamatan negeri Jepun.

b.         Ekonomi

Dari segi ekonomi, Jepun memerlukan Korea untuk kepentingan bahan mentah dan pasaran lebih-lebih lagi dewasa itu Jepun di bawah Maharaja Meiji sedang melaksanakan rancangan perindustrian. Jepun juga perlukan Korea untuk memajukan perkapalan Jepun kerana sebahagian besar dari sistem perkapalan Korea dikuasai oleh kapal-kapal Jepun. Selain itu, Jepun juga ingin menguasai perdagangan luar Korea kerana sejak tahun 1880-an, 90% dari perdagangan luar Korea adalah melalui negeri Jepun. Korea yang banyak menghasilkan beras juga ingin dikuasai oleh Jepun bagi menjamin bekalan dari Korea kerana pada tahun-tahun 1880-an dan 1890-an, 40% dari eksport Korea ialah ke negeri Jepun. Seperti China, Jepun ingin menguasai Korea kerana terdapat peluang-peluang lain dalam bidang ekonomi di Korea.

c.         Sosial

Sejak pertengahan abad ke-19, Jepun mengalami pertambahan penduduk yang tidak seimbang dengan pertambahan tanah pertanian. Bentuk muka bumi negeri Jepun yang bergunung-ganang menyulitkan lagi usaha-usaha pembukaan tanah pertanian. Pada tahun 1872, penduduk Jepun telah meningkat 35 juta orang. Sekiranya Korea dikuasai oleh Jepun, maka penduduk Jepun yang berlebihan dapat dipindahkan ke Korea.

3.         Keadaan di Jepun

Pada akhir abad ke-19, ramai pemimpin Jepun telah dipengaruhi oleh fahaman imperialisme di mana mereka bercita-cita untuk meluaskan tanah jajahan Jepun supaya mendapat pengiktirafan dunia dan dianggap setanding dengan kuasa-kuasa Barat. Mereka menganggap penguasaan ke atas Korea merupakan langkah permulaan ke arah perlaksanaan dasar imperialisme Jepun. Dasar imperialisme Jepun juga berpunca dari pengaruh golongan saudagar atau Zaibatsu yang mahukan Jepun melaksanakan dasar imperialisme untuk kepentingan bahan mentah dan pasaran. Di antara pemimpin-pemimpin itu ialah Ito Hirobumi, Hanabusha Yoshitada, Takezoe Shinichiro, Mutsu Munemitsu, Yamagata Aritomo dan lain-lain.

Pada tahun-tahun 1880-an dan 1890-an, berlaku kekacauan politik di Jepun akibat dari perbalahan di antara parti memerintah dengan puak pelampau dan parti pembangkang. Mereka telah mengecam dasar kerajaan sehingga menyebabkan Perdana Menteri Matsukata meletakkan jawatan pada tahun 1892 dan digantikan oleh Ito Hirobumi. Selain itu, terdapat percubaan untuk membunuh menteri kabinet seperti yang berlaku ke atas Menteri Luar Jepun iaitu Okuma pada tahun 1889. Keadaan ini menyedarkan pemimpin Jepun bahawa serangan ke atas Korea amat perlu bagi mengalihkan perhatian orang-orang Jepun dari masalah dalam negeri.

