Campur Tangan British di Negeri Sembilan 1874
Pengenalan
Seperti negeri-negeri Melayu yang lain, kekacauan di
Negeri Sembilan berlaku di antara tahun 1860-an dan 1870-an. Sebab utama yang
menyebabkan kekacauan di Negeri Sembilan ialah peperangan yang berlaku di antara
Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar di Sungai Ujong atas kepentingan lombong bijih
timah. Selain itu, kekacauan juga berlaku di Sri Menanti, Rembau dan Jelebu.
Kekacauan ini seterusnya mendorong British campur tangan sehingga akhirnya
Negeri Sembilan diwujudkan atas penyatuan wilayah-wilayah tersebut.
Sungai Ujong adalah salah sebuah daerah daripada
sembilan buah daerah di Negeri Sembilan. Ia sangat kaya dengan bijih timah.
Bijih timah menjadi punca pertelingkahan antara pembesar-pembesar Melayu. Mereka
cuba mengenakan cukai ke atas bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai
Ujong.
Peperangan telah berlaku di antara 2 orang pembesar iaitu Dato’ Kelana
dan Dato’ Bandar. Punca perbalahan antara mereka ialah ke atas hak memungut
cukai di kawasan perlombongan bijih timah. Kedua-dua pembesar itu telah
mendirikan rumah tol untuk memungut cukai di sepanjang Sungai Linggi. Tindakan
mereka menyebabkan saudagar-saudagar yang membawa bijih timah dari Sungai Linggi
ke Melaka terpaksa membayar cukai kepada setiap rumah tol.
Permusuhan di antara Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar seterusnya
menyebabkan perlombongan bijih timah terhenti dan perdagangan Negeri-negeri
Selat dengan Sungai Ujong terancam. Malahan, kedudukan Dato’ Kelana terancam
oleh Dato’ Bandar yang lebih berpengaruh di Sungai Ujong. Oleh itu, Dato’
Kelana meminta bantuan Inggeris untuk mengukuhkan kedudukannya di Sungai Ujong.
Sementara itu, saudagar-saudagar selat telah mengadu kepada Gabenor Sir Andrew
Clarke tentang pengenaan cukai secara haram yang tidak menguntungkan mereka dan
mendesak British supaya campur tangan di Sungai Ujong untuk melindungi
kepentingan perdagangan mereka.
Pada bulan April 1874, Sir Andrew Clarke telah mengambil keputusan untuk
memihak Dato’ Kelana. Beliau mengadakan satu mesyuarat dengan
pembesar-pembesar di Singapura untuk mewujudkan pengaruh British dan menamatkan
kekacauan di Sungai Ujong. Mesyuarat itu hanya dihadiri oleh Dato’ Kelana
Abdul Rahman dan Dato’ Muda Linggi. Hasilnya, perjanjian ditandatangani di
antara Dato’ Kelana dan Inggeris pada 21 April 1874. Melalui perjanjian ini:
a.
Dato’ Kelana diisytiharkan sebagai pemerintah yang sah di Sungai Ujong.
Beliau berjanji memerintah Sungai Ujong dengan adil.
b.
Dato’ Kelana bersetuju memberi perlindungan kepada saudagar-saudagar
British dan mengenakan cukai yang berpatutan.
c.
Dato’ Kelana bersetuju juga menjaga kepentingan British di Sungai Ujong.
Dato’ Bandar membantah keras terhadap campur tangan British di Sungai Ujong dan enggan menerima perjanjian tersebut kerana beliau disisihkan daripada sebarang kuasa di Sungai Ujong. Seterusnya, Dato’ Bandar mencabar kekuasaan British.
Dato’ Kelana Abdul Rahman berasa bimbang akan keselamatan dan meminta
perlindungan daripada Kerajaan British. Pada bulan Ogos 1874, Sir Andrew Clarke
menghantar W.A. Pickering bersama satu pasukan tentera untuk melindungi Dato’
Kelana dan menjaga kepentingan perdagangan British di sana.
Dalam pertempuran yang meletus di antara Dato’ Kelana dan Dato’
Bandar pada bulan November 1874, Dato’ Kelana berjaya menewaskan Dato’
Bandar dengan bantuan angkatan tentera British. Dato’ Bandar terpaksa berundur
ke Kepayang.
