EMPAYAR MELAKA

 

Latar Belakang

Melaka diasakan oleh Parameswara pada tahun 1400. Parameswara merupakan putera Raja Pelambang yang berketurunan Sailendra yang memerintah Kerajaan Srivijaya. Melaka telah mencapai zaman kegemilangannya selepas kejatuhan Majapahit iaitu kira-kira tahun 1414 Masihi. Ketika itu, Melaka diperintah oleh Sultan Muzaffar Syah. Baginda telah berjaya meluaskan kuasanya di negeri sekitar Melaka. Ekspedisi perluasan kuasa ini telah membantu menjadikan Melaka sebuah pusat perdagangan yang penting di Asia Tenggara pada abad ke-15. Sejak pengasasannya, Melaka telah mempunyai sistem pentadbiran yang tersusun, faktor ini menyebabkan Melaka muncul sebagai sebuah empayar yang terkenal. Namun begitu, kegemilangannya hanya bertahan untuk beberapa tempoh sahaja. Hal ini adalah disebabkan pada tahun 1511, Melaka telah mengalami kejatuhan akibat serangan daripada Portugis.

 

Ciri-ciri

Pemerintah yang Cekap

Negeri Melaka telah diterajui oleh sultan-sultan yang cekap dan berwibawa. Antaranya yang terkenal ialah Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah dan Sultan Alauddin Syah. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, baginda berjaya menyelesaikan masalah perpecahan di kalangan pembesar Melaka. Sebagai contoh, menyatukan Tun Perak dengan Tun Ali untuk jawatan Bendahara. Ketika Sultan Mansur Syah, baginda telah berjaya meluaskan kawasan taklukan Melaka. Antaranya ialah Bernam, Perak, Siak, Rupat dan Rokan. Baginda juga berjaya mematahkan usaha Inderagiri, Kampar dan Pahang yang cuba melepaskan diri daripada kekuasaan Melaka. Pemerintahan yang paling cekap ialah ketika pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah antara tahun 1477 hingga 1488. Baginda merupakan seorang sultan yang mementingkan keamanan. Baginda juga telah dikatakan menyamar dan meronda pada waktu malam untuk menjalankan penyiasatan agar keamanan Melaka sentiasa terpelihara. Ketegasan baginda juga telah berjaya melahirkan pembesar yang bertanggungjawab.

 

Kedudukan Ekonomi yang Kukuh

Usaha menjalankan kegiatan perdagangan sebagai sumber ekonomi utama. Pedagang-pedagang yang berdagang akan dikenakan cukai yang berpatutan. Selain itu, Melaka juga mempunyai pelabuhan yang menjalankan aktiviti entreport yang terkenal pada abad ke-15. Terdapat 2 jenis cukai iaitu duti import dan hadiah kepada sultan. Melalui cukai ini, ekonomi Melaka akan semakin kukuh. Selain itu, terdapat juga urusniaga yang dijalankan melalui sistem tukar barang dan penggunaan mata wang. Pada mata wang tersebut terpahat nama Sultan yang memerintah.

 

Mempunyai Angkatan Tentera yang Kuat

Sesebuah empayar perlu mempunyai angkatan tentera yang kuat untuk mempertahankan empayarnya daripada dicerobohi oleh musuh. Melaka memiliki angkatan laut yang besar. Orang laut menjadi tenaga penting dalam angkatan laut Melaka. Selain itu, Melaka turut mempunyai pahlawan-pahlawan yang gagah perkasa, berani dan setia kepada sultan. Antara pahlawan-pahlawan yang terkenal ialah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Sebahagian besar kelengkapan tentera Melaka terdiri daripada kapal, bahtera, ghali, ghalias, jong dan lancara. Peralatan senjatanya pula terdiri daripada panah, keris, lembing, meriam, lela, rentakal, istinggar dan pemuras. Kekuatan tentera Melaka terbukti semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah apabila Melaka dapat mematahkan serangan Siam sebanyak 2 kali tanpa bantuan China.

 

Mempunyai Undang-undang yang Teratur

Melaka menjadi sebuah negeri yang kuat kerana mempunyai undang-undang yang teratur. Terdapat 2 undang-undang yang dilaksanakan di Melaka iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Kedua-duanya digubal untuk melicinkan pentadbiran dan mewujudkan keamanan. Hukum Kanun Melaka menyentuh tentang tanggungjawab pemerintah dan pembasar, larangan rakyat menggunakan bahasa dalaman serta undang-undang Islam dan hukum adat. Namun begitu, Undang-undang Laut Melaka pula menyentih perkara yang berkaitan dengan laut seperti kedudukan pengawai atas kapal, kuasa pegawai-pegawai dan hukum pembahagian hak perniagaan. Selain itu, larangan dalam pelayaran juga dinyatakan.

 

Sistem Pentadbirna yang Cekap, Kemas dan Jujur

Sejak awal pengasasan Melaka lagi, telah wujud pentadbiran yang tegas dan teratur. Kerajaan Melaka telah diketuai oleh seorang sultan yang akan dibantu oleh para pembesar. Para pembesar mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing. Bendahara merupakan penolong sultan dan penasihat baginda. Penghulu Bendahari bertanggungjawab menjaga semua harta kerajaan. Temenggung pula ditugaskan menjaga keamanan di darat dan turut menjadi pengawal peribadi sultan. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, baginda telah memperkenalkan jawatan Laksamana. Tugas utama Laksamana ialah menjadi ketua angkatan laut. Selain itu, pembesar-pembesar berempat ini dibantu oleh pembesar delapan dan seterusnya.

 

Hubungan dengan Jajahan Taklukan

Melaka telah menjalankan hubungan yang baik dengan jajahan taklukan yang ditakluknya seperti Pasai, Siak dan Kampar. Hubungan dengan Pasai wujud sejak xaman Megat Iskandar Syah apabila baginda memeluk agama Islam dan berkahwin dengan puteri Pasai. Melaka menjalankan hubungan dengan tanah jajahan taklukannya adalah kerana kerajaan-kerajaan ini menyediakan barang-barang untuk diperdagangkan, antaranya ialah Pasai yang membekalkan lada hitam, beras dan emas.

 

Melaksanakan Dasar Perluasan Kuasa dan Wilayah

Melaka menjalankan hubungan persahabatan dengan kerajaan luar sejak pemerintahan Parameswara lagi. Pemerintah Melaka berjaya meluaskan empayarnya hingga ke beberapa buah negeri di Tanah Melayu dan Sumatera. Di antaranya termasuklah Pahang, Kedah dan Perak. Di Sumatera pula seperti Aru, Kampar, Siak, Inderagiri, Rokan dan Pasai. Penguasaan Melaka terhadap Siak membolehkan Melaka mengawal pengeluaran emas dari Siak untuk dibawa ke Melaka. Hubungan Melaka dengan Kampar terjalin selepas Kampar ditakluki oleh Melaka. Penaklukan ini membolehkan Melaka mengawal eksport lada hitam dan emas yang dihasilkan di daerah pedalaman seperti Minagkabau. Melaka turut mengukuhkan kuasa di kawasan taklukan dengan menyerahkan wilayah-wilayah taklukan di bawah pentadbiran pembesar-pembesar Melaka. Sebagai contoh, negeri Pahang ditadbir oleh seorang pembesar iaitu Seri Bija Diraja. Hubungan Melaka dengan negeri-negeri taklukannya menjadikan Melaka sebuah kerajaan yang terkuat pada ketika itu.

Hosted by www.Geocities.ws

1