4.         Tindakan China

Sejak pertengahan abad ke-19, China menyedari bahawa kawalannya ke atas Korea semakin lemah sedangkan pengaruh Jepun semakin berkembang. Akibatnya, China telah mengambil beberapa langkah untuk mengembalikan kuasa agungnya ke atas Korea. Pada tahun 1881, Li Hung Chang dilantik sebagai Penguasa China bagi hal-ehwal Korea. Sejak itu, pegawai-pegawai, tentera dan pedagang-pedagang dihantar ke Korea untuk mengukuhkan pengaruh China di Korea. Apabila berlaku pemberontakan di Korea pada tahun 1882, China menghantar pasukan tentera di bawah pimpinan Maa Chien Chung yang berjaya memadamkan pemberontakan tersebut. Pada tahun 1884, apabila berlaku satu lagi pemberontakan di Korea, China telah menghantar pasukan tentera di bawah Wu Ta Cheng. Pada tahun 1885, Yuan Shih Kai dilantik sebagai Residen China di Korea. China mengambil langkah-langkah ini kerana menganggap kekuatan mereak telah pulih akibat dari perlaksanaan rancangan pembaharuan Gerakan Memperkuatkan Diri sejak tahun 1861. Dalam usaha untuk menyekat pengaruh Jepun, China telah mempengaruhi Korea supaya menandatangani perjanjian dengan kuasa-kuasa Barat. Akibatnya, Korea menandatangani perjanjian dengan Amerika pada tahun 1882, British dan Jerman pada tahun 1883, Itali dan Rusia pada tahun 1884 dan Perancis pada tahun 1886. Tindakan China mendapat bantahan Jepun kerana Jepun juga sedang berusaha untuk mengembangkan pengaruhnya di Korea. Bantahan Jepun juga kerana Jepun menganggap Korea sebagai sebuah negara yang merdeka setelah termeterainya Perjanjian Kanghwa 1876.

5.         Kekacauan di Korea

Pada tahun 1873, Raja Li meninggal dunia dan digantikan oleh Raja Kojong yang berumur 12 tahun. Oleh sebab beliau terlalu muda maka pentadbiran dipangku oleh Taiwunkun. Di Korea terdapat 2 golongan iaitu golongan konservatif pimpinan Taiwunkun yang pro China dan anti Jepun dan golongan progresif pimpinan Permaisuri Min dan Kim Ok Kiun yang pro Jepun dan anti China. Pada tahun 1881, berlaku perbalahan di antara dua golongan ini akibat dari tindakan golongan progresif mengambil pegawai-pegawai Jepun. Akibat dari hasutan golongan konservatif pada tahun 1882 berlaku rusuhan anti Jepun menyebabkan 7 orang pegawai rendah Jepun terbunuh, pejabat perwakilan Jepun dibakar dan menteri perwakilannya Hanabusha Yoshitada melarikan diri ke negeri Jepun. China menghantar pasukan tentera di bawah pimpinan Maa Chien Chung dan Ting Ju Chang dan seterusnya berjaya memadamkan pemberontakan itu. Taiwunkun ditangkap dan dipenjarakan di Shanghai. Untuk mengelakkan perbalahan dengan Jepun, Perjanjian Chemulpo telah ditandatangani pada Mac 1882. Syarat-syaratnya:

a.         Korea bersetuju untuk membayar sagu hati sebanyak $50 ribu (Amerika) kepada keluarga tiap-tiap pegawai Jepun yang terbunuh.

b.         Korea akan membayar sebanyak $500 ribu (Amerika) sebagai ganti rugi kepada Kerajaan Jepun.

c.         Mereka yang terlibat dalam rusuhan akan dihukum dan mereka yang terlibat secara langsung dalam pembunuhan akan dihukum bunuh.

d.         Korea akan menghantar satu utusan ke Jepun untuk memohon maaf secara resmi dari Kerajaan Jepun.

e.         Pegawai-pegawai Jepun yang terbunuh dalam pemberontakan akan dikebumikan dengan penuh penghormatan.

f.           Jepun dibenarkan menempatkan tenteranya di Korea untuk melindungi rakyat Jepun dan lain-lain kepentingan Jepun di Korea.

