Perjuangan Kemerdekaan Indonesia
Setelah Jepun menyerahkan dan meninggalkan Indonesia, pada 29 September
1945, tentera British di bawah perintah Jeneral Christison mendarat di Jakarta.
Pasukan itu merupakan unit pertama mewakili tentera berikat terutamanya bagi
pihak Belanda. Tujuan unit tersebut ialah untuk membantu pentadbir-pentadbir
Belanda bagi memulihkan pemerintahan Belanda di Indonesia. Tidak lama selepas
mendarat, ia diikuti oleh unit tentera Belanda.
Sementara itu pihak Belanda telah cuba mengadakan perundingan dengan
Republik Indonesia pimpinan Sukarno. Dr. Van Mook sebagai wakil Kerajaan Belanda
tidak menerima Sukarno sebagai wakil Indonesia kerana dianggap bersuhabat dengan
Jepun. Sebagai jalan tengah maka Sutan Shahrir yang disifat lebih sederhana
ditugaskan berunding dengan pihak Belanda. Perundingan menghadapi jalan buntu
kerana Sutan Shahrir menuntut supaya pihak Belanda mengiktiraf Republik
Indonesia.
Kemaraan tentera British telah disalahertikan oleh orang Indonesia
akibatnya tentera British menerima tentangan. Apabila tentera Belanda pula
mengambil bahagian menyebabkan orang Indonesia mengambil keputusan akan
menentang tentera British dan Belanda demi mempertahankan kemerdekaan Indonesia
yang telah diumumkan itu. Dengan penentangan itu, maka bermula Zaman Revolusi
Indonesia.
Pada awal Oktober 1945, berlaku pertempuran yang sengit antara tentera
British dengan tentera revolusi. Pemerintah tentera British iaitu Jeneral
Mallaby telah terkorban setelah berjaya menduduki Surabaya. Kematian Jeneral
Mallaby merupakan satu tamparan hebat kepada Inggeris. Tentera British
menghadapi tindak balas dari tentera Revolusi Indonesia. Hanya dengan campur
tangan Sukarno, kemusnahan yang lebih buruk yang mungkin dihadapi oleh tentera
British dapat dielakkan. Pihak Inggeris sedar selama ini mereka menerima
keterangan yang tidak betul mengenai kedudukan Indonesia. Apa yang dilihat
bahawa seluruh rakyat Indonesia bersama-sama dengan kerajaan dan turut berjuang
dalam revolusi walaupun mereka kekurangan dalam serba-serbi. Sebelum tercebur
lebih jauh dalam revolusi Indonesia maka tentera British akan ditarik keluar
dari Indonesia yang dijadualkan pada 10 November 1946.
Republik Indonesia pimpinan Sukarno terus berusaha agar perundingan dapat
diadakan dengan Belanda supaya dihentikan pertempuran yang menumpahkan darah.
Oleh itu, Sutan Shahrir sebagai Perdana Menteri terus mengadakan perbincangan
dengan Van Mook kemudian dengan Kerajaan Belanda di Holland. Dalam bulan April
1946, perundingan itu gagal kerana Sutan Shahrir tidak dapat menerima syarat
Belanda yang hanya mengakui kekuasaan Republik Indonesia ke atas Jawa dan Madura.
Repulik Indonesia ketika ini dalam keadaan tidak mentap kerana selain
tidak mendapat pengiktirafan Belanda juga disebabkan oleh ancaman dari
pertubuhan-pertubuhan yang tidak begitu bersetuju dengan sikap republik yang
mengadakan perundingan dengan Belanda. Dalam bulan Jun 1946, golongan komunis
pimpinan Tan Malaka telah melakukan satu percubaan rampasan kuasa. Mereka telah
mencuba menculik Shahrir dan beberapa rakannya yang lain. Percubaan Tan Malaka
itu telah dipatahkan oleh republik. Selain komunis terdapat pula pertubuhan
persatuan perjuangan, gabungan beberapa buah parti politik, turut menentang
tindakan republik itu.
Sebelum tentera British meninggalkan Indonesia satu perjanjian telah
ditandatangani antara Republik Indonesia dengan Belanda pada 15 November 1946,
dinamakan Perjanjian Ligardjati. Antara syarat-syarat perjanjian ialah:
1.
Belanda mengakui
Repulik Indonesia sebagai kuasa de facto di daerah Madura, Jawa dan Sumatera.
2.
Pembentukan
Republik Persekutuan Negeri-negeri Bersatu Indonesia yang merangkumi Hindia
Timur Belanda.
3.
Republik Indonesia
dikehendaki bersama-sama dengan negeri Belanda dan negeri lain jajahan Belanda
di Laut Caribean menjadi satu pakatan dengan memakai nama Persatuan Indonesia
Belanda.
4.
Pemulangan semula
harta-benda Belanda kepada yang punya.
