Langkah-langkah Kerajaan Menghadapi Pemberontakan PKM
Parti Komunis Malaya (PKM)
ditubuhkan pada 6 April 1930. Matlamat utama penubuhannya ialah untuk menguasai
Tanah Melayu dan seterusnya menubuhkan Republik Komunis Malaya. Pada masa yang
sama, PKM juga diarahkan untuk menyelia gerakan komunis di Thailand dan
Indonesia. Sejak ditubuhkan, PKM terpaksa menjalankan gerakannya secara sulit
kerana kegiatan anti Britishnya dianggap mengganggu ketenteraman awam. Sebelum
1941, pertubuhan ini kurang mendapat sambutan orang ramai. Semasa pendudukan
Jepun di Tanah Melayu, PKM telah memberhentikan kegiatan anti British.
Sebaliknya, PKM telah bekerjasama dengan British bagi menentang Jepun dengan
menyertai Malayan Anti Japanese Union (MAJU) yang dianjurkan oleh British.
Setelah Jepun menyerah kalah dan British kembali ke Tanah Melayu, PKM telah
diterima sebagai parti yang sah. Sejak itu, PKM berusaha untuk mencapai matlamat
mereka melalui perlembagaan. Kegagalan usaha tersebut menyebabkan PKM mengubah
dasar mereka kepada pemberontakan pada tahun 1948. akibat dari pemberontakan
yang berlaku, keadaan kucar-kacir telah timbul di Tanah Melayu. Dengan itu,
British telah mengambil beberapa langkah bagi menamatkan pemberontakan PKM.
1.
Undang-undang Darurat
Berikutan dengan pembunuhan 3 peladang Eropah di Sungai Siput, Perak pada 16 Jun 1948, kerajaan telah mengisytiharkan drurat di seluruh Tanah Melayu pada 17 Jun 1948. Undang-undang Darurat telah dikeluarkan pada 23 Julai 1948 dan diperkemaskan pada Julai 1949. Mengikut Undang-undang Darurat, kerajaan diberi kuasa untuk menangkap dan menahan tanpa perbicaraan, mereka yang disyaki terlibat dalam kegiatan PKM. Kerajaan juga diberi kuasa untuk membuang negeri mereka yang dianggap kehadirannya membahayakan keselamatan Tanah Melayu. Berikutan dengan pengisytiharaan Darurat, PKM diharamkan dan diikuti dengan pengharaman ke atas parti-parti kiri yang merupakan penyokong kuat PKM seperti Malayan Democratic Union, API dan AWAS. Sekatan kebebasan juga diperkenalkan di kawasan-kawasan yang terlibat dengan kegiatan PKM. Penduduk-penduduk di kawasan ini dikawal oleh pasukan keselamatan dan dikenakan perintah kurung serta catuan makanan. Akta Pendaftaran mula dilaksanakan yang mewajibkan mereka yang berumur 12 tahun keatas, memiliki kad pengenalan. Tujuannya ialah memudahkan usaha mengesan anggota PKM.
Perlaksanaan Undang-undang Darurat telah memberi tamparan terhadap pejuang PKM. Pada tahun 1949, 6000 orang telah ditangkap dan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan PKM. Pada tahun 1950, 70000 orang telah dihantar balik ke negeri China. Pengharaman PKM telah menghalang usaha mereka ke arah mencapai matlamat mengusai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya. Pengharaman ke atas parti-parti kiri menyebabkan PKM kehilangan punca sokongan dan bantuan. Sekatan kebebasan yang dikenakan menyulitkan kegiatan PKM.
2.
Rancangan Briggs
Apabila Harold Briggs menjadi pengarah gerakan menentang PKM sejak 3 April 1950, beliau menjalankan rancangan penempatan semula. Di bawah rancangan ini, penduduk yang tinggal di pinggir-pinggir hutan dan dianggap sebagai punca sokongan PKM telah dipindahkan ke kampung-kampung baru. Kampung-kampung baru ini telah dipagar dan dikawal rapi oleh pasukan keselamatan. Menjelang tahun 1954, 550000 orang dipindah ke 550 kampung baru. Antara mereka, 86% terdiri daripada orang Cina, 9% orang Melayu, 4% orang India dan 1% bangsa lain. 84% daripada kampung-kampung baru terletak di Pantai Barat Semenanjung. Penduduk-penduduk kampung baru juga dikenakan sekatan kebebasan seperti perintah kurung dan catuan makanan.