Perjanjian ini telah membuka peluang kepada Jepun untuk menempatkan tenteranya di Korea dan seterusnya mengukuhkan pengaruhnya di Korea. Pada tahun 1884, satu pemberontakan yang dipengaruhi oleh golongan progresif telah berlaku di Korea. Untuk memadamkan pemberontakan tersebut, China menghantar pasukan tentera di bawah Wu Ta Cheng. Kegagalan pemberontakan itu telah menyebabkan Kim Ok Kiun dan menteri perwakilan Jepun Takezoe Shinichiro melarikan diri ke negeri Jepun. Untuk mengelakkan perselisihan dengan Jepun, lebih-lebih lagi dewasa itu China sedang menghadapi masalah dengan Perancis kerana Annam, satu rundingan telah diadakan di antara Li Hung Chang dan Ito Hirobumi yang menghasilkan Konvensi Tientsin atau Konvensi Li Ito pada 18 April 1885. Syarat-syaratnya ialah:

a.         Jepun dan China bersetuju tidak akan melatih tentera Korea.

b.         Jepun dan China bersetuju untuk menarik balik tentera mereka dari Korea dalam tempoh 4 bulan.

c.         Pada masa akan datang sekiranya mana-mana pihak ingin menghantar tentera ke Korea, kebenaran pihak yang satu lagi perlu diperolehi terlebih dahulu.

Pada Mac 1894, Kim Ok Kiun yang mendapat perlindungan di Jepun telah diculik dan dibunuh di Shanghai. Mayatnya dikerat-kerat dan dipamerkan di China dan Korea. Tindakan itu mendapat bantahan Jepun dan dianggap menjatuhkan maruah Jepun kerana Kim Ok Kiun mendapat perlindungan di Jepun. Akibatnya Jepun mencari kesempatan untuk menyerang Korea. Kesempatan ini diperolehi apabila “Tentera Muda Jepun” berjaya mempengaruhi puak Tong Hak mengadakan pemberontakan pada Mac 1894. Kerajaan Korea telah memohon bantuan China bagi memadamkan pemberontakan tersebut. Li Hung Chang telah menghantar 3 ribu tentera di bawah pimpinan Ting Ju Chang. Tindakan China mendapat bantahan Jepun kerana ianya bertentangan dengan Konvensi Li Ito pada tahun 1885. Sebagai tindak balas, Jepun telah menghantar 8 ribu tentera ke Korea. Kehadiran tentera Jepun dan tentera China menyebabkan puak Tong Hak menghentikan pemberontakan. Sedang usaha dijalankan untuk mengelakkan pertempuran di antara Jepun dan China, tentera Jepun telah menyerang istana Korea dan menawan keluarga diraja dan dipenjarakan di Pejabat Perwakilan Jepun. Pada 25 Julai 1894, tentera Jepun telah berjaya menenggelamkan kapal pengangkut tentera China iaitu Cowshing. Jepun mengisytiharkan perang ke atas China pada 1 Ogos 1894.

 

Peristiwa peperangan

Pertempuran di antara Jepun dan China berlaku di laut dan darat sejak Ogos 1894. Di darat tentera China telah dikalahkan di Pyongyang. Pada September 1894, Jepun mengalahkan angkatan laut di muara sungai Yalu. Pada November 1894, Jepun mengalahkan China di Semenanjung Liaotung. Pada Februari 1895, tentera China dikalahkan di Wei Hai Wei. Pada Mac 1895, Jepun menawan Yingkow dan Newchang. Menjelang akhir Mac 1895, China menyerah kalah. Hasil dari rundingan yang diadakan Perjanjian Shimonoseki telah ditandatangani pada 17 April 1895. Syarat-syaratnya ialah:

a.         China mengiktiraf kemerdekaan Korea.

b.         China menyerahkan Formosa, Pulau Pescadores, Port Arthur dan Danny di Semenanjung Liaotung.

c.         China bersetuju untuk membayar 200 juta taels kepada Jepun dan Jepun akan menduduki Wei Hai Wei sehingga bayaran gantirugi diselesaikan.

d.         Jepun mendapat keistimewaan di negeri China seperti yang dinikmati oleh kuasa-kuasa Barat.

e.         Empat pelabuhan China iaitu Shansi, Chungking, Soochow dan Hangchow dibuka kepada perdagangan asing.

