LANGKASUKA
Latar Belakang
Langkasuka merupakan kerajaan terawal di Tanah Melayu. Ia wujud sejak tahun 100 M. Ia merupakan sebuah kerajaan maritim, iaitu kerajaan yang terletak di persisiran pantai dna berasaskan kegiatan ekonomi perdagangan. Ia merupakan sebuah kerajaan berunsur keindiaan dan terletak di Timur Laut Semenanjung Tanah Melayu berhampiran dengan Pattani. Langkasuka diasakan oleh putera Raja Mahadewa Mahawangsa yang berasal dari India. Pemerintah yang termasyhur ialah Bhagadatta.
Ciri-ciri
Kedudukan yang Strategik
Langkasuka dikatakan mempunyai kedudukan yang strategik iaitu terletak di Timur Laut Semenanjung Tanah Melayu berhampiran dengan Pattani yang merupakan tengah-tengah laluan perdagangan antarabangsa. Ia telah menjadi tumpuan bagi pedagang-pedagang sama ada dari China, India ataupun Alam Melayu.
Unit Bebas/Kerajaan
Langkasuka mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Raja-rajanya beragama Hindu atau Buddha dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Kerajaan India. Raja yang menjadi ketua kerajaan dan dibantu oleh golongan pembesar. Langkasuka tidak pernah dikuasai oleh orang lain. Pemerintah yang masyhur adalah seperti Mahawangsa dan Bhagadatta.
Ekonomi yang Kukuh
Langkasuka merupakan sebuah pusat perdagangan entreport. Ia menjalankan kegiatan perdagangannya menerusi jalan laut. Ia juga menjadi pusat persinggahan yang utama bagi pedagang-pedagang dari Arab, China dan negeri-negeri Kepulauan Melayu. Kemasyhurannya dapat dilihat dalam catatan Sejarah China dimana ia dikenali sebagai Lang Ya-Hsiu. Bagi India, ia dikenali sebagai Langasoka, manakala bagi Arab ia dikenali sebagai Langashuka.
Tentera
Langkasuka mempunyai tenteranya yang sendiri. Pasukan tentera ini diwujudkan dengan tujuan mempertahankan tanah air daripada diserang oleh musuh yang lain. Semasa perang, gajah digunakan sebagai kenderaan utama bagi golongan raja, manakala askar-askar lain terpaksa berjalan kaki. Badan gajah yang kuat membantu tentera mengalahkan musuh.
Agama
Langkasuka mengamalkan agama Hindu dan Buddha. Kerajaan ini dapat dibuktikan menerusi Hikayat Merong Mahawangsa: Kerajaan Langkasuka diasaskan oleh Mahadewa atau Mahawangsa Mahadewa yang berasal dari India. Baginda telah membawa pengaruh Hindu yang kuat ke atas Langkasuka. Langkasuka mempunyai hubungan yang rapat dengan India. Agama Hindu telah dibawa masuk oleh peniaga.
Tidak Ada Perpaduan
Walaupun Langkasuka terletak di tempat yang berhampiran dengan Kerajaan Kedah Tua iaitu di bahagian Utara Kedah Tua, tetapi tidak ada perpaduan yang wujud antara mereka. Kadang-kala berlaku peperangan antara mereka.
Penduduk
Penduduk di negara kota Langkasuka terdiri daripada 2 golongan utama. Salah satu golongan penduduk ini tinggal di dalam kota dan satu golongan penduduk lagi tinggal di luar bandar. Penduduk yang tinggal di dalam kota terdiri daripada raja, tukang dan sami, manakala penduduk yang tinggal di luar kota merupakan rakyat jelata. Penduduk di sini juga terdiri daripada pelbagai ras iaitu Melayu, Cina, India, Arab dan sebagainya, tetapi yang dominan ialah Melayu.
Prasarana
Bandar Langkasuka ini dikelilingi oleh kota-kota yang mempunyai 2 pintu besar yang bertujuan menjamin keselamatan yang baik. Selain itu, kerajaan ini juga mempunyai pelabuhannya di mana ia menjadi tempat bagi pedagang menjalankan kegiatan jual beli mereka, membaiki kapal mereka dan sebagainya. Sebagai sebuah kerajaan yang beragama Hindu-Buddha, Langkasuka turut mempunyai kuil-kuil yang dibina untuk tujuan penyembahan tuhan. Yang penting sekali ialah Langkasuka mempunyai bekalan makanan dan miniman yang mencukupi.