Masyarakat Berbilang Kaum

 

Pengenalan

Kehadiran kuasa Barat di Asia Tenggara bermula kira-kira abad ke-17. Mereka telah memperkenalkan ekonomi komersil, pertanian niaga yang bertujuan untuk di eksport dan sebagainya. Semua kegiatan ini memerlukan tenaga manusia, maka mereka pun cuba mendapat tenaga manusia dari kalangan pribumi tetapi usaha mereka gagal. Dengan itu, mereka pun menggunakan alternatif lain dengan membawa buruh dari India dan China. Penghijrahan beramai-ramai telah berlaku, maka masyarakat berbilang kaum mula wujud di negara Asia Tenggara seperti Myanmar, Indonesia, Filipina dan Siam.

 

Myanmar

Pihak British telah berperang dengan Myanmar mulai tahun 1824. Pada tahun 1885, seluruh negara Myanmar terjatuh ke dalam tangan British. Selepas itu, mereka pun memberi perhatian mereka ke dalam bidang ekonomi. Kegiatan ekonomi memerlukan ramai tenaga buruh, dengan itu mereka pun membawa ramai orang India masuk ke dalam Myanmar. Mengikut Gillbert Khoo dan Doroty, pada tahun 1823, sudah terdapat kira-kira 2000 orang India dan 200 orang Cina di Myanmar. Kemudian pada tahun 1870, terdapat kira-kira 15000 orang India masuk ke Myanmar. Angka ini kemudian meningkat menjadi 430 ribu pada tahun 1927. Bagi orang Cina, pada tahun 1937, terdapat lebih kurang 200000 orang. Orang India telah menjadi buruh dalam ladang-ladang, penanaman padi dan pekerja peringkat rendah manakala kebanyakan orang Cina terlibat dalam sektor perlombongan dan perniagaan. Di Myanmar, terdapat satu lagi golongan yang penting iaitu golongan ceti. Golongan ini menjadi peminjam wang. Mereka meminjamkan wang kepada orang lain dan kalau peminjam ini tidak dapat menjelaskan hutang, maka tanah akan dirampas. Menjelang zaman kemelesetan ekonomi dunia, lebih kurang 6% daripada tanah di Lembah Irrawaddy dikuasai oleh golongan ini. Kehadiran orang India dan Cina telah mewujudkan masyarakat berbilang kaum di Myanmar.

 

Indonesia

Pengenalan ekonomi laissez faire di bawah Dasar Liberal telah menjadi daya tarikan bagi penghijrahan masuk orang Cina ke Pulau Jawa dan pulau-pulau yang lain. Kebanyakan orang Cina di Pulau Jawa bekerja sebagai buruh ladang dan lombong, orang tengah, mengutip cukai bagi pihak Belanda dan sebagainya manakala bagi orang Cina di luar Pulau Jawa, mereka menjadi buruh di ladang dan lombong. Mengikut Tate dalam bukunya “The Making of Modern South East Asia”, pada tahun 1773, terdapat 80000 orang Cina di Betawi. Kemudian pada tahun 1850, jumlah ini dianggarkan sebagai 150000 orang. Dalam jangka masa 1900-1920, dianggarkan terdapat 28 ribu orang Cina masuk ke Indonesia. Angka ini meningkat menjadi 40000 setahun menjelang 1920-1930. Pada tahun 1900, terdapat lebih kurang 277 ribu orang Cina di Pulau Jawa manakala di luar Pulau Jawa, terdapat lebih kurang 250 ribu orang. Kaum Cina telah bersama penduduk pribumi membentuk satu masyarakat berbilang kaum.

 

Filipina

Di Filipina, wujudnya sejenis perdagangan yang dikenali sebagai perdagangan geliong iaitu perdagangan antara Manila, Mexico dan Sepanyol. Perdagangan ini diuruskan oleh Syarikat Perkapalan Sepanyol. Apabila orang Cina masuk, mereka menjadi orang tengah. Kemudian, orang Cina kekal di bahagian Utara Filipina khususnya Pulau Luzon, Panay, Cebu dan Utara Mindanao. Kewujudan orang Cina, peranakan-Cina, Sepanyol, peranakan-Sepanyol dan pribumi telah merangsangkan pembentukan masyarakat berbilang bangsa di Filipina.

 

Siam

Di Siam, orang asing mula masuk pada tahun 1855. Kemasukan orang asing merangsangkan peningkatan aktiviti ekonomi, khususnya migran dari negeri China. Orang Cina melibatkan diri dalam perniagaan dan perdagangan, kegiatan perlombongan sehingga akhirnya menguasai ekonomi Siam. Lebih kurang pada 1920-an, pihak Siam memperkenalkan dasar Thailandisasi. Sejak itu, berlakulah asimilasi antara kaum bumiputera dan orang Cina.

 

oleh SP Star

05/11/2001 14:27:03

Hosted by www.Geocities.ws

1