 

Sebab-sebab China kalah

1.         Kelengkapan perang bermutu rendah

Kelengkapan perang yang digunakan oleh China bermutu rendah jika dibandingkan dengan kelengkapan perang Jepun. Sebagai contoh, kelajuan kapal perang China hanya antara 15-16 knot sedangkan kelajuan kapal perang Jepun ialah 23 knot. Tentera Jepun lebih terlatih dan mereka lebih bersemangat dan berdisiplin jika dibandingkan dengan tentera China.

2.         Tiada kerjasama

Peperangan China Jepun 1894-1895 seolah-olah pertempuran di antara armada China dengan Jepun dan bukannya pertempuran di antara Jepun dengan seluruh China. Keadaan ini berbeza dengan Jepun kerana semua rakyat Jepun bertanggungjawab bagi menjamin kejayaan kerana ianya melibat maruah bangsa Jepun. Dalam menghadapi Jepun tidak wujud kerjasama di kalangan orang-orang Cina. Sebagai contoh, Armada Peiyang yang menghadapi Jepun tidak mendapat bantuan daripada armada lain walaupun Li Hung Chang memohon bantuan daripada Armada Foochow dan Armada Nanyang. Selain itu, terdapat pemimpin-pemimpin China yang sengaja tidak mahu membantu Li Hung Chang dengan tujuan untuk menjatuhkan pengaruh Li Hung Chang.

3.         Kelemahan Kerajaan China

Kelemahan Kerajaan China juga merupakan faktor penting menyebabkan China tewas dalam Perang China Jepun. Kerajaan China gagal melahirkan pemimpin yang cekap dan berkebolehan dalam merancang strategi peperangan. Kebanyakan pemimpin lebih mengutamakan kepentingan diri dari kepentingan negara. Kesilapan Li Hung Chang juga merupakan faktor penting menyebabkan China gagal. Beliau hanya melatih pemimpin-pemimpin yang rapat dengannya dan menumpukan taat setia kepadanya sedangkan mereka tidak berkebolehan.

Penyelewengan yang berlaku dalam Kerajaan China telah melemahkan lagi tentera China. Contohnya, peruntukan bagi angkatan laut telah digunakan oleh Maharani Dowager Tsu Hsi untuk membina semula istana musim panas yang musnah semasa peperangan Arrow. Akibatnya, antara tahun 1886-1894, China tidak dapat menambahkan bilangan kapal dalam angkatan lautnya.

4.         Terlalu mengharapkan Barat

China menyedari kelemahan mereka dan mengharapkan bantuan Barat untuk menghadapi Jepun. Walau bagaimanapun, kebanyakan kuasa Barat mengambil sikap berkecuali dalam Perang China-Jepun kerana mereka menganggap Korea sebagai sebuah negara yang merdeka lebih-lebih lagi selepas Perjanjian Kanghwa 1876. Malah terdapat kuasa-kuasa Barat yang sengaja tidak mahu membantu China dengan tujuan supaya Kerajaan China bertambah lemah kerana keadaan itu membolehkan mereka menekan China untuk mendapatkan lebih banyak keistimewaan.

5.         Kekuatan tentera

Bilangan tentera China yang terlibat dalam peperangan itu lebih kecil jika dibandingkan dengan tentera Jepun. Tentera China hanya berjumlah 50 ribu orang sedangkan tentera Jepun berjumlah 120 ribu orang.

6.         Kemelesetan ekonomi

Kemelesetan ekonomi yang dihadapi serta kegagalan Gerakan Memperkuatkan Diri telah mempercepatkan kekalahan China. Selain itu, masalah lain yang dihadapi oleh China terutamanya imperialisme Barat menyebabkan China tidak dapat menumpukan perhatian bagi menghadapi peperangan.

 

Kesan-kesan

1.         Merugikan China

Peperangan ini amat merugikan China. China terpaksa membayar gantirugi sebanyak 200 juta taels. China kehilangan wilayahnya iaitu Formosa, Pescadores, Port Arthur dan Danny.

2.         Semangat kewilayahan

Bertambahnya semangat kedaerahan orang-orang China, terutama di antara rakyat berdarah China di Selatan dan rakyat berdarah Manchu di Utara. Masalah tiada kerjasama antara wilayah berterusan walaupun selepas peperangan China-Jepun.

