Mongkut

 

Pengenalan

Somdeth Phra Paraminda Maha Mongkut atau Phra Chom Klau lebih dikenali sebagai Mongkut adalah putera yang ke-43 Raja Rama II yang dilahirkan pada 18 Oktober 1804. Apabila saudaranya putera Jeetha dilantik sebagai Raja Rama III pada tahun 1824, Mongkut menjadi sami selama 27 tahun dari tahun 1824 hingga 1851. Pengalaman baginda sebagai seorang sami telah membolehkan baginda mengetahui kehidupan rakyatnya serta Tamadun Barat. Pergaulannya dengan mubaligh-mubaligh Barat seperti Bishop Pallegoire, Reverend Caswel, Reverend Bradley dan Dr. House telah membolehkan baginda mempelajari ilmu-ilmu Barat seperti Fizik, Kimia, Geografi, Matematik, Astronomi, Bahasa Latin, Bahasa Inggeris serta sistem kerajaan negara-negara Barat. Mongkut merupakan Raja Asia pertama yang dapat menulis dan membaca dalam Bahasa Inggeris. Apabila Raja Rama III mangkat, Mongkut dilantik menjadi Raja Rama IV pada 3 April 1851.

 

Pembaharuan

Mongkut menyedari pembaharuan berdasarkan idea Barat amat penting bagi menyelamatkan kemerdekaan Siam. Baginda juga sedar Siam perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan politik di Asia Tenggara agar kemerdekaan Siam dapat dikekalkan. Mongkut juga perlu membuktikan Siam merupakan negara progresif dan liberal bagi mengurangkan campur tangan asing dalam hal-ehwal Siam. Pembaharuan berdasarkan idea Barat juga dapat meninggikan taraf hidup rakyat Siam. Oleh itu, Mongkut telah mengadakan beberapa pembaharuan dalam politik, ekonomi dan sosial.

1.         Politik

Mongkut manaiki takhta semasa kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba dapatkan tanah jajahan di Asia Tenggara. Sebagai contoh, British di Myanmar dan Tanah Melayu, Perancis di Indo-China, Sepanyol di Filipina dan Belanda di Indonesia. Mongkut menyedari kuasa-kuasa Barat lebih superior daripada kuasa-kuasa Timur. Pengalaman Myanmar, China dan Vietnam menyedarkan Mongkut akibat buruk sekiranya kuasa Timur cuba menentang kuasa Barat. Oleh itu, Mongkut telah mengambil beberapa langkah dalam usaha untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan politik di Asia Tenggara bagi menjamin kemerdekaan Siam. Baginda telah melaksanakan beberapa pembaharuan politik terutamanya dalam hubungan Siam dengan kuasa-kuasa Barat. Mongkut telah menamatkan dasar isolasi (tutup pintu) yang diamalkan oleh raja-raja Siam sebelumnya. Sebaliknya, baginda melaksanakan dasar buka pintu kepada orang-orang Barat terutamanya pedagang-pedagang. Orang Barat dibenarkan berdagang di Siam dengan diberi pelbagai keistimewaan. Mongkut mengambil langkah ini kerana baginda menyedari sekiranya Siam meneruskan dasar isolasi, kuasa-kuasa Barat akan membuka Siam secara paksa seperti yang berlaku di China, Myanmar dan Vietnam. Mongkut mula menerima perwakilan asing yang dihantar ke Siam. Sebagai contoh, perwakilan British yang diwakili oleh Harry Parkes dan James Brooke dan perwakilan Amerika yang diketuai oleh Joseph Ballestier. Selain itu, Mongkut juga menghantar perwakilan Siam ke negara-negara Barat. Sebagai contoh, pada Ogos 1857, satu perwakilan Siam yang diketuai oleh Chao Phraya Mantri Sri Suryawongse telah dihantar ke England.

Dalam usaha untuk mewujudkan hubungan baik dengan kuasa-kuasa Barat, Mongkut telah menandatangani beberapa perjanjian dengan mereka. Perjanjian pertama ditandatangani dengan British pada 18 April 1855 yang dikenali sebagai Perjanjian Bowring. Seterusnya, Siam menandatangani perjanjian dengan Amerika pada tahun 1856, Perancis 1856, Denmark 1858, Portugis 1859, Holand 1860, Prussia 1862, Belgium, Norway, Itali, Sweden 1868. Mengikut perjanjian-perjanjian tersebut, kuasa-kuasa Barat telah diberi pelbagai keistimewaan di Siam. Selain kebenaran berdagang, mereka dibenarkan mendirikan konsul, mendapat hal wilayah asingan, menyebar agama Kristian, membeli/menyewa tanah di sekitar Bangkok, berlabuh di semua pelabuhan Siam dan sebagainya.