Perlaksanaan Rancangan Briggs menyulitkan lagi kegiatan PKM. Mereka yang dipaksa menyokong PKM telah diberi perlindungan dan yang secara sukarela menyokong PKM dapat dihalang berbuat demikian. Rancangan Briggs telah melumphkan kegiatan “Min Yuan”. Akibatnya PKM terputus bekalan makanan, ubat, senjata, pakaian dan sebagainya menyebabkan mereka terpaksa keluar untuk mendapatkan bekalan. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa menghadapi pasukan keselamatan. Walau bagaimanapun, terdapat juga kampung-kampung baru yang gagal mencapai matlamatnya kerana kawalan yang tidak rapi membolehkan anggota PKM memasuki kampung baru dan orang ramai membantu PKM. Oleh sebab kampung baru diwujudkan untuk kepentingan keselamatan dan bukannya untuk kepentingan ekonomi, maka kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menyediakan tempat tinggal, makanan, kemudahan kesihatan, bekalan api dan air dan sebagainya.
3.
Pembesaran pasukan keselamatan
Bagi menghadapi pemberontakan PKM, kerajaan mengambil langkah untuk menambahkan bilangan anggota pasukan keselamatan terutamanya semasa Gerald Templer menjadi Pesuruhjaya Tinggi sejak Februari 1952. Pemuda-pemuda Tanah Melayu telah digalakkan untuk mnyertai pasukan keselamatan dan mereka diberi latihan singkat dan dihantar untuk mengawal tempat-tempat strategic seperti pejabat kerajaan, lombong bijih dan ladang getah. Menjelang 1954, Tanah Melayu sudah mempunyai 40 ribu tentera, 70 ribu polis dan 200 ribu pengawal kampung. Bilangan tentera yang ramai dapat digunakan untuk menyerang sarang-sarang persembunyian PKM. Serangan ke atas PKM dibuat melalui darat dan udara. Pada masa itu, majoriti anggota pasukan keselamatan terdiri daripada orang Melayu, British dan Gurkha. Semasa Gerald Templer, bantuan ketenteraan juga diperolehi dari negara-negara Komanwel seperti Rhodesia, Britain, India, Australia dan New Zealand. Kerajaan Tanah Melayu juga telah menandatangani perjanjian dengan Thailand untuk membolehkan pasukan keselamatan melintasi sempadan dalam usaha memburu PKM.
4.
Jawatankuasa Perhubungan Kaum
Pesuruhjaya Tinggi British bagi Asia Tenggara iaitu Malcolm MacDonald telah mencadangkan supaya diambil langkah-langkah bagi mewujudkan hubungan baik antara kaum terutamanya antara orang Melayu dan Cina. Beliau menegaskan usaha menetang PKM tidak akan berjaya selagi hubungan antara kaum runcing. Akibat dari saranan tersebut, pada 1949, pemimpin-pemimpin kaum iaitu Dato’ Onn Bin Jaafar, Tan Cheng Lock dan Thuraisingam telah menubuhkan Jawatankuasa Perhubungan Kaum. Kerjasama antara kaum lebih terbukti dengan terbentuknya parti perikatan UMNO-MCA (1952) dan Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC (1954).
5.
Malayan Chinese Association (MCA)
Malcolm MacDonald juga mencadangkan supaya ditubuhkan satu pertubuhan sederhana yang anti komunis untuk orang-orang Cina supaya mereka tidak menaganggap PKM sebagai parti orang Cina. Akibatnya, MCA ditubuhkan pada 27 Februari 1949 di bawah pimpinan Tan Cheng Lock sebagai presiden pertama. Orang-orang Cina telah digalakkan untuk menyertai MCA dan menganggap MCA sebagai parti orang Cina yang akan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan orang Cina.
6.
Tolak ansur
Walaupun parti-parti kiri diharamkan, tetapi kerajaan British bertolak ansur dengan membenarkan parti-parti sederhana yang anti komunis seperti UMNO, MCA dan MIC. British juga bertolak-ansur dengan menerima tuntutan parti-parti sederhana tersebut. Buktinya: Pilihanraya Perbandaran Pulau Pinang pada 1 Disember 1951, Pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur pada 16 Februari 1952. Pilihanraya Umum yang pertama diadakan pada 27 Julai 1955. Selepas pilihanraya tersebut, Tanah Melayu diberi berkerajaan sendiri dan seterusnya kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Tolak ansur kerajaan British memenuhi tuntutan rakyat Melayu telah menyebabkan orang ramai menyokong kerajaan untuk menentang PKM.
7.