Kedudukan Dato’ Kelana sebagai ketua Sungai Ujong terjamin dan British
berpeluang meluaskan kuasanya dengan melantik seorang Penolong Residen, iaitu
Kapten W.I. Thatham. Dato’ Bandar menandatangani satu perjanjian pada 16
Disember 1874 dan berjanji tidak akan campur tangan dalam hal-ehwal Sungai Ujong.
Pertelingkahan di antara Yamtuan Antah Seri Menanti
dan pembesar-pembesar terutama Sungai Ujong memberi kesempatan untuk Inggeris
campur tangan di Sri Menanti.
Pemerintah Sungai Ujong enggan mengakui Yamtuan Antah Sri Menanti sebagai
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Sir Frederick Weld telah mengadakan satu
mesyuarat dengan Yamtuan Antah dan pembesar-pembesar Sri Menanti yang
menentangnya. Walaupun Antah meminta perlantikan seorang Residen British tetapi
permintaan itu tidak diterima oleh Sir Frederick Weld kerana beliau tidak
mendapat sokongan semua pembesar Sri Menanti.
Oleh itu, Weld hanya melantik Martin Lister sebagai Pemungut dan
Majistret di Kuala Pilah, Sri Menanti pada tahun 1885. Pada bulan April 1886,
Yamtuan Antah dan pembesar-pembesar telah bersetuju menyerahkan hal-ehwal
hubungan luar kepada Martin Lister.
Sir Frederick Weld campur tangan di Rembau untuk
menamatkan persengketaan di antara Haji Sahil iaitu Penghulu Rembau dan Syed
Hamid atas perebutan gelaran Yamtuan Muda Tampin.
Sir Frederick Weld mengadakan satu mesyuarat dengan pembesar-pembesar
Rembau di Melaka pada bulan Mac 1883. Dalam mesyuarat itu, pembesar-pembesar
bersetuju melantik Serun Bin Sidin sebagai penghulu yang baru bagi Rembau kerana
Haji Sahil gagal mentadbir Rembau dengan baik. Serun Bin Sidin dan
pembesar-pembesar juga menandatangani satu persetiaan dengan pihak Inggeris dan
bersetuju menerima dan mematuhi timbang-tara Inggeris dalam semua pergaduhan di
antara mereka.
Pertelingkahan telah meletus antara Penghulu Serun dan pembesar-pembesar
atas soal pungutan hasil. British campur tangan untuk menyelesaikan masalah itu
pada 17 September 1887, Penghulu Serun dan pembesar-pembesar Rembau telah
menantangani satu perjanjian menyerahkan kuasa memungut cukai kepada seorang
pegawai British yang dikenali sebagai Pemungut Hasil dan Majistret.
British berpeluang campur tangan di Jelebu apabila
tercetus satu pertelingkahan antara Yamtuan Muda dengan Penghulu Jelebu.
Kedua-dua pihak meminta timbang-tara British untuk menyelesaikan persengketaan
antara mereka.
Sir Frederick Weld telah menguruskan satu mesyuarat dengan kedua-dua
pihak pada bulan Ogos 1883 untuk menentukan hak dan kuasa mereka. Residen Sungai
Ujong dilantik untuk membantu mereka dalam hal-ehwal pentadbiran Jelebu.
Pada bulan Disember 1884, Yamtuan Muda Jelebu mangkat. Penghulu Jelebu
meminta bantuan British untuk menghapuskan jawatan Yamtuan Muda. Sebagai balasan,
beliau menandatangani satu perjanjian dengan British pada bulan September 1886.
Menurut perjanjian itu, Penghulu Jelebu menerima seorang pegawai British
untuk mentadbir hasil dan keadilan di Jelebu.
Menjelang
tahun 1888, kesemua negeri kecuali daerah Tampin telah menerima timbang-tara dan
perlindungan Inggeris. Pada tahun 1889, menerusi usaha Gabenor Negeri-negeri
Selat, iaitu Sir Cecil Clementi Smith, daerah Tampin dan Rembau bersetuju
menyertai pergabungan Sri Menantidan menerima seorang Residen Inggeris. Martin
Lister dilantik menjadi Residen Pertama.
Pada
tahun 1885, Sungai Ujong dan Jelebu menyertai penggabungan tersebut. Dengan ini,
pergabungan Sri Menanti yang meliputi semua negeri dikenali sebagai Negeri
Sembilan. Yamtuan Antah Sri Menanti diakui sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri
Sembilan. Baginda dibantu dalam hal pentadbiran oleh Martin Lister.
oleh SP Star
17/04/2001 13:29:40