Untuk menyusun semula pentadbiran Siam mengikut sistem pentadbiran Barat, Mongkut telah mengambil 80 orang pegawai Barat. Mongkut mengambil pegawai-pegawai negara Barat dan ditempatkan di pelbagai jabatan. Secara umumnya, British diberi tugas untuk menguruskan hal-hal pendidikan, kewangan, polis dan pelabuhan, Amerika dalam perkhidmatan kastam, Perancis serta Itali dalam ketenteraan. Mongkut mengambil pegawai-pegawai dari pelbagai negara Barat supaya tidak ada sebuah kuasa yang mempunyai pengaruh terlalu kuat di Siam. Akibatnya pegawai yang banyak memberi sumbangan semasa pemerintahan Mongkut ialah Anna Leonowens, Robert Marrant dan Major Gerini.

Mongkut banyak bertolak ansur dalam hubungannya dengan kuasa-kuasa Barat. Walaupun tolak ansur tersebut merugikan Siam tetapi tindakan Mongkut telah menyelamatkan kemerdekaan Siam. Sebagai contoh, bagi mengelakkan perbalahan dengan Perancis, Mongkut sanggup menandatangani Perjanjian Siam-Perancis pada 15 Julai 1867 yang menyerahkan pertuanan Siam ke atas Kampuchea kepada Perancis. Mongkut mengambil langkah ini kerana baginda sedar Siam perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan politik di Asia Tenggara bagi menjamin kemerdekaan Siam. Pengalaman Myanmar, Vietnam dan China mengajar Mongkut supaya lebih banyak bertolak ansur dengan kuasa-kuasa Barat. Dasar tolak anasur Mongkut telah diikuti oleh raja-raja Siam selepasnya terutamanya Chulalongkorn yang dilantik sebagai Raja Rama V pada 1 Oktober 1868.

2.         Ekonomi

Dasar buka pintu dan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani telah memajukan ekonomi Siam. Kedatangan orang Barat telah membuka Siam kepada perdagangan antarabangsa. D.J. Steinberg dalam bukunya “In Search of South East Asia” menegaskan bilangan kapal dagangan yang berlabuh di Siam telah meningkat 10 kali ganda semasa pemerintahan Mongkut. Raja Syamananda dalam bukunya “A History of Thailand” mendakwa pada tahun 1852, hanya terdapat 3 orang pedagang Eropah di Bangkok tetapi pada tahun 1856, 200 buah kapal dagangan asing berlabuh di Siam. Perkembangan ekonomi telah meruntuhkan sistem ekonomi sara diri dan membawa kepada wujudnya sistem ekonomi komersil. Selain itu, sistem ekonomi tukar barang telah digantikan sengan sistem ekonomi wang. Beras, gula dan kayu jati menjadi eksport utama Siam. Eksport beras yang selama ini disekat telah dibenarkan oleh Mongkut. Gula yang menjadi eksport utama Siam ke Eropah telah meningkat 2 kali ganda dari segi pengeluaran dan kawasan tanaman menjelang tahun 1865. Selain itu, nilai import terutamanya tekstil juga telah meningkat. Perkembangan ekonomi berlaku akibat daripada penetapan cukai import sebanyak 3% dan cukai eksport 5%. Dalam tempoh yang singkat, Siam telah menikmati imbangan perdagangan yang memuaskan. Sebagai contoh, eksport Siam bernilai 5.5 juta bath pada tahun 1850 telah meningkat 11 juta bath pada tahun 1870. Manakala nilai import yang berjumlah 4.3 baht pada tahun 1850 telah meningkat 8 juta bath pada tahun 1870. Anna Leonawens dalam bukunya “The English Governess at the Siamese Court” menegaskan pedagang-pedagang Barat berkerumum ke Bangkok untuk mendirikan kilang beras, gula dan kayu.

Dalam usaha untuk menyusun semula sistem kewangan Siam mengikut sistem kewangan Barat, Mongkut telah menubuhkan Royal Mint pada tahun 1861. pegawai-pegawai Barat terutamanya British telah diberi tugas untuk menguruskan Royal Mint.untuk kepentingan ekonomi, Mongkut telah membina jalan raya, jambatan dan terusan terutamanya untuk menghubungkan kawasan pengeluaran pertanian dengan Menam Chao Phraya. Empat terusan utama yang menghubungkan wilayah-wilayah telah dibina semasa pemerintahan Mongkut. Jalan raya utama di Bangkok yang dikenali sebagai Charun Krung telah dibina pada tahun 1862.