Rancangan Gerald Templer
Semasa Gerald Templer menjadi Pesuruhjaya Tinggi, beliau menjalankan rancangan “kawasan hitam” dan “kawasan putih”. Kawasan hitam ialah kawasan yang terlibat dengan kegiatan PKM. Penduduk di kawasan ini dikawal rapi oleh pasukan keselmatan dan dikenakan sekatan kebebasan seperti perintah kurung dan catuan makanan. Kawasan putih ialah kawasan yang tidak terlibat dengan kegiatan PKM dan penduduk kawasan ini diberi kebebasan. Akibatnya penduduk di kawasan hitam telah bekerjasama dengan kerajaan untuk menghapuskan kegiatan PKM di kawasan mereka supaya kawasan mereka akan diisytiharkan sebagai kawasan putih di mana penduduknya akan diberi kebebasan. Templer juga melawat kawasan hitam untuk meyakinkan orang ramai terhapap kemampuan kerajaan untuk menghapuskan pemberontakan PKM. Orang ramai juga digesa supaya tidak bekerjasama dengan PKM.
8.
Kelonggaran syarat kerakyatan
Dalam usaha untuk mendapatkan sokongan orang bukan Melayu, terutamanya orang Cina bagi menghadapi pemberontakan PKM, kerajaan telah mengambil langkah melonggarkan syarat kerakyatan sejak Februari 1952. Akibatnya seramai 1.2 juta orang Cina dan 180 ribu orang India menjadi warganegara antara Februari 1952 sehingga 31 Ogos 1957. Tindakan kerajaan menyebabkan orang Cina dan India bekerjasama dengan kerajaan untuk menentang PKM.
9.
Majlis Perang
Mengikut arahan nombor 1 yang dikeluarkan oleh Harold Briggs bertarikh 16 April 1950, Majlis Perang Persekutuan (MPP) dan Jawatankuasa Kerja Perang peringkat negeri dan daerah akan ditubuhkan dalam usaha untuk membanteras pemberontakan PKM. MPP diketuai oleh Harold Briggs. Anggotanya terdiri daripada Ketua Setiausaha Kerajaan, komander-komander angkatan darat, laut dan udara serta pesuruhjaya Polis. Jawatankuasa Kerja Perang peringkat negeri diketuai oleh Menteri Besar dan di peringkat daerah diketuai oleh pegawai daerah. Anggota-anggota terdiri daripada polis, tentera dan pegawai tadbir. Tujuannya ialah untuk mewujudkan koordinasi antara semua pihak yang terlibat dalam usaha menentang PKM.
10.
Tawaran pengampunan
Tawaran pengampunan telah dikeluarkan sejak 1949. Anggota-anggota PKM yang menyerah diri dimaafkan dan dibenarkan kembali ke dalam masyarakat. Tawaran hadiah juga dikeluarkan kepada mereka yang dapat menunjukkan sarang PKM atau menangkap anggota PKM. Pada tahun 1954, tawaran hadiah kepada mereka yang dapat menangkap Chin Peng telah dinaikkan dari $150000 kepada $250000 dan ahli Jawatankuasa Pusat PKM sebanyak $100 ribu. Semasa Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri dan kemudiannya Perdana Menteri, tawaran hadiah yang lebih berkesan telah dikeluarkan. Anggota-anggota PKM yang menyerah diri bukan sahaja dimaafkan dan dibenarkan kembali ke masyarakat, tetapi juga diberi ganjaran berupa tanah dan wang. Tawaran ini telah menarik perhatian ramai anggota dan pemimpin PKM menyerah diri, contohnya Hor Lung, pemimpin komunis kawasan selatan telah dibayar sagu hati $247 ribu apabila beliau keluar menyerah diri bersama-sama 160 orang pengikut. Seorang lagi ialah Kim Cheng, pemimpin komunis kawasan Yong Peng telah dibayar $150 ribu bila beliau menyerah diri bersama pengikutnya. Pembayaran sagu hati ini bergantung kepada kedudukan seseorang dalam PKM dan juga anggota yang menyerah diri bersamanya.
11.
Rundingan Baling
Dalam usaha untuk menamatkan pemberontakan PKM, Rundingan Baling telah diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955. Pihak kerajaan diwakili oleh Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan David Marshall dan PKM pula diwakili oleh Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin. Walau bagaimanapun, rundingan tersebut gagal kerana Chin Peng tidak dapat menerima kehendak Tunku Abdul Rahman yang mahukan PKM dibubarkan dan Tunku Abdul Raham tidak dapat menerima kehendak Chin Peng yang mahukan PKM diterima sebagai parti yang sah.
oleh SP Star
12/04/2001 09:42:14