Selain perkra-perkara di atas, terdapat beberapa perkara
yang lain dipersetujui antara dua pihak. Antaranya negara baru Republik
Indonesia hendaklah membuat jaminan kepada pelabur-pelabur Belanda di Indonesia
dan kaki tangan Belanda, terus mengadakan hubungan baik dengan negeri Belanda
dan mengambil alih hutang-hutang Belanda yang berjumlah 4300 juta guilders. Dari
jumlah itu, 1291 juta merupakan hutang luar negeri yang mesti dibayar dengan
mata wang asing.
Tidak lama selepas itu iaitu pada bulan Disember 1946, pemerintah Belanda
menubuhkan satu negara “Persekutuan” yang menyatukan wilayah-wilayah Timur
termasuk Bali dan Sulawesi.
Perjanjian Linggardjati telah menjejaskan kedudukan Perdana Menteri
Shahrir yang menerima perjanjian itu. Hal ini disebabkan oleh perjanjian itu
tidak mendapat persetujuan penuh dari orang Indonesia malah mendapat tentangan
hebat dari Parti Masjumi, PNI dan golongan komunis. Selain itu, pihak Belanda
sendiri telah mengenakan tekanan-tekanan politik dan tuntutan-tuntutan yang
sukar untuk dilaksanakan oleh Shahrir. Oleh sebab masalah-masalah tersebut
menyebabkan Shahrir meletakkan jawatan dan dengan ini memberi peluang kepada
Amir Syarifuddin menjadi Perdana Menteri dan membentuk kabinet pada 3 Julai
1947.
Kabinet Amir juga tidak dapat bertahan lama kerana adanya tentangan dari
Parti Masjumi dan menghadapi banyak krisis terutama dengan Belanda. Keadaan ini
akhirnya melemahkan kedudukan Amir sendiri. Ketika ini hubungan Belanda-Republik
Indonesia dalam keadaan genting terutama sifat Sukarno yang tidak percaya kepada
janji-janji Belanda. Oleh sebab dipengaruhi oleh perasaan bimbang menyebabkan
pada Julai 1947 pihak Belanda telah melancarkan “Tindakan Tentera” terhadap
Republik Indonesia yang telah menampakkan sikap tidak mahu bekerjasama. Pihak
Belanda memberi alasan bahawa tindakannya itu disebabkan adanya ancaman komunis
dan keadaan kacau-bilau dalam negeri. Belanda telah berjaya menawan bahagian
Barat dan Timur Jawa serta bahagian Timur dan Selatan Sumatera yang kaya dengan
minyak.
Tindakan tentera oleh Belanda telah mendapat perhatian antarabangsa. Oleh
sebab itu, pada Ogos 1947, Majlis Keselamatan PBB telah mengesyorkan satu
gejatan senjata. Seterusnya atas dya usaha Belgium, Australia dan Amerika
Syarikat telah diadakan perundingan antara Republik Indonesia dengan Belanda pada
17 Januari 1948 di atas kapal perang Amerika bernama Renville. Wakil Belgium
telah diamanahkan mewakili pihak Belanda sementara wakil Australia mewakili
Republik Indonesia. Mengikut perjanjian tersebut, Republik Indonesia hanya
dihadkan kepada Jawa Tengah dan beberapa bahagian Sumatera. Belanda dan Republik
Indonesia bersetuju bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan lain di Indonesia iaitu
Persekutuan Negeri-negeri Bersatu.
Seperti Perjanjian Linggardjati, perjanjian yang baru itu juga tidak
memberi apa-apa erti kepada Indonesia. Pihak “Persekutuan” tetap menentang
Republik Indonesia kerana mereka bimbang orang Jawa yang merupakan setengah dari
jumlah penduduk seluruh Indonesia, akan lebih berkuasa. Pihak Belanda yang
mengetahui hal ini terus menakut-nakutkan pihak “Persekutuan” akan keburukan
yang akan diterima jika mereka bersatu atau bekerjasama dengan pihak republik.
Belanda memang mencari jalan untuk memecahkan perpaduan di kalangan orang
Indonesia.
Bagi pihak Belanda halangan besar ialah pihak Republik. Belanda sedar
bahawa mereka tidak akan dapat kerjasama dan tolak ansur dari Sukarno dan
pemimpin nasionalis yang lain terutama dari golongan komunis. Keadaan ini
mempengaruhi pihak Belanda bersiap sedia untuk melancarkan tindakan tentera
sekali lagi.
Ketika ini pemimpin PKI secara sulit telah merancang untuk mengadakan
satu revolusi yang bertujuan untuk menumbangkan Perdana Menteri Muhammad Hatta.
Mereka menentang Hatta kerana beliau cuba melaksanakan persetujuan yang telah
dicapai dalam Perjanjian Renville terutama mengenai pengunduran tentera Republik
Indonesi dari kawasan Belanda. Hatta cuba mengadakan perundingan dengan Fronk
Demokratik Rakyat (FDR) pimpinan Amir yang terdiri daripada anggota PKI dan
sosialis tetapi gagal.
