EMPAYAR MAJAPAHIT

 

Latar Belakang

Kerajaan ini muncul sebagai kuasa yang kuat selepas kemerosotan Kerajaan Singhasari pada tahun 1292. Pengasas kerajaan ini ialah Raden Vijaya. Kerajaan ini mencapai zaman kegemilangan semasa pemerintahan Hayam Wuruk (1350-1389). Kerajaan ini runtuh pada tahun 1478.

 

Ciri-ciri

Melaksanakan Dasar Perluasan Kuasa

Empayar Majapahit dibentuk menerusi hubungan khas dengan kerajaan di sekitarnya. Sebelum Srivijaya, Singhasari merupakan kerajaan yang kuat di Jawa. Rajanya yang bernama Kertanegara berjaya menyatukan daerah-daerah kecil di sekitarnya. Pada tahun 1275, Kertanegara mengalahkan Srivijaya. Seterusnya, Singhasari telah runtuh pada tahun 1292 kerana diserang oleh Kerajaan Kediri. Raden Wijaya (menantu Kertanegara) mendirikan Kerajaan Majapahit dengan pertolongan tentera Monggol dari China. Pada kurun ke-14, Majapahit berjaya menyatukan seluruh Asia Tenggara dengan menggunakan kekuatan tentera laut di bawah pimpinan Panglima Nala. Penyatuan ini dilakukan dengan cara: bersahabat dengan Melayu-Jambi pada tahun 1377 (Raja Muda Adityawarman sebagai ketuanya), bersahabat dengan Kerajaan Tanjungpura di Kalimantan Barat, bersahabat dengan negara di Indo-China seperti Syangka, Martaban, Rajapura, Dharmanagari, Singanagari, Kemboja, Yuwana, Langkasuka dan Tambralinga.

 

Pemerintah yang Cekap

Hayam Wuruk merupakan pemerintah Majapahit yang terkenal. Baginda memerintah Empayar Majapahit antara tahun 1350 hingga 1398. Baginda juga dikenali sebagai Raja Sanagara. Baginda dengan bantuan Patih Gajah Mada, Perdana Menteri Majapahit, berjaya menguasai wilayah yang hampir sama dengan Republik Indonesia pada hari ini. Hayam Wuruk ialah seorang pemerintah yang berjiwa rakyat, sentiasa melakukan lawatan ke daerah-daerah naungannya, mengadakan kemudahan-kemudahan perdagangan, mengadakan projek pertanian, membahagikan kawasan dan daerah ditadbir oleh pembesar (bupati), bersifat adil dan bercita-cita besar. Selepas kemangkatan baginda pada tahun 1398, baginda diganti oleh pengganti yang bukan berkaliber dan inilah merupakan salah satu faktor yang menyebabkan Empayar Majapahit merosot.

 

Ekonomi yang Kukuh

Selepas menguasai Srivijaya pada tahun 1377, Majapahit menjadi pusat perdagangan yang penting di Asia Tenggara. Majapahit menguasai Selat Melaka dan Selat Sunda yang begitu penting dalam perdagangan. Kerajaan ini dikunjungi oleh saudagar dari Asia Tenggara, China, India dan Asia Barat. Selain itu, Majapahit juga menjalin hubungan perdagangan dengan Thai, Burma, Kemboja, Champa dan sebagainya.

 

Tentera yang Kuat

Angkatan tentera yang dimiliki oleh Kerajaan Majapahit adalah besar dan ramai. Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan perluasan kuasa, Majapahit kurang menggunakan kuasa tenteranya. Sebaliknya, mereka meluaskan kuasanya melalui mitos atau perkahwinan. Angkatan Tentera ini diwujudkan semata-mata untuk mempertahankan kedaulatan kerajaannya.

 

Undang-undang yang Teratur

Undang-undang di Majapahit disusun oleh Patih Gajah Mada (1331-1364) iaitu Perdana Menteri Kerajaan Majapahit. Beliau telah mengarang sebuah kitab yang berjudul Kutaramanawa yang telah menjadi buku rujukan perundangan Kerajaan Majapahit. Dalam kitab ini, ia menceritakan pemberian kepada pegawai-pegawai, yayasan agama, penyelenggaraan pasukan tentera, perlindungan pengusahaan, pemilikan tanah, pembayaran hasil-hasil diraja, penaksiran cukai dan sebagainya. Dalam bidang kehakiman, segala hukuman yang hendak dijatuhkan perlu rujuk kepada buku pedoman adat-istiadat tempatan. Buktinya, kewujudan sektor kehakiman ialah pengukiran di atas sekeping tembaga yang menunjukkan bagaimana hakim diperintah menguruskan kes awam.

 

Pentadbiran Sistematik/Kemas

Dalam pentadbiran, Prapancha memberikan penerangan yang selanjutnya berkenaan jawatan dan tugas kerabat diraja. Bapa raja bertanggungjawab menguruskan hal-hal keadilan, cukai dan pengelasan penduduk. Bapa saudara raja pula bertanggungjawab menjaga hal-hal tanah dan jalan raya serta jambatan. Tanah kampung dan tanah suci telah diukur untuk membezakannya. Kerja-kerja lain akan diserahkan kepada pelbagai lapisan masyarakat tertentu.

Hosted by www.Geocities.ws
GridHoster Web Hosting
1