3.         Sosial

a.         Pelajaran

Mongkut telah memperkenalkan pelajaran Barat terutamanya bahasa-bahasa Eropah dan ilmu sains. Guru-guru dari Barat terutamanya British diberi tugas untuk melaksanakan pelajaran Barat di Siam. Pelajaran Barat hanya diadakan di istana dan hanya terbuka kepada anak-anak golongan bangsawan terutamanya anak-anak raja. Antara guru yang memainkan peranan penting dalam melaksanakan pelajaran Barat di Siam ialah Anna Leonawens dan Robert Warrant. Antara anak raja yang dapat pelajaran Barat dari mereka ialah Chulalongkorn yang dilantik menjadi Raja Rama V pada 1 Oktober 1868.

b.         Buruh paksa, hamba, wanita dan kanak-kanak

Mongkut telah berusaha menghapuskan sistem buruh paksa yang dikenali sebagai “Corvee” dan digantikan dengan sistem buruh bergaji. Mongkut gagal menghapuskan sistem penghambaan di Siam. Walau bagaimanapun, baginda berjaya memperbaiki kehidupan hamba-hamba di mana undang-undang dikeluarkan melarang penyeksaan ke atas hamba-hamba. Mongkut juga berusaha meninggikan taraf wanita dan kanak-kanak. Undang-undang telah dikeluarkan melarang penindasan ke atas wanita dan kanak-kanak. Dalam usaha untuk meninggikan taraf wanita, Mongkut membenarkan isteri-isterinya keluar dari istana dan bekas isteri-isterinya berkahwin semula kecuali mereka yang menjadi ibu kepada putera raja.

c.         Adat

Mongkut berusaha menghapuskan adat-adat yang dianggap boleh menghalang kemajuan Siam. Baginda melarang rakyatnya melarikan diri apabila tembung dengan raja. Baginda juga menghapuskan adat yang melarang rakyatnya melihat muka raja. Mongkut telah memecahkan tradisi dengan keluar mengadakan lawatan untuk menemui rakyatnya. Langkah ini membolehkan baginda mengetahui dengan lebih jelas keadaan hidup rakyatnya. Orang-orang asing tidak dipaksa untuk mematuhi adat sujud di hadapan raja. Mereka diberi kebebasan untuk menghormati raja mengikut cara mereka sendiri.

d.         Agama

Walaupun Mongkut berpegang teguh kepada ajaran Buddha dan pernah menjadi sami selama 27 tahun, baginda bersikap liberal terhadap agama-agama lain. Baginda membenarkan mubaligh-mubaligh menyebarkan agama Kristian kerana baginda sedar selain menyebarkan agama, mubaligh-mubaligh juga menyebarkan pengetahuan Barat. Pada tahun 1852, sebuah sekolah Kristian telah didirikan di Bangkok.

e.         Sistem perhubungan

Untuk memudahkan perhubungan, Mongkut telah membina jalan raya, jambatan dan terusan untuk menghubungkan kawasan pengeluaran pertanian dengan Menam Chao Phraya. Empat terusan utama yang menghubungkan wilayah-wilayah telah dibina semasa pemerintahan Mongkut. Jalan raya yang utama di Bangkok yang dikenali sebagai Charun Krung telah dibina pada tahun 1862.

 

Kesimpulan

Mongkut yang memerintah Siam dari tahun 1851-1868 merupakan seorang pemerintah yang bijak dan berpandangan jauh. Baginda berjaya menyesuaikan diri dengan perkembangan politik di Asia Tenggara sehingga kemerdekaan Siam dapat dikekalkan. Tolak ansur baginda dengan kuasa-kuasa Barat juga telah menjamin kemerdekaan Siam. Mongkut meninggal dunia pada 1 Oktober 1868 dan digantikan oleh puteranya Chulalongkorn sebagai Raja Rama V. D.G. Hall dalam bukunya “A History of South East Asia” mendakwa Siam terhutang budi kepada Mongkut jika dibandingkan dengan raja-raja lain kerana dasar yang dimulainya telah menyelamatkan kemerdekaan Siam.

 

oleh SP Star

18/05/2002 15:30:26

Hosted by www.Geocities.ws

1