Akhirnya pada 18 September 1948, meletus pemberontakan komunis di Mediun
tetapi pemberontakan ini dapat dipatahkan oleh Hatta. Beberapa pemimpin termasuk
Musso telah terbunuh. Peristiwa percubaan pihak komunis untuk merampas kuasa
telah mempengaruhi pihak Belanda melancarkan “Tindakan Tentera II” pada
bulan Disember 1948. Belanda telah membatalkan Perjanjian Renville. Sukarno dan
pemimpin Republik Indonesia yang lain telah ditangkap dan menawan beberapa
wilayah Republik. Tetapi Syarifuddin Prawinegoro telah berjaya melarikan diri
lalu menubuhkan Pemerintahan Darurat Republik Indonesia berpusat di Sumatera.
Tindakan Tentera oleh Belanda sekali lagi tidak disetujui oleh dunia
malah India dan Australia menganggap tindakan Belanda itu satu perkara yang
berat. Kedua-dua negara tersebut telah menyeru kepada Setiausaha Agung PBB
supaya campur tangan. Dengan adanya tekanan antarabangsa terutama dari Amerika
Syarikat menyebabkan Belanda menghentikan tindakan tenteranya. Pada bulan Mei
1949, persetujuan dicapai antara Belanda dan Indonesia. Kerajaan Belanda
bersetuju membebaskan pemimpin Indonesia dan ini membolehkan Sukarno dan Hatta
berkuasa semula menjelang bulan Julai 1949.
Kemudian satu perundingan antara pihak Republik Indonesia dan Negara
Persekutuan diadakan dalam bulan Julai dan Ogos. Dalam pertemuan itu, kedua-dua
pihak bersetuju terhadap pembentukan sebuah negara Persekutuan Negara-negara
Bersatu.
Di samping itu, satu jawatankuasa telah ditubuhkan yang dianggotai oleh
wakil-wakil dari Australia, Belgium dan Amerika Syarikat. Jawatankuasa tersebut
telah berjaya mengatur satu persidangan antara Indonesia dengan Belanda di
Hague, ibu negeri Belanda, pada 2 Disember 1949. Satu perjanjian telah
ditandatangani dan antara syarat-syarat perjanjian ialah:
1.
Penyerahan kuasa
sepenuhnya dari Kerajaan Belanda kepada Kerajaan Indonesia yang baru akan
dilaksanakan sebelum akhir tahun 1949.
2.
Penyerahan kuasa
itu tidak termasuk wilayah Irian Barat. Perkara ini akan dibincangkan semula
dalam jangka waktu satu tahun.
3.
Kerajaan Belanda
dan Negara Persekutuan bersetuju bekerjasma di dalam Persatuan Indonesia Belanda
dan Kerajaan Indonesia bersetuju memikul segala hutang piutang Kerajaan Hindia
Belanda.
4.
Pihak Belanda
dibenarkan menjalankan kepentingan-kepentingan ekonomi yang mereka punya di
Indonesia.
Pada 27 Disember 1949, berlangsung upacara pemindahan kuasa di istana
diraja di Amsterdam, negeri Belanda. Negeri Belanda diwakili oleh Queen dan
Perdana Menteri. Republik Indonesia diwakili oleh Perdana Menteri Hatta dan
Negara Persekutuan diwakili oleh Sultan Abdul Hamid (Sultan Pontianak).
Hasil dari Perjanjian Hague itu maka lahirlah dengan rasminya negara yang
berdaulat dan merdeka iaitu Republik Persekutuan Negeri-negeri Bersekutu
Indonesia yang merangkumi seluruh wilayah Indonesia kecuali Irian Barat. Sukarno
telah dilantik menjadi Presiden sementara Hatta sebagai Naib Presiden.
Sungguhpun Indonesia telah merdeka namun politik dalam negeri belum lagi
stabil sebab adanya curiga antara golongan republik dan persekutuan. Dalam bulan
Jun 1950, seorang pegawai Belanda iaitu Westerling telah cuba menggulingkan
Kerajaan Indonesia dengan menakluki Selatan Bandung. Percubaan itu dapat
dipatahkan dan beliau melarikan diri ke Singapura. Sultan Abdul Hamid pula
terlibat dalam komplot untuk membunuh Sukarno dan pemimpin Indonesia, dan
baginda ditangkap dan negaranya disatukan dengan republik.
Tentangan dan percubaan Sukarno untuk menguasai negara-negara persekutuan
telah menimbulkan tentangan. Tindakan itu telah mencetuskan pemberontakan di
Jawa Barat, Sulawesi Selatan dan Maluku. Sungguhpun demikian, akhirnya satu
persetujuan telah dicapai untuk membentuk negara Republik Indonesia yang tunggal.
Pada 17 Ogos 1950, Presiden Sukarno telah mengisytiharkan wujudnya sebuah negara
tunggal Republik Indonesia.
oleh SP Star
10/06/2001 12:07:01