Masalah Kerajaan China 1927-1936

 

Pengenalan

Sun Yat Sen meninggal dunia pda 12 Mac 1925. Kepimpinan Kuomintang (KMT) telah berpecah kepada 2 puak, iaitu puak kiri di bawah pimpinan Wing Ching Wei dan puak kanan di bawah pimpinan Chiang Kai Shek. Chiang Kai Shek berjaya mengambilalih pucuk kepimpinan KMT. Beliau merupakan pengetua Akademik Whampao dan Ketua Komander Tentera KMT. Beliau dilahirkan di wilayah Chekiang pada tahun 1887 dan menerima pendidikan ketenteraan di negara Jepun.

 

Masalah-masalah

Sewaktu Chiang Kai Shek mengamblialih kepimpinan parti KMT, beliau diancam oleh hulubalang-hulubalang. Semasa kematian Sun Yat Sen, KMT belum dapat menyatukan seluruh negeri China. Sebahagian besar negara China diperintah oleh hulubalang-hulubalang. Sebagai contoh, hulubalang Chang Tso Lin menguasai wilayah Peking, Manchuria, Shantung dan sebahagian wilayah Chihli, hulubalang Sun Chuan Fang pula menguasai wilayah Fukien, Kiangsi, Chekiang, Kiangsu dan Anhwei dan lain-lain lagi. Selagi hulubalang-hulubalang ini tidak ditewaskan, maka selagi itulah negara China tetap akan berpecah-belah. Justeru itu, pada bulan Jun 1926, Chiang Kai Shek dengan seramai 85000 tentera dan dibantu oleh 6000 orang kadet dari Akademik Tentera Whampao telah melancarkan Ekspedisi Utara bagi menentang hulubalang-hulubalang dan menyatukan negara China. Pada tahun 1928, kebanyakan hulubalang telah dikalahkan oleh Chiang kecuali hulubalang Chang Tso Lin. Pada bulan Jun 1928, Chang Tso Lin terbunuh dalam letupan bom di Shanghai. Anaknya Chang Hsueh Liang yang menyedari tentang mustahaknya penyatuan dan perpaduan telah tunduk di bawah kekuasaan Chiang Kai Shek. Dengan jatuhnya Peking ke tangan tentera KMT pada tahun 1928, bermakna kempen yang dimulakan pada tahun 1926 telah tamat. Chiang Kai Shek telah menjadikan Nanking sebagai pusat pentadbiran kerajaannya. Kerajaan KMT yang dipimpin oleh Chiang Kai Shek ini dikenali sebagai Kerajaan Kebangsaan/Nasionalis China. Kerajaan ini mendapat pengiktirafan kuasa-kuasa asing sebagai pemerintah negeri China sehinggalah ke tahun 1949. Kerajaan ini menghadapi pelbagai masalah besar. Masalah ini menyebabkan Chiang Kai Shek gagal mewujudkan sebuah kerajaan yang mantap dan stabil.

            Masalah semasa yang utama ialah hendak menghancurkan pengaruh Komunis di China. Perikatan KMT-PKC tidak pernah disenangi oleh Chiang Kai Shek yang anti-Komunis. Chiang Kai Shek berasa bimbang terhadap pengaruh Komunis yang semakin berkembang dan yakin bahawa perjuangan mereka adalah untuk mengambilalih kuasa di China. Justeru itu, pada tahun 1927, Chiang Kai Shek merasakan kerjasama dengan golongan Komunis tidak diperlukan lagi dan mengambil keputusan menyingkirkan mereka dan penentang-penentang dari KMT. Beliau bertindak menjalankan kempen anti-Komunis dengan cara menindas dan membunuh ramai Komunis dan golongan yang menyokong Komunis di Shanghai, Nanking, Foochow dan Canton.

            Tindakan Chiang Kai Shek menyingkirkan Komunis telah menimbulkan kemarahan mereka. Pada 1 Ogos 1927, golongan Komunis yang dibantu oleh tentera dan petani cuba merampas kuasa di Nanking, tetapi gagal. Pada November 1927, Komunis berjaya menguasai Canton selama 3 hari sahaja. Dalam tempoh 3 hari, kira-kira 15000 terbunuh dan kerosakan dianggarkan kira-kira $250 yuan. Pada tahun 1928, Mao Tse Tung telah menjadikan Yuichin di Kiangsi sebagai pusat pentadbiran. Pelbagai usaha dan pemberontakan dijalankan oleh Komunis untuk menentang Chiang Kai Shek, tetapi semuanya gagal.

            Chiang menumpukan perhatiannya untuk menghapuskan Komunis dan untuk tujuan tersebut, beliau telah meminta bantuan Jerman. Dengan bantuan Jerman, Chiang Kai Shek telah memulakan serangannya ke atas kedudukan Komunis di negeri China. Antara tahun 1930-1934, Chiang Kai Shek telah melancarkan serangan ke atas kedudukan Komunis. Namun begitu, kedudukan Chiang dan KMT agak terancam apabila tentera Jepun melancarkan serangan ke atas Manchuria pada tahun 1931. Tentera KMT tidak dapat mempertahankan China dari serangan Jepun sedangkan tentera Jepun sudah mendekati bandar Peking. Oleh sebab tidak ada jalan lain, Chiang Kai Shek telah mengadakan gencatan senjata dengan Jepun. Dengan perdamaian ini bermakna Chiang Kai Shek dapat meneruskan usahanya menentang Komunis.