3.         Menjatuhkan maruah China

Kekalahan ini telah menjatuhkan maruah China dan menghilangkan keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan Manchu. Kuasa-kuasa Barat tidak lagi menganggap China sebagai kuasa agung di Timur. Sebaliknya, Jepun mula diterime sebagai kuasa yang kuat di Timur.

4.         Imperialisme Barat

Kekalahan China telah memperhebatkan dasar imperialisme Barat di negeri China. Kuasa-kuasa Barat mula menuntut lebih banyak keistimewaan di negeri China sehingga ahli-ahli sejarah menganggap China sebagai tembikai masak yang dipotong dan dibahagikan sesama kuasa Barat dan Jepun. Sebagai contoh, pada tahun 1896, Rusia menduduki Semenanjung Liaotung, 1897 Jerman menduduki Teluk Kiaochow, 1898 British menduduki Wei Hai Wei dan 1898 Perancis menduduki Teluk Kwangchow. Kuasa-kuasa Barat telah menuntut keistimewaan lain selain dari mendapatkan wilayah. Sebagai contoh, mereka telah mendesak China membenarkan mereka membina jalan keretapi di negeri China. British menuntut kebenaran membina jalan keretapi sejauh 2800 batu, Perancis 420 batu, Rusia 1530 batu dan Belgium 650 batu.

5.         Golongan baru

Kekalahan China telah menyebabkan lahirnya golongan baru yang menyedari betapa perlunya pembaharuan dilaksanakan di China bagi memulihkan China dari segi politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan. Akibatnya, terlaksanalah Islah 1898 atau Pembaharuan 100 Hari dari 11 Jun 1898 hingga 21 September 1898. Islah 1898 dipimpin oleh Kang Yu Wei dan dibantu oleh reformis lain seperti Liang Chih Chou, Weng Tung Ho, Chang Chih Tung, Kang Kuan Jen, Wang Kang Nien, Tau Ssu Tung, Huang Tsun Hsien, Kuo Sung Tao, Yau Shen Shin dan lain.lain.

6.         Dasar imperialisme Jepun

Kejayaan Jepun di dalam peperangan ini telah mendorong pemimpin-pemimpin Jepun untuk melaksanakan dasar imperialisme. Mereka menganggap kejayaan itu sebagai permulaan ke arah melaksanakan dasar imperialisme Jepun di Asia. Akibatnya, Jepun meneruskan dasar untuk meluaskan tanah jajahan. Sebagai contoh, pada tahun 1910, seluruh Korea telah diletakkan secara langsung di bawah Jepun.

7.         Kebangkitan tentera

Kejayaan Jepun telah menyebabkan tentera muncul sebagai golongan yang berpengaruh dalam politik Jepun sehingga sukar dibendung oleh parti pemerintah. Sejak awal abad ke-20, dasar Kerajaan Jepun telah dipengaruhi oleh kepentingan tentera. Sebagai contoh, Yamagata Aritomo yang menjadi pengasas tentera moden Jepun telah mendesak supaya jawatan menteri pertahanan hanya boleh disandang oleh Jeneral atau Leftenan-Jeneral dan bukannya orang awam. Pada tahun 1930-an, kabinet Jepun telah dikuasai oleh golongan tentera.

8.         Semangat nasionalisme

Kejayaan Jepun telah membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat Jepun. Mereka menganggap dasar imperialisme menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Jepun kerana ianya melibatkan maruah bangsa dan negara. Walaupun sebelum Perang China-Jepun berlaku kekacauan politik dan parlimen menjadi gelanggang pertengkaran di antara parti pemerintah dengan pembangkang tetapi kekacauan politik itu telah tamat berikutan dengan Perang China-Jepun. Belanjawan perang yang melibatkan peruntukan besar telah diluluskan sebulat suara oleh parlimen.

 

oleh SP Star

13/04/2002 16:06:50

Hosted by www.Geocities.ws

1