            Pada tahun 1934, Chiang telah melancarkan serangan kelimanya ke atas pangkalan tentera Komunis di Juichin, Hunan, Kiangsi yang menyebabkan pihak Komunis mengalami kekalahan teruk. Pada 15 Oktober 1934, Mao Tse Tung bersama-sama 8500 tentera dan 15000 kerajaan dan parti telah berundur dari Juichin ke Shensi Utara sejauh 12800 km/6600 batu dalam peristiwa yang dikenali sebagai “PERJALANAN JAUH DENGAN BERBARISAN”/”LONG MARCH”. Mereka tiba di Shensi Utara pada bulan Oktober 1935 yang mengorbankan kira-kira 70000 orang. Mao Tse Tung telah mengisytiharkan “REPUBLIK RAKYAT SOVIET CHINA” dan Yunan dijadikan sebagai pusat pemerintahan.

            Chiang berusaha untuk menghapuskan Parti Komunis China (PKC) dengan cara memerintah Chang Hsueh Liang tetapi beliau enggan. Sebaliknya beliau bertindak bekerjasama dengan Komunis untuk menentang Jepun. Chiang mengeluarkan arahan supaya Chang ditangkap, malangnya tindakan Chiang telah menimbulkan perbalahan. Akhirnya, Chiang telah diculik. Chiang dibebaskan atas jasa baik T.V. Sang dan Puan Chiang. Persetujuan telah dicapai di mana Chiang diminta menghapuskan polisinya untuk menghapuskan Komunis dan menubuhkan pakatan bersatu dengan Komunis menentang Jepun. Untuk merapatkan lagi hubungan dan kerjasama, pada tahun 1937, Chiang telah menjemput pihak Komunis menghadiri kongres rakyat. Dalam kongres tersebut datu perlembagaan baru telah digubal.

            Satu lagi masalah besar yang dihadapi oleh China ialah tekanan pengaruh asing iaitu kuasa-kuasa Barat dan Jepun. China terpaksa menandatangani perjanjian-perjanjian yang berat sebelah. Melalui perjanjian tersebut, kuasa-kuasa Barat dan Jepun menikmati kemudahan tarif dan wilayah asingan sejak pertengahan abad ke-19 lagi. Hal ini amat menjejaskan kedaulatan China. Kerajaan nasionalis yang dipimpin oleh Chiang berusaha menghapuskan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani dengan kuasa-kuasa Barat dan Jepun untuk membebaskan China dari cengkaman tersebut.

            Pada 7 Julai 1928, kerajaan nasionalis telah mengisytiharkan tamatnya tarif bagi kuasa-kuasa Barat di China. Menjelang tahun 1933, China telah memperolehi semula autonomi tarifnya dari kuasa-kuasa Barat. Menjelang akhir tahun 1930-an, hanya Britain, Jepun, Perancis dan Amerika yang masih mengekalkan hak wilayah asingan di China. Perjanjian-perjanjian dengan kuasa-kuasa Barat hanya dapat dihapuskan sepenuhnya pada tahun 1943.

            Perluasan kuasa Jepun di negeri China pada tahun 1930-an telah mengancam kedudukan kerajaan nasionalis. Pada tahun 1931, Jepun telah menyerang dan menawan Manchuria. Sementara pada tahun 1937, Perang China-Jepun Kedua telah meletus. Pencerobohan Jepun menyebabkan Chiang terpaksa membahagikan tenteranya untuk melindungi Peking dan Nanking semasa menyerang PKC. Hal ini bererti Chiang tidak dapat menggunakan sepenuhnya kekuatan tenteranya bagi menghapuskan pengaruh PKC. Hal ini menjejaskan peluang kerajaan nasionalis kejayaan.

            Chiang lebih mengutamakan usaha-usaha menghapuskan PKC daripada menentang pencerobohan Jepun. Hal ini menyebabkan KMT dan kerajaan nasionalis mula kehilangan kepercayaan dan sokongan rakyat. Malahan, ia telah membawa kepada perpecahan tentera kerajaan nasionalis.

            PKC sebaliknya menggunakan peluang ini untuk melaungkan perikatan KMT-PKC bagi mempertahankan China dari serangan Jepun. Tindakan PKC ini menyebabkan PKC menjadi semakin popular di kalangan rakyat China.

            Pencerobohan Jepun juga menambahkan lagi kemerosotan ekonomi China kerana kerajaan nasionalis terpaksa berhadapan dengan ancaman Jepun terlebih dahulu dengan hasil ekonominya. Hal ini menyebabkan reformasi sosial terpaksa diabaikan. Hal ini juga menyebabkan kaum petani telah hilang kepercayaan terhadap kerajaan nasionalis dan sebaliknya semakin ramai bertindak menyokong PKC kerana PKC berjaya menubuhkan sistem pemerintahan dan melancarkan reformasi tanah untuk kaum petani.

            Pada tahun 1937, PKC telah menjalinkan perikatan dengan KMT untuk menentang Jepun. Kesempatan ini digunakan oleh PKC untuk mengembalikan pengaruhnya di negeri China, meluaskan pangkalannya, mengatur strategi untuk meluaskan kawasan penaklukan dan seterusnya merampas kuasa dari KMT.

            Ringkasannya, pencerobohan Jepun merupakan satu faktor dan masalah utama yang melemahkan KMT sehingga membolehkan PKC mendirikan kerajaan Komunis di China pada tahun 1949.

 

oleh SP Star

03/11/2002 10:39:53

Hosted by www.Geocities.ws

1